Monday, October 12, 2015

Sudah bersedia

 AFP
Pyongyang: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un memberitahu negara itu bersedia berperang dengan mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat (AS).

Jong-Un mengeluarkan kenyataan itu dalam satu ucapan berapi pada ulang tahun ke-70 pemerintahan parti komunis yang disambut dengan perarakan tentera besar-besaran kelmarin.


Puluhan ribu askar diikuti beratus-ratus kereta kebal, kereta perisai dan peluru berpandu balistik diarak di Dataran Kim Il-Sung di Pyongyang.

Perarakan kali ini yang bertujuan menunjukkan kekuatan tentera Korea Utara itu dianggap yang paling besar pernah dianjurkan.

Acara itu juga biasanya digunakan pemimpin Korea Utara untuk menyampaikan mesej atau amaran kepada musuhnya.

Dalam ucapan awam pertamanya dalam tempoh tiga tahun, Jong-Un mengeluarkan kenyataan yang lebih lantang berbanding ucapannya sebelum ini.

“Parti tanpa gentar mengisytiharkan tentera revolusi kita mampu bertempur dalam sebarang peperangan yang dicetuskan AS,” kata pemimpin itu yang disambut dengan tepukan gemuruh puluhan ribu askar dan rakyat yang hadir.

Korea Selatan sebelum ini sering mengeluarkan ancaman untuk menghapuskan AS dan musuh tradisinya, Korea Selatan.

Bagaimanapun, ucapan Jong-Un secara terbuka dan di hadapan media antarabangsa yang dijemput dianggap satu mesej penentangan terhadap barat.

China turut menghantar seorang pegawai tinggi Parti Komunis negara itu, Liu Yunshan menyertai perarakan berkenaan.

Yunshan dilihat berdiri di sebelah Jong-Un ketika memberi tabik hormat sekali gus menunjukkan hubungan erat kedua-dua negara kuasa nuklear itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:56 AM

TENTERA Korea Utara mempamerkan senjata mereka ketika perbarisan, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/84383#sthash.bs9PyrBG.dpuf

Saturday, October 10, 2015

Keluarga Samsung paling kaya di Asia


Hong Kong: Keluarga Lee dari Korea Selatan yang menguasai syarikat Samsung berada di tempat teratas senarai 50 keluarga paling kaya di Asia.

Menurut edisi terbaru majalah Forbes Asia, keluarga itu memiliki kekayaan berjumlah RM110.74 bilion setakat hujung September lalu dengan generasi kedua dan ketiganya kini menguruskan lebih 50 perniagaan.


Empayar Samsung yang diasaskan Lee Byung-Chull pada 1938 menjalankan pelbagai perniagaan, dari telefon bimbit hingga ke industri pembinaan kapal.

Dalam laporannya itu, majalah berkenaan berkata, hampir separuh keluarga terkaya di Asia keturunan Cina.

Bagaimanapun, tidak seorang pun daripada yang tersenarai itu beroperasi di tanah besar China.

Berada di tempat kedua ialah keluarga yang juga bernama Lee. Bagaimanapun, keluarga ini keturunan Cina yang berpusat di Hong Kong dan menguasai syarikat Henderson Development dengan kekayaan berjumlah RM100.3 bilion.

Keluarga ketiga paling kaya ialah Ambanis dari India yang menguasai Reliance Group dengan harta berjumlah RM90 bilion, diiikuti oleh keluarga Chearavanont dari Thailand yang memiliki harta bernilai RM83 bilion.

Berada di tempat kelima ialah keluarga Kwok yang menguasai empayar hartanah Hong Kong Sun Hung Kai dengan jumlah harta RM82 bilion.

Hanya keluarga dengan perniagaan membabitkan hingga sekurang-kurangnya tiga generasi termasuk dalam kajian itu, kata Forbes Asia.

Keluarga taikun Hong Kong Li Ka-shing yang mempunyai harta RM104 bilion tidak termasuk kerana tidak ada cucunya yang memainkan peranan serius dalam perniagaan keluarga itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:08 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/83942#sthash.GtXP5oat.dpuf

Monday, October 5, 2015

PBB: Kenapa Najib tidak kritik AS?


RAZIATUL HANUM A.RAJAK
Najib Tun Razak

5 OKTOBER 2015
Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Ketika Malaysia berpeluang membongkar permasalahan sebenar yang menimpa Palestin di depan semua pemimpin negara yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tidak berani mengkritik punca sebenar yang berdiri di sebalik penderitaan rakyat negara itu iaitu Amerika Syarikat.

Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr Chandra Muzaffar berkata, melalui ucapan Najib di Perhimpunan Agung PBB, Khamis lalu beliau hanya menyuarakan soal hak rakyat Palestin namun tidak menyentuh soal peranan AS dalam kekejaman yang berlaku.

“Sebagai anggota Majlis Keselamatan yang tidak tetap, peranan yang boleh dimainkan Malaysia terbatas. Ini yang harus difahami. Kita bukan kuasa besar namun saya juga berpendapat kita boleh memainkan peranan yang lebih berkesan.

“Sebagai contoh dalam isu Palestin. Memang benar kita selalu menyuarakan tentang hak rakyat Palestin dan sebagainya tetapi kita tidak begitu tegas sebagai anggota Majlis Keselamatan...berhujah tentang punca utama masalah yang dihadapi Palestin.

“Kita tidak begitu tegas mengkritik dan mengecam Israel dan AS. Kita hanya sentuh isu Palestin dan bangkitkan hak rakyat Palestin tapi kita tidak sebut langsung tentang peranan negatif yang dimainkan AS. Kita tak sebut langsung,” katanya kepada Sinar Online, baru-baru ini.

Khamis lalu, Najib memberi ucapan di Perhimpunan Agung PBB menggesa supaya satu penyelesaian muktamad dapat dicapai bagi mengakhiri ketidakadilan yang berlaku ke atas rakyat Palestin sekali gus mengutuk kezaliman rejim zionis.

Namun, Chandra berkata, Najib gagal menuding AS sebagai punca sebenar kezaliman itu terus berlaku ekoran sokongan yang diberikan kepada Israel selama ini.

“Dalam ucapan Najib, dia tidak mengkritik AS langsung sebagai negara yang melindungi Israel yang membolehkan dan memudahkan Israel terus melakukan kezaliman. AS yang terus menyokong, menyalurkan senjata dan menghalang dunia daripada menghukum Israel adalah AS.

“Perdana menteri kita walaupun membangkitkan hak Palestin tapi beliau tidak berani mengkritik AS sebagai pelindung kepada Israel. Ini kita kena kritik. Kenapa kita tidak kritik?,” katanya.

Menurutnya, isu kedua yang dibangkitkan Najib berkenaan pengganas IS juga mengecewakan apabila beliau tidak menceritakan cerita sebenar di sebalik apa yang berlaku.

“Perkara kedua yang mengecewakan daripada ucapan perdana menteri adalah beliau membangkitkan isu IS. Beliau kritik dan kata itu (IS) bukan Islam...itu semua betul, kita setuju dan sokong seratus peratus.

“Tapi yang dia tidak sentuh...jika kita benar-benar kaji isu pengganas ini, kita tahu dari beberapa sumber bahawa antara faktor-faktor yang menyebabkan munculnya IS, yang menyokong dan memberi senjata, memberi maklumat risikan, membantu dari segi dana kepada IS antara negara yang terlibat dalam pembentukan IS ini adalah AS sendiri. AS yang memainkan isu ini kerana nak gunakan IS sebagai alat untuk menggulingkan Bashar al-Assad (Presiden Syria). AS menggunakan IS di Libya juga.

“Ini tidak disebut langsung oleh Perdana Menteri kita. Beliau hanya kata IS ini tidak mewakili Islam. Kita semua sudah tahu IS ini tidak mewakili Islam. Apa yang saya kecewa dalam ucapannya itu, beliau tidak cuba mendedahkan cerita di belakang berita,” katanya.

Tegasnya, Malaysia gagal menggunakan peluang di perhimpunan tersebut dengan sebaiknya.

“Cerita belakang tabir ini harus kita bincang secara berani. Siapa yang mainkan sandiwara IS ini? Matlamat utama mereka adalah menggulingkan pemimpin-pemimpin tertentu di Asia Barat dan juga untuk mencemarkan Islam melalui imej IS yang memancung kepala dan sebagainya.

“Ini yang mengecewakan. Ya, kita ada mainkan peranan dalam perhimpunan agung itu tapi kita boleh memainkan peranan yang lebih berkesan sekiranya kita berani membongkarkan apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir. Kita tidak guna peluang yang ada di PBB itu sebaiknya,” katanya.

