Thursday, December 2, 2010

Hukuman gantung sampai mati kekal



KUALA LUMPUR 1 Dis. - Hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh kekal dan tidak akan dimansuhkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan masih belum bercadang berbuat demikian tetapi sedia menimbangkannya setelah kajian terperinci mengenainya dibuat.
Menurut beliau, kajian menyeluruh yang mengambil kira pandangan semua pihak amat perlu kerana pemansuhan hukuman itu akan memberikan impak besar kepada sistem perundangan negara.
"Pindaan yang sewajarnya juga perlu dibuat kepada undang-undang jenayah lain sekiranya hukuman mati dimansuhkan di negara ini.
"Namun kerajaan menyambut baik apa-apa cadangan yang diberikan oleh mana-mana pihak yang menyokong supaya ia dimansuhkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar) yang bertanyakan adakah kerajaan akan menghapuskan hukuman mati seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Mohd. Radzi juga meminta kerajaan menyatakan bilangan perbicaraan kes bunuh di mahkamah sejak 2000 dan berapakah bilangan kes yang disabitkan kesalahan dan hukuman gantung dijalankan.
Vui Keong berkata, dalam tempoh 10 tahun itu sebanyak 1,601 kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi.
Katanya, setelah melalui proses rayuan di Mahkamah Rayuan, sebanyak 47 kes telah disabitkan di bawah seksyen itu yang direkodkan sabitannya di Mahkamah Persekutuan.
"Dalam tempoh 10 tahun itu, cuma sembilan hukuman gantung telah dijalankan bagi kes yang disabitkan di bawah seksyen itu dan selebihnya belum dilaksanakan kerana masih menunggu keputusan Petisyen Jemaah Pengampunan Negeri," katanya.

No comments:

Post a Comment