SABTU, 16 JANUARI 2016 @ 10:49 AM
SEOUL: Korea Utara bersedia menghentikan ujian nuklearnya sebagai pertukaran kepada menandatangani perjanjian damai dengan Amerika Syarikat (AS) dan menghentikan latihan ketenteraan tahunan di antara AS dan Korea Selatan.
Kenyataan Utara yang diumumkan media kerajaan lewat semalam itu mengulangi tawaran sebelum ini yang ditolak AS yang mahu Pyongyang menghentikan sepenuhnya aktiviti senjata nuklear mereka.
Seorang jurucakap Kementerian Luar Korea Utara menyifatkan ujian bom hidrogen pada 6 Januari lalu sebagai langkah wajar memastikan kelangsungan hidup terhadap ancaman luar.
"Sebagai tindak balas terhadap Amerika yang secara berterusan menyerang kedaulatan negara dan membuat ancaman, kami akan mempersiapkan diri daripada kemungkinan serangan nuklear dan membalas dengan keupayaan nuklear," kata jurucakap itu yang dipetik Agensi Berita Pusat Korea.
Dakwaan ujian H-bom Utara mengundang kecaman meluas dunia, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana untuk menghentikan ancaman nuklear di negara ini.
Semenanjung Korea secara teknikal masih berperang kerana konflik pada 1950 hingga 1953 berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai. - AP
No comments:
Post a Comment