Sunday, August 7, 2016

"Saya Hanya Mahu MB Letak Jawatan"


Diterbitkan: Ahad, 7 Ogos 2016 8:56 AM

KUALA TERENGGANU: Krisis politik di Terengganu menyaksikan pendirian terbaharu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri A(dun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau tidak berminat dengan pilihan raya negeri.

Sebaliknya menurut Ahmad, beliau hanya ingin melihat Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta.

"Saya seorang yang tenang dan telah bersabar selama dua tahun. Tetapi apa yang berlaku sudah melampau. Ia mula memberi kesan kepada rakyat dan pemimpin yang tidak bersalah.

"Kerosakan itu telah dilakukan dan Ahmad Razif telah mengejutkan harimau yang sedang tidur. Sekarang beliau perlu pergi. Saya tidak mahu pilihan raya negeri tetapi apa yang saya mahu ialah beliau digantikan oleh orang lain," kata bekas menteri besar itu kepada The Star.

Ahmad berkata keadaan mungkin berbeza jika Menteri Besar itu mendapatkan nasihat beliau terutamanya mengenai pelantikan dan pemecatan orang Umno di Kijal dan Kemaman.

"Alasan pemecatan itu adalah kerana orang-orang yang mengetuai syarikat berkaitan kerajaan tertentu itu rapat dengan saya. Mengapa menjadikan mereka mangsa?" soal beliau.

Ahmad berkata perkara terbaik yang perlu dilakukan Ahmad Razif adalah meletakkan jawatan kerana jika diadakan pilihan raya negeri, Barisan Nasional dan Umno tidak akan dapat membentuk kerajaan.

Sementara itu tinjauan menunjukkan bahawa majoriti daripada orsng rsmsi menentang pilihan raya negeri.

Nor Sakinah Mohd Kadir, 22, berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya mengejut, dengan mengatakan bahawa sudah ada terlalu banyak menteri besar dalam masa beberapa tahun.

"Ini telah menjejaskan atau mengganggu dasar atau projek-projek pembangunan," kata mahasiswa Diploma Kejuruteraan Kimia itu.

Seorang juruteknik komputer berusia 35 tahun yang berasal dari Dungun, Mohd Asmadi Khalid berkata ia bukan masa yang tepat untuk Umno dan Barisan Nasional berhadapan pilihan raya kerana mereka mungkin dikalahkan.

"Apa kita mahukan adalah supaya ahli-ahli politik menyelesaikan isu ini dan tidak mengheret rakyat ke dalamnya," katanya.

Wong Pot Chuan, 31, seorang juruteknik dari Paka, berkata pilihan raya negeri tidak akan menyelesaikan apa-apa isu.

"Lebih baik membiarkan Menteri Besar sedia ada menyelesaikan tugasnya dalam tempoh yang ada dan membiarkan rakyat membuat keputusan pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment