Saturday, April 17, 2010

Barack Obama bayar cukai RM6 juta



WASHINGTON 16 April - Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan isterinya, Michelle Obama membayar cukai pendapatan persekutuan bernilai AS$1.79 juta (RM6.08 juta) selepas memperoleh pendapatan berjumlah AS$5.5 juta (RM18.7 juta) pada 2009, kebanyakannya daripada hasil jualan bukunya.
White House memberitahu semalam, pembayaran yang dibuat Obama bersama Wanita Pertama itu menunjukkan pasangan berkenaan semakin kaya sejak menjadi pemimpin AS yang mana kebanyakan pendapatan mereka diperoleh daripada jualan buku mereka yang mendapat sambutan.
Kisah kenangan Obama yang dibukukan melalui Dreams From My Father dan The Audacity of Hope: Thoughts on Reclaiming the American Dream menjadi jualan laris New York Times.
Kedua-kedua buku itu diterbitkan sebelum Obama menjadi Presiden.
Laporan tahunan pendapatan kasar Obama menunjukkan dia memperoleh AS$5.5 juta (RM18.7 juta) pada 2009, peningkatan berbanding AS$2.6 juta (RM8.8 juta) pada 2008.
Pasangan itu juga dilaporkan membayar AS$163,303 (RM521,344) bagi cukai pendapatan di Illinois, sebuah negeri yang mana Obama menjadi senator sebelum dipilih sebagai presiden pada 2008.
Selain itu, Obama juga mendermakan AS$329,100 (RM1.05 juta) kepada 40 pertubuhan kebajikan tahun lalu.
Naib Presiden AS, Joe Biden dan isterinya, Jill, pula dilaporkan membayar cukai pendapatan lebih rendah, kata kenyataan White House.
Biden memperoleh AS$333,182 pada 2009 (RM1.06 juta) dan membayar AS$71,147 (RM227,549) bagi cukai pendapatan persekutuan.
Obama menerima pendapatan AS$400,000 (RM1.27 juta) setahun manakala Biden memperoleh AS$227,300 (RM725,973) tahun lalu bagi jawatan masing-masing. - Reuters

No comments:

Post a Comment