Tuesday, April 19, 2011

Pesakit mental hilang 2 tahun diperalat sindiket


ALOR GAJAH: Seorang pesakit mental yang ghaib di Puchong, Selangor sejak lebih dua tahun lalu ditemui semula selepas kisahnya disiarkan akhbar ini Jumaat lalu.
Tambi Hassan Tambi Ali, 70, kini berada di bawah jagaan Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Perak selepas diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pulau Pinang dalam satu operasi Disember 2009.

Asmah Ali, 66, berkata, keluarganya menerima panggilan daripada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ulu Kinta, apabila kisah mengenai abangnya disiarkan akhbar ini.

“Kami merancang mengadakan solat ghaib dan doa selamat supaya abang ditemui dan ia terpaksa dibatalkan.

“Pelbagai usaha kami lakukan sebelum ini untuk mencari abang, namun tidak sangka dia berada di rumah perlindungan di Perak,” katanya ketika ditemui di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga bersyukur kerana abangnya ditemui selamat walaupun sudah lebih dua tahun dia menghilangkan diri. Katanya, kakak sulungnya, Halimah, 71, sudah menuntut abangnya di pusat jagaan itu kelmarin sebelum dibawa pulang.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Azizi Arifin berkata, Tambi Hassan ditemui merayau-rayau dan mengemis di bandar Pulau Pinang sebelum diselamatkan dalam satu operasi khas pada penghujung 2009.

“Warga emas itu berada di Pulau Pinang dipercayai dalam jagaan satu sindiket yang menjadikan golongan seperti itu sebagai pengemis untuk kepentingan mereka.
“Mengikut rekod kami, Tambi Hassan ditempatkan di rumah perlindungan ini sejak 3 Disember 2009 lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki yang menghidap penyakit mental hilang ketika keluar merayau-rayau di rumah kakaknya di Puchong sejak kira-kira dua tahun lalu

No comments:

Post a Comment