Tuesday, May 24, 2011

Jangan jadikan isu bangsa sebagai ideologi: Abdul Hadi




KULAIJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan kepada seluruh kaum agar tidak menjadikan semangat ke‘bangsa’an sebagai ideologi untuk meraih sokongan dan kedudukan sehingga menzalimi kaum lain.

Beliau berkata, masyarakat majmuk yang berbilang kaum adalah kelebihan kepada negara ini untuk membina kekuatan dan khususnya dalam perkongsian ilmu pengetahuan.

“Tidak salah jika kita sayang bangsa masing-masing tetapi yang penting kita tidak boleh zalimi orang lain dan tidak berlaku adil.

“Islam sendiri membenarkan agama lain menjalankan kepercayaan masing-masing. Setiap agama ada hak masing-masing yang berlainan dan ada juga hak yang sama dengan agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi turun padang bersama Jawatankuasa Pas Kawasan Kulai dan DAP Parlimen Kulai untuk bertemu masyarakat setempat di pasar malam Taman Putri Kulai, di sini, kelmarin.

Abdul Hadi berkata, negara majmuk ini memerlukan dasar pentadbiran yang adil dan pemerintahan berkebajikan bagi memastikan hak dan kepentingan setiap rakyat terpelihara tanpa mengira perbezaan kaum.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru kepada seluruh rakyat Johor melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan tidak terus memilih kerajaan yang didakwa gagal memerintah.

“Hari ini kita alami banyak masalah misalnya isu kenaikan harga minyak dan kejadian jenayah yang tidak terkawal kerana kerajaan yang dipilih tidak dapat menjalankan pemerintahan dengan betul.

“Kita mahu rakyat pilih pemimpin yang boleh tunaikan tanggungjawab dan ini sudah terbukti oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir beberapa negeri dan tiada seorang pemimpin yang ditangkap kerana penyelewengan.

“Rakyat perlu berubah kerana kita tidak boleh buat perubahan yang besar jika rakyat sendiri tidak berubah,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment