Wednesday, September 15, 2010

Pejabat Sultan buat 2 laporan

KOTA BHARU: Pejabat Sultan Kelantan membuat dua laporan polis berhubung kenyataan Tengku Merjan Sultan Yahya Petra dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang disiarkan media mengenai pemasyhuran Pemangku Raja, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai cubaan rampasan kuasa dan satu penderhakaan.
Laporan polis pertama dibuat Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berhubung kenyataan kekanda sulung Tuanku Ismail Petra menerusi artikel akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Penyingkiran Tuanku Ismail’ dan akhbar The Star bertajuk ‘MB: What proclamation’, kelmarin.
Sebaik selesai membuat laporan pertama pada jam 4 petang, laporan kedua dibuat seorang pegawai tadbir istana berusia 40 tahun terhadap kenyataan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia bertajuk ‘Istana Kelantan menyalahi undang-undang’.

Pegawai terbabit yang enggan mendedahkan namanya turut membuat laporan berhubung kenyataan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang disiarkan akhbar Kosmo bertajuk ‘Tiada surat jemputan ke istana’ dan kedua-dua artikel berkenaan disiarkan pada 12 September lalu.

Abdul Halim berkata, tindakan membuat laporan polis itu dilakukan bagi membolehkan polis menyiasat kenyataan Tengku Merjan dan Tengku Muhammad Fakhry Petra yang dilihat seolah-olah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai tidak sah.

“Berita disiarkan akhbar kelmarin melalui kenyataan dibuat Tengku Merjan dengan menyatakan wujud perkara luar biasa, tidak mengikut perlembagaan dan seolah-olah pemasyhuran Tuanku tidak sah.

“Ini kerana ia bertentangan dengan kehendak perlembagaan sedangkan perkara itu jelas. Sebab itu, kita mahu polis membuat siasatan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu di sini, semalam.

Mengulas lanjut berhubung laporannya, beliau berkata, antara lain dinyatakan Tengku Merjan sebarang tindakan menyingkirkan Sultan di luar daripada cara ditetapkan Perlembagaan negeri adalah satu kudeta dan boleh dikategorikan sebagai penderhakaan mengikut Kanun Keseksaan.

“Pemasyhuran pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra dibuat mengikut peruntukan Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Kedua) dan ia bukan satu tindakan penyingkiran.

“Tuduhan Tengku Merjan itu menggambarkan Majlis Penasihat Raja, Majlis Perajaan Negeri dan semua yang terbabit dengan pindaan Perlembagaan Negeri dan perisytiharan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sudah melakukan satu penderhakaan,” katanya dalam laporan itu.

Katanya, tuduhan itu satu yang begitu berat dan fitnah sengaja diadakan. Perbuatan memfitnah adalah satu kesalahan jenayah mengikut Kanun Keseksaan.
Berkaitan laporan kedua pula, Tengku Muhammad Fakhry Petra antara lain berkata usaha memasyhurkan Tengku Muhammad Faris Petra adalah satu penderhakaan dan menyalahi undang-undang.

“Tuduhan Tengku Muhammad Fakhry Petra itu menggambarkan bahawa Majlis Penasihat Raja, Majlis Perajaan Negeri dan semua orang yang terbabit dengan pindaan Perlembagaan Negeri dan perisytiharan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sudah melakukan satu penderhakaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment