Tuesday, August 16, 2011

GERAI PERTAMA: BELAKANG ISTANA BUDAYA



Masih terdapat beberapa golongan kaki ponteng yang tidak malu makan secara terbuka
 di salah sebuah gerai di Istana Budaya, baru-baru ini.

SUDAHLAH tidak menunaikan solat Jumaat, berani pula makan di khalayak ramai.
Tambah mengejutkan, bukan seorang dua yang dilihat asyik menikmati makanan dan minuman masing-masing, malah hampir 15 orang Islam kelihatan berada di gerai milik pengusaha Melayu itu pada satu-satu masa.
Ibarat sarang tempat mereka yang tidak berpuasa, gerai terletak kira-kira 500 meter dari Jalan Tun Razak itu juga tidak henti-henti dikunjungi pelanggan yang majoritinya keturunan Melayu termasuk pekerja pejabat.
Bahkan, siasatan selama setengah jam itu turut mendapati, konsep ‘makan sini’ begitu popular serta menjadi pilihan kebanyakan kaki ponteng puasa terbabit dan hanya segelintir yang dilihat membeli secara bungkus.
GERAI DUA: BERHAMPIRAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
MEMILIH gerai mamak yang sentiasa penuh dengan pelanggan daripada pelbagai kaum, merupakan helah terbaru golongan kaki ponteng puasa dalam mengelirukan serta mengalihkan pandangan orang ramai.
Buktinya, tinjauan pada pukul 1 petang di salah sebuah gerai di Jalan Choo Cheng Kay mendapati, seorang pemuda Melayu bukan sahaja berani makan secara terbuka bahkan memilih untuk duduk di meja menghadap ke arah jalan raya.
Walaupun sedar gelagatnya diperhatikan wartawan, namun tanpa segan-silu pemuda itu terus menyuap makanan dan dalam tempoh kurang lima minit ia sudah dihabiskan.
GERAI TIGA: KAMPUNG PANDAN
LAGAK dua orang pemuda ini langsung tidak menunjukkan mereka sebenarnya Islam apabila tergamak minum di depan khalayak ramai.
Bukan sahaja minum, sambil duduk melepak mereka turut menghisap rokok tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang.
Apa yang menghairankan, selain dua pemuda terbabit, turut kelihatan seorang pelanggan wanita bertudung berada di kedai terbabit.
Melihat gelagat golongan kaki ponteng yang seperti sudah biasa itu, tidak keterlaluan dikatakan mungkin gerai tersebut merupakan lubuk ponteng puasa yang sering menjadi kunjungan mereka.
RESTORAN PERTAMA: DESA PANDAN
KETIKA gerai-gerai dan restoran lain menutup operasi pada waktu pagi, sebuah restoran mamak di Desa Pandan tegar meneruskan kegiatan bersubahat dengan golongan ponteng puasa.
Lokasinya yang berhampiran dengan jalan besar, memudahkan golongan ponteng puasa untuk berhenti dan singgah membeli juadah berbuka.
Menurut salah seorang penduduk di kawasan berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 20, kegiatan membeli makanan oleh golongan kaki ponteng puasa sememangnya sering dilihat di restoran 24 jam itu.
“Kebanyakan pelanggan yang dilihat membeli makanan di restoran itu terdiri daripada lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan ke atas.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi, lokasi restoran terletak berhampiran kawasan perumahan. Ia memberikan contoh yang tidak baik buat golongan muda dan kanak-kanak,” katanya.
RESTORAN DUA: CHERAS
DAHULU gaya memakai topi keledar mahupun cermin mata hitam sinonim sebagai ‘fesyen rasmi’ golongan kaki ponteng puasa bagi membeli makanan bungkus di gerai mahupun restoran.
Tujuannya, adalah untuk melindungi muka mereka daripada dikenali orang ramai termasuklah pengusaha gerai dan restoran terbabit.
Namun, seiring dengan perubahan zaman, lain pula fesyen yang dilihat wartawan menerusi siasatan dijalankan di salah sebuah restoran di Cheras baru-baru ini.
Apa tidaknya, mereka semakin berani mempamerkan wajah masing-masing. Ibaratnya, mereka sudah tidak kisah jika seluruh masyarakat tahu tentang perangai ponteng puasa itu.-utusan

No comments:

Post a Comment