Friday, August 26, 2011

Lelaki kurang siuman nyaris maut



KOTA BHARU- Seorang lelaki kurang siuman nyaris maut selepas terperangkap dalam tandas sebuah rumah yang tidak berpenghuni dipercayai dibakarnya di Pintu Geng, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dikatakan membakar rumah kosong terbabit sebelum bersembunyi di dalam tandas rumah berkenaan.

Difahamkan sebelum kejadian, lelaki tersebut cuba membakar sebuah rumah lain bagaimanapun ia disedari penghuninya dan berjaya mencegah perlakuan lelaki itu.

Penguasa Bomba Bahagian Operasi Negeri, Shahrin Yusmar Mat Yusoff berkata, anggotanya telah mendengar jeritan lelaki terbabit yang meminta air ketika cuba memadamkan kebakaran.

“Selepas mendengar jeritan itu, anggota bomba dapat mengesan lelaki tersebut dalam tandas, ketika itu asap telah memenuhi seluruh ruang tandas tersebut. Dia kemudian berjaya dikeluarkan walaupun dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, seramai 21 anggota bersama tiga buah jentera dari Balai Bomba Kota Darulnaim dan Kota Bharu dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 7.59 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

“Api berjaya dapat dikawal kira-kira seminit selepas itu dan lima minit kemudian berjaya dipadamkan keseluruhannya. Pihak kami dapat kawal api dengan pantas kerana tekanan air yang baik di kawasan itu,” katanya. Beliau memberitahu, jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM500,000.

No comments:

Post a Comment