BANDA ACEH 9 April - Penduduk di Aceh hari ini mengundi untuk memilih Gabenor pada pilihan raya yang menguji kestabilan sebuah wilayah yang belum pulih sepenuhnya daripada perang pemisah selama 30 tahun serta gempa bumi dan tsunami lapan tahun lalu.
Pilihan raya itu merupakan kali kedua di wilayah separuh autonomi yang kaya dengan gas dan melaksanakan undang-undang Syariah, sejak pemberontak Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 2005.
Lima calon bertanding untuk merebut jawatan Gabenor tetapi kedua-dua calon utama adalah bekas pemimpin GAM iaitu Irwandi Yusuf yang bertanding untuk penggal kedua sebagai Gabenor dan Zaini Abdullah, bekas Menteri Luar GAM yang bertanding atas tiket Parti Aceh.
"Pilihan raya yang ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak tahun lepas, dicemari keganasan bermotif politik, termasuk sekurang-kurangnya 13 pembunuhan," menurut firma analisis risiko di Jakarta, Concord Consulting dalam laporannya.
Pemberontak GAM meletakkan senjata selepas tsunami pada 26 Disember, 2004 menyebabkan 170,000 penduduk di wilayah ini terkorban atau hilang.
Aceh mendapat bantuan berbilion dolar daripada penderma selepas bencana itu dan telah beransur-ansur pulih tetapi ramai penduduk menuntut kestabilan.
Lebih 3.2 juta penduduk layak mengundi dan keputusan awal dijadual diumumkan lewat hari ini sementara keputusan rasmi diketahui pada 15 April.
Seorang pengundi di timur Aceh, Kamaruzzaman berkata, perbuatan menakut-nakutkan pengundi merebak semasa kempen, sehingga ke kedai-kedai kopi yang biasa menjadi tumpuan kaum lelaki.
Pertarungan politik utama adalah antara Parti Aceh yang ditubuhkan oleh GAM dan menguasai Parlimen wilayah, dengan Irwandi yang bertanding sebagai calon bebas.
Beliau memenangi pilihan raya Gabenor pada Disember 2006 tetapi melepaskan jawatan pada Februari lalu bagi membolehkan kerajaan sementara mentadbir wilayah ini. - Reuters
No comments:
Post a Comment