Monday, August 9, 2010

Soi Lek bidas Guan Eng reka cerita


KOTA KINABALU 8 Ogos - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak mereka-reka cerita kononnya pemimpin MCA memperkecilkan cendekiawan Islam dan sumbangan mereka kepada pembangunan tamadun ilmu ketika menyampaikan ceramah pada di Kedah baru-baru ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menegaskan, perkara tersebut tidak pernah berlaku tetapi intipati utama ucapan beliau ditokok tambah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat khususnya umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan taktik kotor Guan Eng itu.
"Ketika merasmikan Konvensyen MCA Kedah, saya sama sekali tidak menyentuh atau memperkecilkan sumbangan tamadun Islam dan cendekiawan Islam terhadap pembangunan ilmu termasuk dalam sains dan matematik.
"Apa yang saya cakap hanyalah berkisar kepada fakta mengenai nasib 57 negara di dunia yang majoriti penduduknya beragama Islam yang dipetik daripada buku tulisan Syed Akbar Ali bertajuk Malaysia And The Club of Doom," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Sabah di sini hari ini.
Hadir sama Timbalannya merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua MCA Sabah, Datuk Edward Khoo.
Soi Lek berkata, dengan penjelasan itu, beliau berharap pemimpin DAP dan Pas tidak memutarbelitkan fakta ucapan yang dibuat berdasarkan buku tulisan Syed Akbar Ali itu.
Katanya, intipati daripada buku berkenaan digunakan bagi menyedarkan masyarakat Cina padah yang bakal diterima jika terus menyokong Pas yang diketahui lebih mengutamakan pembangunan agama berbanding sosioekonomi rakyat.
Beliau menambah, antara lain penulis buku itu menyebut, oleh kerana 57 negara berkenaan mengabaikan pembangunan sosioekonomi rakyat, maka mereka hanya menyumbang lima peratus kepada Keluaran Kasar Negara (KDNK) dunia, walaupun memiliki 1.4 bilion penduduk atau 20 peratus populasi dunia.
"Di negara berkenaan tahap pendidikan juga rendah apabila 800 juta penduduk buta huruf dan kebanyakannya wanita, kadar pengangguran juga tinggi dan kemiskinan di mana-mana.
"Itu sahaja yang saya sentuh, bukan menyentuh pencapaian tamadun Islam lalu seperti dikatakan Guan Eng," katanya.
Sementara itu, Soi Lek berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri untuk mempertimbangkan kerusi tambahan kepada parti itu di negeri ini.
Katanya, MCA Sabah layak menerima kerusi tambahan kerana berjaya menambahkan ahli sehingga 20,000 di semua 25 bahagian di negeri ini.
Beliau berkata, keadaan itu mencerminkan hasrat masyarakat Cina di negeri ini untuk diwakili parti yang berpangkalan di Semenanjung, yang disifatkan mereka memiliki kelebihan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan Kerajaan Pusat.

No comments:

Post a Comment