Sunday, May 9, 2010

Di sebalik kemelut istana


Di sebalik kemelut istana

KEMELUT Istana Kelantan yang semakin memburuk perlu diselesaikan segera.


TERTANYA- tanya. Memang rakyat terus tertanya-tanya namun versi jawapan juga berbeza-beza mengikut siapa yang memberikan penjelasan dan media mana yang memberikan laporan.
Ia kisah konflik dalam keluarga, namun mereka bukanlah keluarga biasa, tetapi keluarga istana, keluarga yang ditempatkan tinggi, ditatang penuh kemuliaan dan penghormatan di sisi rakyat.
Konflik yang membahagi dua keluarga dan kerabat istana ketika hak pewarisan takhta dan kuasa, juga kedaulatan seakan saling cuba dinafikan.
Sukar untuk memendamkan sahaja laporan begini dalam keadaan dunia hari ini dan sukar pula untuk sentiasa menyatakan dengan jelas apa yang berlaku agar tidak mencemarkan institusi tonggak pemerintahan itu.
Konflik dalam keluarga istana Kelantan sudah lama berlarutan, dari satu episod ke satu episod yang lain dan bahang itu makin meruap-ruap yang mula turut terasa di kalangan rakyat.
Bermula dengan kegeringan Sultan Kelantan seiring dengan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra 24 Mei tahun lalu sebagai Pemangku Raja, hampir genap setahun segala sengketa.
Tempoh selepas 12 bulan ketika tahap kesihatan Tuanku Ismail Petra masih menjadi persoalan tentang keupayaan untuk baginda kembali memerintah mungkin menjadi perhitungan jika rentetan peristiwa sengaja dirancang.
Mungkinkah kerana tempoh itu makin hampir yang boleh menjadi penyelesaian pemutus kedudukan Tengku Muhamad Faris mengikut perlembagaan.
Justeru khabar angin dan khabar nyata kedengaran di mana-mana dengan pelbagai kisah termasuk saman menyaman di mahkamah, laporan-laporan polis dan penahanan oleh pihak berkuasa.
Peristiwa pengawal peribadi Pemangku Raja parah ditembak penyerang tidak dikenali awal bulan ini secara tidak langsung turut memberi gambaran lebih membimbang tentang keselamatan keluarga istana.
Langkah anggota keluarga untuk sekali lagi membawa Sultan Kelantan ke Hospital Mount Elizabeth Singapura Selasa lalu, begitu juga dengan tindakan tegas pihak berkuasa menghalang usaha itu yang agak menggemparkan mengundang lebih banyak tanda-tanya.
Pada masa yang sama ia mencetuskan lebih banyak persepi mereka berkait dengan rentetan insiden dalam konflik keluarga makin mendukacita dan membimbangkan itu yang terarah kepada soal kuasa dan kedudukan dalam pemerintahan.
Tahap kesihatan Tuanku Ismail Petra seolah-olah masih menjadi percaturan utama dan pastinya semakin berlarutan dengan penglibatan peranan para peguam untuk merujuk kepastian soal batas kuasa melalui mahkamah.
Apakah motif di sebalik usaha untuk menerbangkan baginda ke Singapura ketika baginda sebelum ini digambarkan semakin pulih dan sekadar memerlukan rawatan susulan fisioterapi di Istana Mahkota, Kubang Kerian?
Malah keadaan 'makin pulih' baginda itu turut cuba digambarkan melalui pertemuan dengan rakyat di samping mempelawa wakil-wakil media utama dari Kuala Lumpur dalam majlis minum teh di samping foto-foto baginda dibawa bersiar-siar mengelilingi bandar ini.
Pemeriksaan
Kalangan yang rapat dengan pihak istana mempersoalkan mengapa doktor-doktor dari Singapura yang pernah merawat baginda tidak diterbangkan ke sini jika sekadar memerlukan pemeriksaan susulan melainkan keadaan baginda kembali meruncing.
''Pasti ada suatu yang terus cuba disembunyikan dan dielak daripada terdedah sekembalinya baginda ke Kelantan pada 4 Mac lalu setelah menerima rawatan di negara itu sejak 24 Mei tahun lalu," ujar seorang yang mempunyai hubungan dengan pentadbiran istana.
Ada yang mengaitkannya dengan kehadiran Tan Sri Abdul Gani Patail yang menziarahi baginda 23 April lalu dengan andaian Peguam Negara itu mungkin menyampaikan sesuatu kepada pihak-pihak tertentu ekoran kegeringan tuanku yang berpanjangan dan tindak-tanduk mereka.
Telahan itu benar agaknya kerana Jumaat lalu Ghani dilaporkan telah meminta Raja Perempuan Kelantan untuk membenarkan panel doktor menjalankan pemeriksaan bagi mengelak tindakan perundangan.
Sepanjang dirawat di Singapura sejak 24 Mei tahun lalu, tiada sebarang pengesahan yang jelas mengenai status kesihatan baginda setelah panel perubatan yang dilantik oleh kerajaan negeri tidak dibenarkan menemui baginda.
Malah permohonan pihak berkuasa negeri awal tahun untuk mendapatkan laporan perubatan ditolak atas alasan baginda yang dikatakan berkeupayaan membuat keputusan sendiri, tidak memberi kebenaran.
Sekembalinya baginda ke tanah air, bagi menyakinkan lagi, Kementerian Kesihatan telah memasukkan empat lagi pakar perubatan dalam senarai panel yang dipersoalkan, namun mereka juga berhadapan halangan.
Bagi kalangan tertentu pula melihat pembentukan panel pakar perubatan ini tidak lebih daripada usaha untuk menyisihkan tuanku lebih awal dari tampuk kuasa.
Insiden yang berlaku petang Selasa lalu memperlihatkan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra mula bertindak tegas dengan kuasa yang ada setelah kesabaran yang berpanjangan walaupun terhadap anggota keluarganya.
Baginda mungkin mahu mengakhiri segera kemelut ini walaupun terpaksa agak keras berdepan keluarga sendiri apabila Tuanku Ismail Petra dihalang daripada dibawa ke Singapura setelah segala persiapan diatur, lalu dihalakan ke Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Krian.
Ia sekali gus memberi ruang pemeriksaan dilakukan dan memastikan rawatan susulan terbaik buat baginda, khidmat guaman digunakan untuk mengeluarkan baginda dari hospital setelah didakwa ditegah daripada dibawa pulang.
Namun insiden itu boleh memberi persepsi tidak menyenangkan dengan ada yang menyifatkan baginda tidak sepatutnya berbuat sedemikian cara terhadap ayah dan bonda baginda, berdasarkan cara bertindak pasukan keselamatan.
Pejabat istana bagaimanapun telah memberi jawapannya bahawa ia seperti terpaksa dilakukan demi kerana kasih dan sayang baginda terhadap mereka bagi membetulkan keadaan yang kian menyimpang. Juga bagi menjamin kesihatan dan keselamatan Tuanku Ismail Petra diberi perhatian sebaik-baiknya.
Justeru peluang panel perubatan yang dilantik menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dapat membantu memberikan jalan keluar yang lebih pasti.
Sultan sememangnya bukan sekadar milik istana, ia milik rakyat dan mereka harus mengetahui apa yang terbaik untuk baginda lalui dalam keadaan sebegini dan berhak mengharap sengketa keluarga ini dipadamkan segera.
Namun ramai yang yakin ada hikmah di sebalik semua ini yang akan memberikan rahmat kepada istana dan juga rakyat. Sampai bila mereka harus menunggu?

No comments:

Post a Comment