2010/12/02
PAROI: Kira-kira 2,500 penduduk Taman Bukit Margosa di sini, hidup dalam kebimbangan berikutan kejadian pecah rumah di taman itu semakin meningkat dengan kes terbaru berlaku Jumaat lalu. Dalam kejadian itu, seorang ibu tunggal menjadi mangsa apabila kediamannya diceroboh penjenayah yang melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai kira-kira RM30,600.
Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu, Azizul Rahman Mohd Yusof, 39, berkata kejadian itu berlaku pada waktu siang ketika mangsa berusia 50-an bersama tiga anaknya keluar bekerja.Katanya, penceroboh dipercayai memasuki rumah dengan memecahkan pintu belakang dan mengumpil jeriji sebelum masuk ke bilik utama dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM30,000 dan wang tunai kira-kira RM600.
"Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik pulang kira-kira jam 5 petang dan membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2.
"Kedudukan rumah yang terlindung dari jalan besar mungkin memberi ruang kepada penjenayah memasuki rumah itu," katanya.
Azizul Rahman berkata, kejadian jenayah seperti itu sudah lama tidak berlaku di taman itu, terutama pada waktu malam sejak KRT mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) awal tahun ini dan mengadakan rondaan setiap malam.
Berikutan kejadian pecah rumah itu, katanya, KRT mengeluarkan notis kepada semua penduduk taman untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan rumah masing-masing.
"Sebelum ini, kejadian pecah rumah berlaku pada waktu malam dan awal pagi, tetapi penjenayah mengubah taktik melakukan pada waktu siang ketika sebahagian besar penghuni keluar bekerja.
"Rondaan SRS yang ketika ini hanya dijalankan pada waktu malam mungkin diperluaskan pada waktu siang bagi mengelak kes itu berulang," katanya.
Sebagai langkah jangka panjang, katanya, KRT merancang bekerjasama dengan polis menjayakan program Rakan Cop untuk membolehkan lebih ramai penduduk menjadi ahli, sekali gus mendapat maklumat berkaitan keselamatan.
"Saya berharap kerjasama dengan polis dapat menangani kegiatan jenayah di taman ini dan memastikan keselamatan penduduk terjamin," katanya.
No comments:
Post a Comment