gambar bertarikh 11 Januari lalu merakamkan pemandu sanggup berbaris panjang bagi mengisi minyak sebelum harga minyak baharu dikuatkuasakan di Bahrain. REUTERS
MUSCAT 13 Jan. – Oman bercadang mengurangkan subsidi petrol Jumaat ini dengan harga minyak dijangka meningkat sebanyak 33 peratus untuk bahan api premium dan 23 peratus untuk bahan api biasa.
Langkah itu dilakukan ekoran harga bahan mentah itu ditutup pada AS$31.41 (RM 137.96) setong di New York Mercantile Exchange, terendah dalam tempoh 12 tahun.
Pada Selasa lalu, harga petrol di stesen minyak meningkat sehingga 60 peratus di Bahrain, naik kepada AS$1.25 segelen (RM5.49 segelen) atau 125 isian per liter untuk minyak biasa dan AS$1.60 segelen (RM7.02 segelen) atau (165 isian perliter) untuk minyak premium.
Ratusan pengguna sanggup berbaris panjang di stesen minyak sehari lebih awal untuk mengisi minyak kereta mereka sebelum harga baharu mula dikuatkuasakan.
Sementara itu, pada persidangan Parlimen di Bahrain, berlaku kekecohan semalam apabila beberapa anggota Parlimen berang berikutan kenaikan harga minyak.
Penentangan terhadap dasar kerajaan jarang berlaku di Bahrain.
“Keputusan itu akan menyebabkan golongan miskin bertambah miskin.
“Kami meminta satu penambahbaikan terhadap tahap kehidupan rakyat dan apa yang kerajaan lakukan semalam tidak akan dapat dicapai hari ini,” kata seorang anggota Parlimen, Jamal Dawood, seperti dipetik portal Arab News.
“Keputusan kerajaan itu menunjukkan kerajaan menafikan wujudnya Parlimen (di negara ini). Kami sepatutnya meletakkan jawatan,” kata seorang lagi anggota Parlimen, Mohammed Alamadi.
Sementara itu, kira-kira 20 orang mengadakan tunjuk perasaan di sebuah stesen minyak di perkampungan Jidhafs, di barat pusat bandar Manama, sambil membawa sepanduk menentang kenaikan harga minyak.
Menteri Penerangan, Isa Abdulrahman berkata, kerajaan akan mengambil perhatian terhadap kebimbangan anggota-anggota Parlimen itu.
No comments:
Post a Comment