Saturday, December 18, 2010

Anwar bidas dan tuduh Umno salah guna kuasa

TUNJUK BANTAHAN: Ahli Parlimen pembangkang Malaysia menunjukkan pelekat di lobi Dewan Rakyat kelmarin selepas Datuk Seri Anwar dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang digantung daripada sidang Parlimen selama enam bulan. -- Foto AFP


PENGGANTUNGAN EMPAT AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG
Ahli Parlimen Permatang Pauh dakwa penggantungannya satu pencabulan kuasa secara terang-terangan


KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi membidas Umno yang didakwanya menyalahgunakan kuasa dengan menggantungnya daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
'Saya lihat tidak ada sebab untuk tergesa-gesa menggantung saya. Ini adalah pencabulan kuasa secara terang-terangan.'Saya rasa mereka tidak sabar lagi untuk menjawab isu yang ditimbulkan,' katanya, yang dipetik oleh laporan laman berita Malaysiakini semalam.Pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya pagi semalam, Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh itu berkata dakwaan ke atasnya itu adalah satu 'hiprokrasi Umno'.'Saya ulangi, 12 tahun lalu sampai sekarang saya dituduh ejen Yahudi. Umno guna kempen ini di kampung-kampung. Tapi saya buktikan mereka guna bukan sahaja syarikat Yahudi, malah syarikat yang berpangkalan di Israel,' kata Datuk Seri Anwar.'Saya buktikan dalam jawapan kepada mereka, Apco Worldwide ditubuhkan sebelum Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) jadi Perdana Menteri, maka soal '1Malaysia', 'One Israel' tidak berbangkit,' tambahnya dengan nada marah.Menurut Datuk Seri Anwar lagi, AP PKR bagi Gombak, Encik Azmin Ali, pula dihukum semata-mata kerana menyentuh mengenai surat Apco.'Dia tidak menyiarkannya pun. Apa Apco ini? Dewata Raya ke? Bahkan, Apco tidak ditegur kerana tidak dapat sertai jawatankuasa.'Mengapa Apco terlibat dalam politik negara? Apco jangan bersekongkol dengan Umno. Mereka harus jawab, harus bertanggungjawab kerana sebab merekalah empat ahli parlimen digantung tanpa proses yang wajar,' tambahnya.Dewan Rakyat kelmarin meluluskan usul menggantung Datuk Seri Anwar daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep '1Malaysia' dengan 'One Israel'.Turut digantung ialah Encik Karpal Singh, AP Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Bukit Gelugor; Encik R. Sivarasa, AP PKR bagi Subang; dan Encik Azmin atas beberapa kesalahan.Encik Karpal dan Encik Sivarasa didakwa melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat 85, yang menetapkan bahawa apa sahaja keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya, tidak boleh disiarkan oleh sesiapa pun sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis (Dewan Rakyat).Encik Azmin pula, melalui pemberitahuan bersurat bertarikh 6 Disember 2010, di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), didakwa menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment