Tuesday, August 2, 2011

90,000 warga asing sasaran seludup manusia



KUALA LUMPUR 1 Ogos - Dianggarkan 90,000 warga asing yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) di Lembah Klang di sini, dikenal pasti menjadi antara sasaran sindiket penyeludupan manusia.
Mereka yang didaftarkan sebagai pelarian dari lebih 20 buah negara itu menjadi sasaran sindiket berkenaan berikutan proses penempatan pelarian ke negara ketiga secara sah mengambil masa lama iaitu tiga hingga lima tahun.
Sumber memberitahu, pelarian yang didaftar di bawah UNCHR terpaksa berbuat demikian untuk menyara kos kehidupan berikutan undang-undang negara ini tidak membenarkan mereka bekerja.
"Sindiket penyeludupan pula mengambil kesempatan itu dengan menawarkan khidmat membawa mereka ke negara ketiga dengan lebih cepat sama ada melalui darat, udara atau laut.
"Ada juga keluarga pelarian yang meminta bantuan sindiket bagi membolehkan ahli keluarga mereka yang berada di Malaysia keluar dari negara ini segera," kata sumber itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini mendedahkan empat pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah antara 45 individu dikesan menjadi ketua sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, sindiket penyeludupan mengenakan kos transit yang tinggi iaitu AS$15,000 (RM44,500) hingga AS$35,000 (RM104,00) bergantung kepada destinasi.
Bagaimanapun katanya, pelarian perlu membayar wang pendahuluan RM10,000 hingga RM20,000.
"Oleh itu, keluarga pelarian di negara masing-masing terpaksa jual tanah atau harta benda untuk menjelaskan wang pendahuluan tersebut.
"Selepas proses transit selesai, jika bayaran masih belum dijelaskan, pelarian diperas ugut pula sehingga ada terpaksa memperdagangkan diri atau bekerja dengan sindiket jenayah seperti keldai dadah bagi mendapatkan wang segera," katanya lagi.
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment