2010/10/26
SITI ROHANI mencium cucunya sambil diperhatikan Siti Faizah ketika ditemukan semula di Pusat Aduan Komuniti Pemuda UMNO Malaysia, semalam.
Pertemuan Siti Faizah bersama suami, Hazmain Abdul Jalil, 28 dan anaknya, Siti Norafidah, 5, dengan ibunya, Siti Rohani Abdullah, 52, lebih menyayat hati apabila dimaklumkan bapanya sudah meninggal dunia Julai lalu sebelum sempat menemuinya.
Siti Rohani berkata, beliau tidak menyangka sepanjang enam tahun berpisah akibat perselisihan faham, anaknya hidup dalam kesusahan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah.
“Pada mulanya, saya terkejut melihat berita mengenai kesusahan hidup sehingga menjadikan jambatan sebagai tempat berteduh, namun tidak menyangka tiga beranak itu adalah darah daging saya sendiri.
“Selepas mengetahui kesusahan dialami Siti Faizah, saya bertekad mencarinya sebelum kami dipertemukan hasil usaha yang dilakukan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno,” katanya kepada pemberita di Pejabat Biro itu, di sini, semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga beranak berkenaan terpaksa tinggal di bawah jambatan di Lebuh Raya Timur Barat (METRAMAC) bersama dua rakannya sejak lima bulan lalu.
Katanya, walaupun sebelum ini pernah tercetus perselisihan faham dengan anaknya itu, namun beliau sudi memaafkan kesalahan yang dilakukan Siti Faizah dan berharap kesilapan lalu menjadi pengajaran dalam hidupnya.
“Namun, sedikit terkilan kerana hajat suami untuk berjumpa dengan anak kesayangannya tidak kesampaian kerana sudah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Siti Faizah berkata, beliau gembira kerana ibunya sudi berjumpa dan memaafkan kesilapan lalu, namun turut terkilan kerana tidak sempat menemui arwah bapanya untuk memohon keampunan.
“Saya harap, hidup kami sekeluarga selepas ini akan berubah dan ada pihak tampil memberi peluang pekerjaan kepada suami untuk menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata pihaknya akan menguruskan penghantaran pulang keluarga terbabit ke Segamat, Johor.
“Kami juga akan membuat pertukaran hospital bagi memindahkan anak Siti Faizah yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas disahkan mengalami jangkitan paru-paru kronik.
“Bagaimanapun, kami turut berusaha menjejaki keluarga Hazmain di Sandakan, Sabah bagi mengatur satu lagi pertemuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment