NEW YORK 9 Sept. - Jumlah anggota polis ditingkatkan di beberapa lokasi utama, termasuk di terowong dan jambatan berhubung laporan perisikan mengenai risiko serangan menjelang ulang tahun ke-10 tragedi serangan 11 September di Amerika Syarikat (AS) pada Ahad ini.
"Pihak berkuasa menempatkan lebih ramai anggota polis di beberapa lokasi yang dilihat berisiko untuk berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," kata Datuk Bandar Michael Bloomberg.
Pesuruhjaya Polis New York, Raymond Kelly berkata, langkah tersebut termasuk menempatkan pasukan yang mendapat latihan menggunakan senjata berat di luar Manhattan.
"Waktu bertugas anggota polis dilanjutkan bagi mengawal New York meliputi perkhidmatan feri, terowong, jambatan dan kawasan mercu tanda utama.
"Perkhidmatan tunda kereta dan pemeriksaan beg di laluan bawah tanah turut diperluaskan bagi mengesan bom atau yang berkaitan dengan keganasan," katanya.
Dalam pada itu, Bloomberg menegaskan walaupun risiko serangan itu dilihat tidak kukuh, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil kira.
"Ancaman serangan kini belum dapat dikenal pasti, namun kita tidak boleh mengabaikannya.
"Ia (serangan) boleh berlaku dan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga," ujarnya. - AFP
No comments:
Post a Comment