Thursday, August 18, 2011

4 Tan rebut jawatan Presiden Singapura

SINGAPURA: Pilihan raya presiden paling hangat di negara ini sejak jawatan itu dipertandingkan 18 tahun lalu bermula semalam dengan pemenangnya akan bergelar Presiden Tan, tidak kira siapa di antara empat calon yang bertanding, menang.
Ini kerana kesemuanya berkongsi nama keluarga yang sama.

Tan ialah nama keluarga paling banyak digunakan di republik itu di mana 75 peratus daripada 3.3 juta populasinya terdiri daripada etnik Cina. Pilihan raya selama 10 hari itu dilihat sebagai pungutan suara terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berkuasa sejak kemerdekaan pada 1965.

Keempat-empat calon yang merebut jawatan yang lebih kepada menjalankan tugas istiadat itu akan berdepan dengan pengundi yang memandang berat terhadap peningkatan mendadak jumlah warga asing yang mendapat pekerjaan di negara itu.

Pengundian akan berakhir pada 27 Ogos depan, empat bulan selepas PAP kembali berkuasa dengan hanya 60 peratus undi. Meskipun PAP tidak mempunyai sebarang calon pilihan untuk jawatan berkenaan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyuarakan sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan. Bloger, Alex Au, yang laman blognya, Yawning Bread menjadi antara blog sosio-politik paling popular di negara itu meramalkan kemenangan Tony Tan tetapi dengan undian kurang daripada 50 peratus.
Menurut laporan media, jawatan presiden Singapura menawarkan gaji kira-kira S$3.329 juta (RM8.24 juta) setahun.
Kerajaan berdepan dengan masalah sekiranya seorang daripada tiga Tan yang lain menang kerana mereka mungkin menggunakan kuasa veto secara agresif, termasuk dalam melantik pegawai kanan kerajaan. - AP
hmetro

No comments:

Post a Comment