SANDAKAN 25 Nov. - Selain Kota Kinabalu, Sandakan yang merupakan bandar kedua terbesar di negeri ini juga terkenal dengan pelbagai destinasi pelancongan.
Antara yang utama ialah Pusat Pemuliharaan Orang Utan di Sepilok, Pulau Penyu serta Pulau Berhala.
Namun terdapat satu lagi tarikan yang pastinya mampu menggamit pelancong ke daerah ini iaitu formasi batu yang menyerupai lembu atau sapi mengikut panggilan masyarakat tempatan.
Batu yang terletak berdekatan pantai dekat sini dikatakan terjadi akibat sumpahan ke atas seekor lembu.
Di bawah batu berkenaan terdapat batu seakan seekor buaya yang dikatakan turut terkena sumpahan.
Kewujudan formasi batu itu sendiri cukup signifikan kepada penduduk hinggakan daerah kecil di sini dinamakan Batu Sapi.
Jadi sebagai nama dan replika daerah kecil Batu Sapi, batu berkenaan pastinya amat bermakna sekali bagi penduduk.
Malah bagi pelancong yang berkunjung ke Batu Sapi, pastinya tidak sah jika tidak pergi ke lokasi batu berkenaan yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari bandar ini untuk bergambar kenangan.
Maka atas dasar itulah sebuah taman yang dikenali sebagai Taman Warisan Batu Sapi diwujudkan di daerah itu.
Namun taman yang dibuka enam hari seminggu itu dilihat masih perlu diperbaiki bagi menarik lebih ramai pelancong.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati taman berkenaan mempunyai kemudahan asas seperti pondok rehat dan tandas.
Namun infrastruktur di kawasan itu tidak diselenggara dengan baik.
Laluan menuju ke formasi Batu Sapi juga dilihat tidak berturap dan menyukarkan pengguna apabila hujan.
Malah, kawasan berkenaan khususnya di pantai yang menempatkan Batu Sapi juga dilihat begitu kotor dengan dipenuhi sampah seperti botol, plastik dan sisa-sisa kayu.
Seorang pengunjung, Nuri Jamin, 30, berkata, batu berkenaan amat menarik dan kawasan berkenaan amat sesuai menjadi lokasi riadah.
Namun katanya, dia agak kecewa kerana kawasan berkenaan tidak diselenggara dengan baik khususnya dari aspek kebersihan.
"Inilah pertama kali saya datang ke sini, saya memang teruja apabila sampai di sini tetapi agak terkejut apabila melihat sampah memenuhi pantai di sini.
"Jadi saya berharap satu tindakan dibuat dengan segera bagi membersihkan sampah di sini di samping menyelenggara kemudahan yang ada dengan baik," katanya.
Beliau memberitahu, keadaan sampah tersebut tidak harus dipandang ringan kerana akan memberikan gambaran buruk kepada pelancong tentang keadaan negeri ini.
Seorang lagi pengunjung, Awang Pasih Abdul Kahar, 33, berkata, kawasan itu perlu diselenggara dengan baik bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan pengunjung.
Dia memberitahu, tandas yang ada harus dibersihkan dan dipastikan dapat digunakan pengunjung.
"Tandas di sini saya lihat telah rosak menyebabkan pengunjung sukar untuk menggunakannya.
"Selain itu saya melihat rumput di kawasan lapang yang ada berhampiran juga harus dibersihkan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung," katanya.
Tambahnya, beliau juga berharap pelbagai lagi kemudahan infrastruktur dapat diwujudkan di sini seperti taman permainan kanak-kanak dan sebagainya.
Dalam pada itu katanya, pihak terbabit juga perlu meletakkan papan kenyataan memaparkan maklumat mengenai batu tersebut bagi kemudahan pengunjung.
"Pada masa ini agak sukar bagi kami untuk mendapatkan maklumat mengenai kewujudan batu ini termasuk legenda batu ini yang sering diperkatakan," katanya.
Seorang pekerja swasta, Rubiah Derais, 29, berkata, selain menaik taraf kawasan itu, pihak terbabit juga harus menggiatkan usaha mempromosi kawasan itu.
Ujarnya, tapak warisan itu harus dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah.
No comments:
Post a Comment