Makan secara terbuka di sebuah gerai yang menjadi lubuk ponteng puasa di sekitar kawasan Kampung Pandan, Kuala Lumpur. |
KETIKA umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadan, lain pula halnya dengan golongan kaki ponteng puasa yang tidak segan-silu melakukan dosa.
Keberanian si kaki ponteng puasa semakin terserlah, seolah-olah tidak gentar langsung dengan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara berdasarkan Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan jika disabitkan bersalah.
Malah, semakin ramai di kalangan mereka tergamak ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari yang lazat di khalayak umum.
Hinggakan ada di antara mereka memilih untuk berbuka secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai mahupun restoran-restoran.
Yang menimbulkan tanda tanya ialah operasi penguatkuasaan seolah-olah gagal berperanan untuk membendung gejala yang memalukan umat Islam tersebut.
Ikuti pendedahan oleh wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ROSALINDA MD. SAID dan NORAZRIN MARZUKI serta jurugambar, ZAINI HUSIN, RIDUAN RIZAL dan SAFIYANA SALIM mengenai trend terbaru kaki ponteng puasa melepaskan lapar dan dahaga di gerai-gerai dan restoran sekitar ibu negara.
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Tanpa sekelumit rasa berdosa atau malu, golongan kaki ponteng puasa kini semakin berani ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari di depan khalayak umum.
Mereka tidak lagi melakukan perbuatan terkutuk itu secara ‘sorok-sorok’, sebaliknya, memilih untuk ‘berbuka’ secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai-gerai atau restoran.
Hal ini jauh berbeza dengan siasatan yang pernah dijalankan Unit Khas Utusan Malaysia pada tahun lepas apabila taktik penyediaan ‘tempat makan khas’ di bahagian belakang atau dapur, telah tidak lagi menjadi kegemaran si kaki ponteng puasa.
Demi nafsu, golongan kaki ponteng puasa seolah-olah tidak lagi kisah dan merelakan wajah serta aksi ‘makan’ mereka ditonton orang ramai.
Malah, ada yang sanggup duduk dan makan secara terbuka walaupun hakikatnya ruang disediakan tersebut dipenuhi oleh orang bukan Islam yang sedang makan tengah hari.
Strategi mereka yang makan, sama ada secara berseorangan ataupun berdua bagi mempercepatkan urusan ‘berbuka’, mungkin sukar dikesan oleh pihak penguat kuasa.
Trend terbaru ini adalah hasil tinjauan oleh Unit Khas Utusan Malaysia di beberapa gerai dan restoran makanan di sekitar ibu kota sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa.
Apa yang menarik, golongan ini gemar memilih lokasi gerai atau restoran yang terletak betul-betul di tepi atau bahu jalan.
Pilihan itu mungkin untuk memudahkan mereka memerhati atau melihat sesiapa sahaja yang lalu-lalang, khususnya anggota penguat kuasa.
Bagaimanapun, sikap makan secara terbuka tersebut dilihat sering dilakukan oleh golongan lelaki muda manakala mereka yang telah berusia pula memilih membeli makanan secara bungkus.
Bagi yang membeli secara bungkus, tiada lagi istilah malu untuk menutup muka dengan topi keledar ataupun berkaca mata hitam.
Apa dikesalkan ialah sepanjang siasatan dilakukan, tiada sebarang operasi penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Malah sumber dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika dihubungi turut mengesahkan mereka hanya melakukan pemantauan biasa dalam tempoh tersebut.
Gambar-gambar yang disiarkan ini adalah hasil tinjauan di gerai-gerai serta restoran mamak yang beroperasi seperti biasa di sekitar ibu negara.-utusan
No comments:
Post a Comment