Thursday, December 2, 2010

Rumah ganti terbengkalai



Oleh A'isyah Sukaimi
bhnews@bharian.com.my
2010/12/02

Tujuh sekeluarga kecewa terpaksa menyewa terlalu lama selepas kediaman asal diroboh 

SEPANG: Mana rumah kami? Itulah pertanyaan tujuh sekeluarga di Kampung Batu 28, Jenderam Hilir, dekat sini, apabila pembinaan kediaman mereka menerusi Projek Pembesaran Kampung Jenderam Hilir sejak Mei lalu belum siap hingga kini.
Nasib tujuh sekeluarga itu kini umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila rumah asal sudah dirobohkan tetapi kediaman baru tidak dapat diduduki, menyebabkan mereka terpaksa tinggal menyewa.
Mengikut projek berkenaan, rumah sedia ada milik tujuh keluarga terbabit yang dibina di atas tanah milik kerajaan negeri dirobohkan, manakala mereka diarah berpindah di tempat lain sementara kediaman baru di tapak asal dibina. 

Penduduk, Rustam Atan, 47, berkata perbincangan mengenai projek berkenaan diadakan antara mereka dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jenderam Hilir dan syarikat pembinaan pada Januari 2008 mengenai cadangan membina rumah ganti untuk mereka di tapak berkenaan. 

Katanya, mereka menerima notis supaya mengosongkan tapak berkenaan dalam tempoh 14 hari daripada Pejabat Tanah dan Daerah Sepang bertarikh 11 Februari 2008, bagi membolehkan rumah lama dirobohkan sebelum membina kediaman baru. 

Bagaimanapun, katanya, kerja pembinaan hanya bermula pada Mei lalu tetapi dihentikan empat bulan kemudian. 
Beliau berkata, pada masa ini, mereka tinggal di rumah sewa sementara menunggu kediaman baru itu disiapkan. 

"Kami tidak tahu mengapa kerja pembinaan dihentikan. Mengikut perjanjian, rumah akan siap dalam tempoh dua tahun," katanya kepada Berita Harian. 

Justeru, beliau merayu pihak berkenaan terutama kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu secepat mungkin bagi menjamin keluarga yang terjejas tidak hilang tempat berteduh. 

"Saya bukan golongan berada dan perlu menyara keluarga serta enam anak,” katanya. 

Pemilik lain, Zubaidah Osman, 57, berkata beliau dan keluarga amat berharap kediaman itu dapat disiapkan untuk membolehkan mereka hidup lebih selesa tanpa perlu menyewa selama-lamanya. 

"Kami juga sudah tidak mampu lagi menyewa rumah. Lebih 30 tahun saya tinggal di kampung ini, namun masih tidak memiliki rumah sendiri. Kerja saya hanya mengutip besi buruk dan tin kosong dengan pendapatan tidak menentu," katanya. 

Beliau berkata, mengikut perjanjian, pemaju berjanji membayar sebahagian sewa rumah atau RM100 sebulan dalam tempoh 24 bulan dan jumlah itu dinaikkan kepada RM300 sebulan jika melebihi tempoh itu, di samping wang sagu hati perpindahan RM300 kepada setiap keluarga. 

"Bagaimanapun, bayaran itu tidak diterima setiap bulan menyebabkan kami terpaksa guna wang sendiri untuk membayar sewa rumah," katanya. 

Sementara itu, Penolong Pegawai (Bahagian Tanah) di Pejabat Tanah dan Daerah Sepang, Nurul Nathasya Mokhtar, berkata rumah keluarga terbabit dibina oleh pemaju yang mahu memajukan kawasan berkenaan. 

"Projek pembinaan tujuh rumah itu adalah timbal balik syarikat berkenaan apabila ia tidak membayar premium tanah yang akan dimajukan kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment