Thursday, March 21, 2013

59 pembeli kedai rayu campur tangan kerajaan

Subang: Pembeli 59 lot kedai di Pekan Baru Subang, di sini, merayu kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan masalah projek bangunan komersial terbabit yang terbengkalai sejak 2004.
Difahamkan pemaju bangunan kedai terbabit diisytiharkan muflis pada 2007 selepas menyelesaikan 60 peratus daripada projek yang dimulakan pada 1999.

Foto
PROJEK bangunan komersial yang terbengkalai
di Pekan Baru Subang.
Pengerusi Persatuan Pembeli Kedai dan Pejabat Terbengkalai Pekan Baru Subang M K Radhakrishnan berkata, akibat terbiar terlalu lama, kemudahan asas di dalam beberapa premis rosak dan hilang dicuri.
“Kini, pembeli terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar iaitu lebih RM200,000 untuk memperbaiki semula premis itu,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Katanya, pembeli bagaimanapun kecewa apabila cadangan mereka untuk melantik kontraktor melakukan kerja pembaikan ditolak syarikat penyelesai yang dilantik pemaju.

“Syarikat penyelesai ini memberi pelbagai alasan apabila pembeli meminta penjelasan dan seolah-olah tidak berminat untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.


Menurutnya, harga seunit kedai adalah RM440,000 hingga RM650,000 dan beberapa pembeli sudah membuat bayaran sepenuhnya dan ada antara mereka menjelaskan lebih 50 peratus kepada pemaju.

“Persatuan sudah mengajukan masalah ini kepada pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, baru-baru ini.
“Selain isu ini, pembeli berhadapan beberapa masalah lain membabitkan projek berkenaan dan memerlukan bantuan kerajaan dalam masalah ini kerana sudah hilang sabar,” katanya.

No comments:

Post a Comment