AL ARISH (Mesir): Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang hampir dua minggu terkandas di di sini tidak ubah seperti 'penjara terapung' bagi tujuh penumpang yang berada di atas kapal misi kemanusiaan itu berbanding lima krew yang sudah biasa dengan kehidupan dan resam laut.
Terkandas di Al Arish sejak 16 Mei lalu, kapal kargo yang dikemudi Kapten Abdul Jalil Mansor hanya beberapa kali berlayar dalam jarak singkat termasuk cubaan kedua menghala ke Gaza, Isnin lalu, sebelum terpaksa berpatah balik kerana kerosakan teknikal pada enjin dan kemudi.
Selebihnya, kapal kargo yang dinaiki 12 penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia itu melabuhkan sauh di kawasan menunggu pelabuhan Al Arish ketika kapal lain, silih berganti berlabuh bagi menurunkan penumpang dan kargo.
Dengan kata lain, kapal misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) setia menunggu kelulusan pihak berkuasa Mesir yang sehingga semalam belum memberi lampu hijau untuk kapal itu berlabuh, sekali pun kelulusan Kementerian Luar Mesir sudah diperoleh beberapa hari lalu.
Kapten Abdul Jalil, 56, berkata tekanan mula dirasai sebahagian besar penumpang kapal kargo itu terdiri daripada aktivis keamanan dan wakil media walaupun mereka tetap tabah dan bersemangat untuk menyempurnakan misi kemanusiaan itu.
"Kita masih tunggu kebenaran untuk masuk, tapi dalam keadaan menunggu terasa bosan juga dan kita kena buat sesuatu supaya moral anak kapal (dan penumpang) tidak turun," kata kapten kapal kargo itu ketika dihubungi dari daratan Al Arish.
Sejak terkandas di situ, kapal kargo terbabit beberapa kali mengalami kekurangan bekalan air bersih untuk kegunaan harian seperti mandi, mencuci dan kegunaan enjin kapal sehingga menyebabkan mereka yang berada di atasnya terpaksa menggunakan air laut dan air mineral bagi menampung keperluan harian.
“Kami terpaksa cedok air laut menggunakan tali yang diikat dengan botol air yang dihantar ke kapal sebelum ini, dari segi bekalan makanan tiada masalah," kata Iskandar Alang Bendahara, 36, wartawan The New Straits Times yang turut berada di atas kapal kargo itu.
Seorang lagi wakil media, Mohd Faizal Hassan dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) memberitahu mereka mencatu kegunaan air bersih dengan sebahagian besar pakaian mereka tidak dibasuh.
“Jangan lupa beritahu Tan Sri Samsudin Hitam (ketua misi PGPF di daratan) untuk membelikan kami pakaian baru, semuanya (pakaian) tak terbasuh sebab masalah air bersih,” katanya.
Kelmarin, kapal kargo itu menerima bekalan air bersih seberat dua tan lebih yang dijangka bertahan sehingga Ahad ini.
Abdul Jalil berkata kebanyakan penumpang bukan pelaut terpaksa belajar ‘untuk hidup’ dan menyibukkan diri bagi mengurang tekanan mental. Berita Harian Online | Rachel Corrie ibarat 'penjara terapung'
No comments:
Post a Comment