Saturday, September 3, 2016

Belum cukup



DELA Rosa

Agensi
Manila: Ketua Polis Filipina, Jeneral Ronald ‘Bato’ dela Rosa mengarahkan anggotanya menggandakan usaha dalam operasi memerangi dadah bagi memenuhi janji Presiden Rodrigo Duterte dalam kempen pilihan rayanya.

“Kita tidak boleh gagalkan ikrar Presiden dalam kempennya yang mahu menyelesaikan masalah dadah, jenayah dan rasuah dalam masa enam bulan. Kita semakin kesuntukan masa,” kata Dela Rosa ketika berucap di Kem Bado Dangwa di La Trinidad, Benguet, semalam.

Menurutnya, ‘peperangan’ itu kini memasuki fasa kedua.

“Dua bulan sudah berlalu. Kita ada empat bulan lagi. Saya berharap kita dapat menggandakan usaha untuk mencapai sasaran.

“Kita tidak mahu hasrat rakyat Filipina untuk menyaksikan masalah dadah, jenayah dan rasuah dibasmikan gagal,” katanya.

Dia turut menyuarakan rasa gembiranya mengenai penurunan ketara kadar purata jenayah harian kepada lebih separuh.

Rekod polis menunjukkan jumlah jenayah harian di seluruh negara itu merosot sebanyak 49 peratus sejak Julai lalu.

Ketua Polis Filipina itu turut mengingatkan anggotanya supaya tidak mempedulikan kritikan pelbagai pihak mengenai perang terhadap dadah yang setakat ini sudah meragut lebih 2,000 nyawa.

“Anggap kempen ini baru bermula. Walaupun pelbagai kritikan diterima, kita perlu teruskan kempen ini selagi kita patuh kepada undang-undang dan menghormati hak asasi,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:06 AM

No comments:

Post a Comment