JASIN 9 Ogos - Rumah kecil yang dihuni oleh adik-beradik perempuan Anita Harun, 32, dan Nabiha, 29, bersama ibu dan dua adik lelaki adalah segalanya bagi mereka.
Sejak kecil, unit Rumah Awam Taman Kesang Indah ini adalah dunia mereka, walaupun kedua-duanya tahu di luar sana, bumi Tuhan lebih luas dan indah.
Anita dan Nabiha tidak merungut kerana mereka sedar kecacatan yang dialami sejak lahir mengehadkan pergerakan mereka. Usahkan hendak bergerak, mengurus diri sendiri pun mereka tidak berupaya.
Kedua-duanya hanya mampu mengesot manakala selebihnya semua memerlukan bantuan ibu, Azizah Ahmad, 50, termasuk untuk menyuap makanan kerana tidak berupaya menggerakkan jari tangan.
Tanggungan Azizah semakin berat sejak suaminya, Harun Ibrahim, yang menjadi sumber kekuatan keluarga meninggal dunia lima tahun lalu akibat penyakit jantung.
Sejak itu, kata Azizah, dia menjadi ibu dan ayah kepada Anita, Nabiha dan dua anak lelakinya yang normal, Mohd. Firdaus, 22, dan Mohd. Fikri, 17, dengan bergantung hidup dengan upah RM250 sebulan sebagai pengasuh kanak-kanak.
Mujurlah kekurangan hidup mereka mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyalurkan bantuan elaun orang kurang upaya (OKU) untuk dua anak gadisnya itu yang berjumlah kira-kira RM700 sebulan.
''Anita dan Nabiha tidak boleh bercakap tetapi faham apa yang kita katakan. Jika mereka mahukan sesuatu sama ada makan atau minum, mereka akan pegang tangan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Walaupun kedua-dua anaknya itu cacat anggota, mereka amat berdikari dan enggan dibantu terutama untuk ke tandas.
''Mereka berdua akan mengesot perlahan-lahan ke tandas tanpa memerlukan bantuan saya atau dua adik lelaki mereka," katanya.
Tambahnya, Anita lebih pendiam dan gemar menyendiri berbanding Nabiha yang agresif serta gemar bermain-main dengan pelbagai peralatan rumah.
Satu ketika, ujar Azizah, hatinya tersentuh apabila Anita memegang tangannya seperti mahu berkata sesuatu namun dia tidak memahami perkara yang cuba disampaikan oleh anak sulungnya itu.
Menurutnya, dia pasrah dengan ketentuan Ilahi dan menerima takdir yang menimpa dua anak gadisnya walaupun jauh di sudut hati, dia mahu melihat kehidupan Anita dan Nabiha normal seperti rakan sebaya mereka.
Penderitaan keluarga malang itu turut mendapat simpati UMNO Bahagian Jasin yang mengambil inisiatif membina bilik khas untuk keselesaan Anita dan adiknya.
Dengan kos kira-kira RM10,000, bilik khas itu mempunyai tandas yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi pengguna OKU dan alat pendingin hawa. Bantuan disampaikan oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah.
Menurut Ahmad, pihaknya mengambil inisiatif membina bilik khas untuk pasangan adik-beradik itu bagi memberi keselesaan kepada mereka.
''Dengan kemudahan bilik khas ini, kita harap ia dapat memberi ruang untuk Anita dan Nabiha berehat dalam bilik sendiri tanpa perlu berkongsi dengan dua adik lelaki mereka," katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban ditanggung oleh keluarga ini boleh melawat mereka di alamat 8119, Lorong 8, Taman Kesang Indah atau telefon di talian 06-5296704.
No comments:
Post a Comment