Thursday, August 18, 2011

Negara rugi RM800 juta setahun kerana bir seludup

SUNGAI PETANI 17 Ogos - Perbendaharaan Negara dianggarkan mengalami kerugian lebih RM800 juta setahun akibat kegiatan penyeludupan arak terutamanya bir yang dikesan semakin berleluasa ketika ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, selain menjejaskan sumber pendapatan negara, aktiviti berkenaan turut menimbulkan masalah kepada pengusaha industri minuman keras.
"Bir yang tidak dibenarkan diimport itu diseludup melalui jalan darat dan laut seperti di jeti-jeti haram yang sukar dikawal kegiatannya.
"Selain itu, ada kemungkinan juga bir dibawa masuk di pelabuhan melalui ikrar barangan yang tidak betul dan juga penipuan label BFE iaitu bir untuk eksport," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Kompleks Pangkalan Pencegahan Kastam Tanjung Dawai dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kastam negeri, Datuk Abd. Aziz Abdul Latif dan Jurutera JKR Daerah Kuala Muda, Mohd. Fadhil Dashah.
Menurut Donald, bagi mengatasi masalah penyeludupan itu, pihaknya mengambil beberapa langkah termasuk menambah bilangan anggota penguat kuasa selain mendirikan pos kawalan di lokasi terdedah risiko penyeludupan.
"Di samping itu, kerajaan telah merancang untuk menambah beberapa lagi pejabat Bahagian Pencegahan Kastam bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti penguatkuasaan," jelasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, projek Kompleks Pangkalan Pencegahan Kastam Tanjung Dawai bernilai RM12.1 juta mengalami kelewatan agak ketara ekoran beberapa masalah yang timbul.
"Projek ini bermula 12 April 2010 dan sepatutnya siap Jun lalu, tetapi kemajuan sebenar fizikal pembinaan hanya sekitar 38 peratus," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment