Kapal The Sprit of Rachel Corrie hanya menurunkan sauh di pelabuhan Al Arish namun tidak dibenar menurunkan penumpang atau krew kapal. |
Rachel Corrie dihalang berlabuh, tak benar bekalan makanan dihantar
KREW dan aktivis kemanusiaan, termasuk tujuh rakyat Malaysia atas kapal The Spirit of Rachel Corrie untuk menghantar bantuan ke Gaza, semalam melancarkan mogok selepas berkuasa pelabuhan Al Arish, sini terus berkeras tidak membenarkan bekalan makanan dihantar dan kapal tidak dibenarkan berlabuh.
Ketua misi kemanusiaan kapal tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) itu, Matthias Chang, berkata mogok lapar bermula jam 4 petang waktu tempatan semalam (10 malam tadi waktu Malaysia), manakala kapten kapal, Kapten Abdul Jalil Mansor mengemudikan kapal untuk berlabuh di pelabuhan itu.
Ini berikutan urusan penghantaran bekalan ke atas kapal yang kekurangan bekalan semalam menemui jalan buntu selepas pihak berkuasa pelabuhan bertegas kapal misi bantuan kemanusiaan itu perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Kerumitan timbul apabila ejen tempatan yang menguruskan kapal kemanusiaan itu memberitahu krew kapal bahawa hanya bot tunda dengan kadar bayaran US$1,500, dibenarkan untuk menghantar bekalan makanan ke kapal itu. Difahamkan, jumlah itu tidak termasuk AS$1,000 kos bekalan makanan yang akan dihantar ke kapal yang dinaiki 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia.
Sehingga 1 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia), kapal tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) belum dibenarkan berlabuh kerana tidak mendapat kelulusan Kementerian Luar Mesir (MFA), pihak tentera dan perisikan kerana kapal kargo atau nama asalnya MV Finch dikategorikan sebagai bukan kapal kargo komersial biasa.
Jurucakap pihak berkuasa pelabuhan Al Arish, Kapten Hisham Farik Janinah berkata pihaknya tidak boleh membenarkan MV Finch berlabuh kerana belum mendapat kelulusan pihak berwajib, manakala urusan penghantaran bekalan makanan perlu melalui prosedur ditetapkan.
Mengikut prosedur, penghantaran bekalan makanan hanya boleh dilakukan ejen tempatan yang perlu membuat sebut harga sebelum mendapat kebenaran pihak berkuasa pelabuhan.
"Tiada pengecualian. Kami hanya menunggu rundingan antara ejen dan pihak kapal mengenai bekalan makanan itu sebelum dihantar ke kapal,” katanya.
Kumpulan petugas Media Prima yang berada di sini bagi memantau perkembangan kapal misi kemanusiaan Malaysia itu juga menghadapi kesulitan untuk membuat liputan dan dihalang daripada merakam gambar dan visual di kawasan pelabuhan yang dikawal polis. Berita Harian sebelum ini dimaklumkan bekalan makanan dan air bersih atas kapal mampu bertahan sehingga Sabtu dengan bekalan makanan segar sudah kehabisan.
Jawatankuasa evakuasi Kedutaan Malaysia di Mesir yang diketuai menteri penasihat kedutaan, Saharuddin Hassan, berkata pihaknya cuba berunding untuk menghantar bekalan makanan menggunakan bot kecil, namun tidak diterima pihak berkuasa pelabuhan yang bertegas ia bertentangan dengan prosedur.
"Kami juga difahamkan kalau kapal dibenarkan berlabuh (tanpa kelulusan pihak berwajib), mereka dibenarkan menurunkan barang dan krew dengan kelulusan imigresen tetapi krew hanya dibenarkan turun selama tiga jam," katanya.
No comments:
Post a Comment