Thursday, November 25, 2010

Tiada lampu jalan



Oleh Hafizzul Mohamad 

2010/11/25

Penduduk FELDA Bersia hidup ‘bergelap’ sejak 50 tahun lalu

GRIK: Penduduk perkampungan FELDA Bersia, di sini kini bimbang untuk keluar pada waktu malam berikutan jalan masuk ke penempatan itu yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari jalan besar, begitu gelap berikutan ketiadaan lampu jalan. 

Selain boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna laluan terbabit, suasana gelap pada waktu malam itu juga boleh mengundang kejadian tidak diingini lain, termasuk ancaman jenayah jika tidak berhati-hati.
Wakil penduduk, Abdul Malek Mohammad Basiron, 38, berkata masalah ketiadaan lampu jalan ke penempatan itu sejak ia dibuka kira-kira 50 tahun lalu, mengakibatkan penduduk sering mengalami kesukaran untuk keluar masuk ke kawasan itu pada waktu malam.
Katanya, walaupun jalan masuk ke sini bertar cantik, namun disebabkan tiada lampu jalan di situ, beberapa kemalangan berlaku di laluan terbabit, khususnya di kalangan penunggang basikal dan motosikal. 

“Walaupun kawasan penempatan penduduk diterangi jalan, tetapi disebabkan jalan masuk ke situ yang gelap dan sunyi membuatkan penduduk dirundung ketakutan dan kebimbangan untuk menggunakan jalan itu pada waktu malam,” katanya. 

Shamsul Annuar Amir Hamzah, 35, pula berkata dia sering berpesan kepada adiknya supaya tidak keluar ke bandar Grik pada waktu malam kerana bimbang sesuatu buruk. 

“Keadaan jalan masuk ke FELDA Bersia ini pada waktu malam terlalu gelap. Saya sendiri tidak berani untuk keluar memandu, apatah lagi menunggang motosikal sesuka hati. 
“Semua urusan di bandar Grik akan cuba selesaikan pada waktu siang dan apabila sudah berada di rumah, saya tidak akan keluar lagi,” katanya. 

Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu mendapati hanya beberapa batang lampu jalan diletakkan di luar simpang masuk ke kawasan FELDA itu, manakala sepanjang kira-kira dua kilometer jalan masuk ke penempatan itu tiada satu pun lampu jalan disediakan di situ. 

Seorang lagi penduduk tempatan, Umi Kalthom Mohammad Yunos, 42, mendakwa adik perempuannya pernah cuba disamun ketika pulang dari tempat kerjanya dengan menunggang motosikal pada waktu malam. 

“Adik perempuan saya nyaris menjadi mangsa samun selepas motosikalnya dihadang oleh sebuah motosikal lain ketika pulang dari pejabatnya di pekan Grik. Dia terselamat, namun dompetnya lesap dibawa lari penjahat pada kejadian itu. Adik saya tidak dapat mengecam wajah penjahat itu kerana keadaan gelap,” katanya. 

Beliau berharap, masalah ketiadaan lampu jalan itu akan segera berakhir menjelang tahun baru nanti, sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk FELDA Bersia yang selama ini dilanda kebimbangan untuk keluar waktu malam. 

“Semoga pihak berwajib segera memasang lampu jalan yang diminta oleh penduduk supaya kami dapat melakukan sebarang aktiviti pada waktu malam selepas hidup dalam ‘kegelapan’ sejak bertahun lamanya,” katanya. 

FELDA Bersia mula dibuka 1960 dengan penempatan awal peneroka ialah pada 1963. Nama FELDA Bersia dikatakan berasal daripada nama kampung asalnya Bersia Lama iaitu sebuah kampung tradisional yang paling hampir dengan FELDA berkenaan.

No comments:

Post a Comment