Friday, October 5, 2012

10 tahun jalan sesak

10 tahun jalan sesak“KALAU sakit hati melalui jalan sesak, hendak marah kepada siapa pun tidak tahu,” luah Lee Kim Hong, 71, pengguna tegar jalan besar Seri Kembangan yang terpaksa ditempuhi puluhan ribu pengguna setiap hari.

Kata Kim Hong,  selain sesak banyak kenderaan, sikap individu  yang meletakkan kenderaan di salah satu laluan dua lorong untuk ke gerai berhampiran juga antara punca.

Katanya, kadangkala dia terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk perjalanan hanya sejauh tiga kilometer kerana kesesakan terlalu serius terutama pada waktu puncak.

Menurutnya, jika laluan tidak sesak, dia boleh sampai ke The Mines hanya dalam masa 10 minit.  Tetapi, apabila menggunakan jalan besar Seri Kembangan, dia akur banyak masa berharganya terbuang di atas jalan raya.

Dia yang mempunyai rutin menghantar dua cucu ke sekolah setiap hari mendakwa, kesesakan bukan sahaja berlaku pada hari bekerja tetapi keadaan lebih teruk setiap hujung minggu.

“Saya sudah 62 tahun tinggal di Seri Kembangan, sejak 10 tahun lalu jalan di sini menjadi semakin sesak, berkemungkinan jumlah kereta yang bertambah.

“Saya memang minta sangat pihak berkenaan membantu selesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wong Fah Song, 48, berkata, dia yang menggunakan laluan itu hampir tiga kali sehari untuk urusan perniagaan ‘letih’ memikirkan isu kesesakan yang seolah-olah tiada kesudahan.

Katanya, keadaan bertambah sukar apabila terkejar-kejar menepati temu janji bersama pelanggan.

"Pasti berlaku kelewatan akibat terpaksa menempuh masalah terbabit.

“Bukan jalan tidak cukup besar, tetapi lampu isyarat terlalu banyak, kita bukan sesak kerana lampu isyarat merah tetapi lampu bertukar hijau pun kenderaan tidak bergerak.

“Kalau keadaan berterusan begini, memang kami dibebani pembaziran petrol, masa malah kaki penat memandu dalam kesesakan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kesesakan trafik bukan sahaja isu serius membebani penduduk dan pengguna jalan raya di Seri Kembangan malah, masalah sama juga dikatakan menjadi punca perkembangan ekonomi dan menjejaskan rutin seharian penduduk.

Keadaan itu dikukuhkan lagi apabila melihat keadaan laluan lama yang hampir 30  tahun digunakan itu masih berada dalam kategori sama dan hampir setiap jam mengalami kesesakan seolah-olah berada di pusat bandar raya yang sibuk.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, beliau sedia maklum masalah tersebut semakin paling serius.

Katanya, wujud beberapa faktor menjadi penyumbang termasuk kewujudan lapan persimpangan lampu isyarat di jalan sepanjang 9.4 kilometer dari Bandar Putra Permai ke Seri Kembangan.

Beliau berkata, ada beberapa perancangan telah dibuat kerajaan melalui kementerian bagi mengatasi masalah itu selepas isu dibangkitkan di Parlimen.

Katanya, rakyat kini  menunggu Kementerian Kerja Raya melaksanakan beberapa projek dijanjikan termasuk rancangan menaik taraf Jalan Persekutuan 3215, membina lampu isyarat di Jalan SR 6/1, Serdang Raya dan persimpangan bertingkat dari Seri Kembangan ke Lebuhraya Mex (Lebuhraya KL-Putrajaya).

Nie Ching berkata, kementerian berjanji persimpangan lampu isyarat di Serdang Raya yang menelan kos sebanyak RM200,000 dijangka siap penghujung tahun ini.

Katanya, persimpangan bertingkat di Lebuhraya Mex yang menelan belanja hampir RM90 juta pula dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan kini difahamkan masih dalam proses pengambilalihan tanah.

“Mengikut perangkaan, lebih 30,000 kenderaan melalui laluan dari Bandar Putra Permai hingga ke Jalan Besar Seri Kembangan setiap hari. Untuk mengatasi masalah kementerian bercadang laksanakan projek membina empat persimpangan bertingkat dengan kos RM60 juta.

“Rancangan itu dimaklumkan dimasukkan dalam ‘Rolling Plan’ ke-3 Rancangan Malaysia ke-10 antara tahun 2013 hingga 2014 tetapi tertakluk kepada peruntukan,” katanya.

Nie Ching berkata, walaupun bukan penyelesaian masalah, projek tersebut dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan


Terowong RM30 juta tinggal janji

Akibat janji pembinaan terowong bernilai RM30 juta di Bangi tidak dilaksanakan lebih 3,000 penduduk dari Taman Kajang Utama dan Kajang Sentral terpaksa membazirkan masa, wang dan minyak petrol mereka setiap hari.

Difahamkan, terowong berkenaan dijanjikan oleh Menteri Kerja Raya ketika majlis perasmian Lebuhraya Silk pada tahun 2004.

Bagaimanapun, selepas lapan tahun menanti, janji masih tidak dilaksanakan dan penduduk terpaksa membayar tol atau membuat pusingan U untuk ke Pekan Kajang.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, perkara itu menyebabkan kegiatan ekonomi lumpuh di kawasan berkenaan.

“Saya difahamkan terowong berkenaan tidak dapat dibina kerana masalah bajet,” katanya.

Sementara itu, katanya, lebih 7,000 penduduk di Taman Bukit Mewah turut terbeban dengan masalah apabila tiada jalan masuk dari lebuh raya ke kawasan perumahan mereka.

Nie Ching berkata, hanya ada jalan keluar ke lebuh raya namun jalan masuk yang siap dibina ditutup dan pengguna dari lebuh raya terpaksa melakukan pusingan antara lima hingga tujuh kilometer untuk pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, penduduk yang tinggal di Taman Bukit Mewah perlu melalui Taman Kajang Prima dan Taman Jasmin sebelum sampai ke rumah mereka selain terpaksa melalui jalan bertol.

Kepayahan itu, jelas Nie Ching mendorong sesetengah pengguna yang sanggup menggadaikan nyawa masuk ke kawasan perumahan dengan melalui jalan keluar yang bertentangan

“Apa yang saya tahu, jalan masuk tidak dibuka dengan alasan pihak konsesi tidak bersetuju kerana menyebabkan ‘kebocoran’ tol serta kerugian RM150 juta setahun kepada mereka sehingga tempoh konsesi tamat.

“Kita harap kementerian beri keutamaan kepada penduduk, mengenai isu ini,” katanya.


Tekanan air rendah

Isu air paling kritikal di beberapa kawasan di Balakang seperti Taman Cheras Jaya, Taman Bukit Belimbing, Balakong Jaya, Puncak Utama adalah masalah tekanan air rendah.

Masalah tersebut dikatakan membelenggu rakyat didakwa berpunca kebocoran paip menyebabkan bekalan air tidak stabil disalurkan ke rumah penduduk.

Bukan sahaja penduduk, malah pengusaha kawasan industri mengalami kerugian apabila paip-paip sudah terlalu lama dan uzur tidak dibaik pulih.

Nie Ching ketika dirujuk masalah itu berkata, pihaknya dimaklumkan paip sepanjang empat kilometer di Cheras Jaya perlu ditukar baru bagi mengatasi masalah itu.

“Masalah beri kesan kepada ribuan orang, sebab itu kita harap Kerajaan Negeri dapat ambil alih syarikat konsesi air secepat mungkin,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment