Saturday, September 3, 2016

Rafizi Diperintah Bela Diri Atas Pertuduhan Dedah Laporan 1MDB


Diterbitkan: Khamis, 1 September 2016 12:35 PM

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli pada Khamis diperintah membela diri atas dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan laporan 1MDB di laman web, Facebook, telefon bimbit dan pada sidang media di lobi Parlimen, Mac lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan Mohd Rafizi telah memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Zulqarnain dalam keputusannya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Rafizi, 39, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tiga hari perbicaraan mulai 27 September untuk mendengar pembelaan Mohd Rafizi.

Zulqarnain membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan dan hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar dan Zhafran Rahim Hamzah dan Peguam Gobind Singh Deo.

Mohd Rafizi, didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rafizi didakwa mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat sama, pada 3 petang, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment