Sunday, August 22, 2010

Soi Lek jangan banyak melatah


Oleh - Tok Perak


MEMANG mengguris perasaan, tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan. Orang Melayu, khasnya ahli UMNO yang lebih dua juta itu, boleh sahaja berasa tersinggung dengan kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Isnin lalu. 

Tanpa selindung-selindung, juga tanpa ‘konar-konar’, Presiden MCA itu menegaskan bahawa partinya tidak takut untuk berkongsi pandangan yang sama dengan DAP dalam hal yang boleh memberi keuntungan kepada masyarakat Cina. 

Bunyinya macam mencabar, lebih-lebih lagi apabila beliau menambah, UMNO tidak boleh menyalahkan MCA walaupun parti itu mempunyai pandangan berbeza daripada pendirian BN kerana tuntutan yang disuarakan beliau adalah gambaran kepada keinginan masyarakat Cina. 

Ini bukan soal UMNO, ini soal BN. Duduk sekelambu dalam keluarga BN yang besar, Soi Lek sepatutnya mengambil kira perasaan teman-teman tidurnya. Tidak boleh melepas cakap ikut suka, lebih-lebih lagi dengan menyatakan pendirian bersekongkol dengan DAP yang memang diketahui berseteru sepanjang hayat dengan BN. 

Suara-suara sumbang lagi tidak romantik seperti itu tentu sekali boleh menghangatkan kelambu, dan menggegar katil BN, sehingga malam-malam yang sepatutnya indah menjadi tidak mesra. Silap-silap gaya akan ada yang keluar kelambu! 

Tetapi, untuk berlaku adil, tindakan Soi Lek itu bukan mengejutkan sangat. Orang No.1 parti terbesar Cina itu nampaknya tidak ada banyak pilihan. Pada ketika MCA – juga parti-parti Cina lain dalam BN – merudum selepas tsunami 2008, MCA hendak menonjolkan sebagai pejuang masyarakat Cina. 

Maka tidak menghairankan sekiranya MCA akhir-akhir ini lebih berani dan lantang menyuarakan isu-isu yang dahulunya dijeritkan oleh DAP, termasuk hak istimewa Melayu, ekuiti 30 peratus bumiputera, agihan biasiswa, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan lain-lain. 

Tentu sekali MCA, khasnya Soi Lek, dalam usaha untuk memenangi perasaan dan undi masyarakat Cina, bebas untuk menjerit dan memekik sama seperti DAP, walaupun itu akan menyinggung perasaan rakan-rakan setidurnya. Beliau nampaknya tidak kisah lagi dengan siapa dia tidur. 

Cuma satu perkara yang perlu Soi Lek ingat ialah jeritan dan pekikannya tidak semestinya menguntungkan MCA. Hakikatnya ialah masyarakat Cina tidak ada keyakinan lagi terhadap parti itu. Ini telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum 2008, dan pada beberapa pilihan raya kecil, termasuk paling baru di Kuala Selangor dan Sibu. 

Pada dua pilihan raya kecil terakhir itu apa sahaja yang tidak dijanjikan dan diberikan oleh BN untuk pengundi Cina. Peruntukan berjuta-juta untuk kemudahan asas, peruntukan serta merta kepada SJKC, pendek kata apa sahaja. 

Terbukti ‘gula-gula’ pilihan raya itu hanya menyukakan hati masyarakat Cina, tetapi tidak memenangi undi Cina. Pada kedua pilihan raya kecil itu jelas undi Cina berpindah ke parti lain. 

Dengan menyuarakan isu-isu yang menurutnya ‘boleh memberi keuntungan kepada masyarakat Cina’, Soi Lek boleh mendabik dada sebagai wira masyarakat yang diwakili partinya. Tetapi, apa erti wira sekiranya parti kalah dalam perjuangan? Kekalahan MCA adalah kekalahan BN. 

Dalam keadaan MCA yang semakin tidak relevan, lebih baik ‘Tuan Presiden’ jangan lepas cakap sangat. Duduk dalam kelambu dan kekalkan semangat persefahaman dalam BN. Mudah-mudahan dalam pilihan raya akan datang calon-calon MCA boleh mendapat sokongan di kawasan majoriti Melayu. 



* SEMINGGU dua ini kita membaca, juga melihat gambar-gambar, mengenai berita sedih dari negara China yang teruk dilanda bencana alam. Hujan lebat di Zhouqu yang terletak di barat laut wilayah Gansu menyebabkan banjir lumpur teruk bulan ini, menenggelamkan sebahagian besar bandar miskin dan terpencil serta menyebabkan lebih 1,200 maut. 

Ribut yang melanda berhampiran Longnan dan di wilayah Sichuan ke selatan juga menyebabkan ramai terkorban. Lebih daripada 1,000 orang maut dalam kejadian banjir di bahagian tengah, selatan dan timur laut negara itu. 

Terkini, Rabu lalu, sekurang-kurangnya 67 orang dilaporkan hilang setelah banjir lumpur melanda sebuah bandar terpencil di barat daya China yang berhampiran dengan Myanmar. 

Di bahagian-bahagian lain dunia pun, perubahan cuaca telah mengakibatkan bencana yang merosakkan harta benda dan mengorbankan nyawa. Maka kita patut bersyukur bahawa di tempat kita keadaan dan kehidupan berjalan seperti biasa – aman, nyaman dan mewah. Sebenarnya terlalu mewah sehingga kita membazirkan makanan ketika berbuka puasa! 



* AKHIR kalam, seperti yang dilaporkan media, jumlah bayaran zakat 2009 bagi Kumpulan Felda dan KPF ialah berjumlah RM25.82 juta iaitu bertambah RM5.94 juta berbanding RM19.88 juta pada 2008. 

Zakat Kumpulan Felda bagi 2009 adalah sebanyak RM14.92 juta iaitu bertambah RM2.15 juta manakala KPF pula berjumlah RM10.90 juta, meningkat sebanyak RM3.78 juta. 

Kalau bayar zakat sudah berpuluh-puluh juta, tentulah Felda untung. Jadi tidak timbul isu Felda bankrap seperti yang didakwa sesetengah pihak.

No comments:

Post a Comment