Sunday, October 4, 2015

PDRM nafi FBI siasat 1MDB, PM


KUALA LUMPUR 3 Okt. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah memulakan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menerima sebarang makluman berhubung siasatan yang dijalankan oleh FBI.
“Agensi terbabit tidak pernah memohon untuk mendapatkan sebarang bentuk bantuan daripada PDRM berhubung perkara tersebut.
“Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pengesahan berkaitan perkara ini, dinasihatkan agar berhubung terus dengan FBI di Washington dan tidak merujuk kepada laporan media semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media asing, Wall Street Journal (WSJ) dan New York Times melaporkan kononnya FBI telah memulakan siasatan berhubung dakwaan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB

Saturday, October 3, 2015

Ling Liong Sik Gesa Najib Letak Jawatan


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 3:51 PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Ling Liong Sik secara terbuka menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Apabila bekas Presiden MCA itu ditanya sama ada beliau menyokong gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Najib berundur, beliau menjawab "Saya bersetuju".

"Saya pergi ke demonstrasi Bersih di Perth. Matlamat saya adalah untuk menggesa supaya undi tidak percaya dibuat terhadap Najib," katanya selepas menghadiri Festival Minda Malaysia di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Universiti di Setapak.

Tun M Kongsi Strategi Guling Najib


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 7:57 PM

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali memberi tekanan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kali ini berkongsi strategi bagi memastikan matlamatnya itu menjadi kenyataan.
Tegas Dr Mahathir, matlamat untuk menggulingkan Najib hanya akan berjaya jika ia dimulakan di peringkat kerusi Parlimen Pekan yang diwakili perdana menteri itu.
"Walaupun dia tak mahu undur, kalau datang pilihan raya, jangan undi. Di (Parlimen) Pekan jangan undi (Najib). Bagi kalah Najib, tapi jangan bagi kalah Umno.
"Kalau orang Melayu bijak, tentukan Najib kalah di Pekan. Kalau kita berpakat sesama kita, pergi ke Pekan beritahu kepada orang sana bagi dia kalah tapi, bagi Umno menang.
"Kita jangan terbawa dengan emosi, kena rancang dengan strategi dan strategi kita ialah untuk mengalahkan Najib," katanya.
Beliau berucap ketika menghadiir Majlis Hi-Tea bicara politik bertajuk 'Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa' anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.
Selaian itu, Dr Mahathir menggesa supaya orang Melayu mencontohi masyarakat Cina yang meletakkan kepentingan bangsa mereka mendahului parti dan fahaman politik.
"Kita orang Melayu tak berapa bijak. Kita patuh dengan tidak memikir tentang kepentingan kita.
"Saya lihat orang Cina walaupun dia MCA atau DAP, tapi kalau kepentingan Cina terancam, mereka lupakan parti mereka.
"Tapi orang Melayu tak begitu. Inilah yang menjadi masalah. Sekarang ini ramai dah keluar daripada Umno walaupun tak secara rasmi, tapi mereka tak menyokong Umno.
"Kalau mereka mengalahkan Umno, kita akan rugi. Yang nak dikalahkan hanya Najib sahaja. Umno tak salah," katanya.
Berucap pada majlis sama, Dr Mahathir mengakui beliau sememangnya berniat untuk menghasut supaya Najib meletak jawatan.
"Saya datang memang nak hasut semua orang.
"Dalam perjuangan perlu ambil risiko, kalau tak berani macam mana nak berubah, macam mana nak tebus maruah kita," katanya.

Najib Turun, Ringgit Naik - Tun M


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 7:02 PM
Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin penyusutan nilai Ringgit yang dihadapi Malaysia pada masa ini mempunyai kaitan dengan prestasi pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat berkenaan sekali lagi menggesa Najib berundur daripada kedudukannya demi memulihkan ekonomi Malaysia.
"Saya nak lihat Najib letak jawatan. Kalau Najib turun, nilai mata wang akan naik sekelip mata," katanya di sini, Sabtu.
Beliau berucap ketika menghadiri Majlis Hi-Tea bicara politik bertajuk 'Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa' anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Bahagian Pandan.
Ketika sidang media selepas majlis itu, Dr Mahathir berkata, beliau turut bersetuju dengan pandangan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mengaitkan kejatuhan nilai Ringgit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kita dengar Zeti kata selagi masalah 1MDB dan derma RM2.6 billion tidak diselesaikan, nilai mata wang tidak akan pulih.
"Zeti cakap dan saya pun berpendapat macam tu.
"Semua mata wang jatuh tapi mata wang kita jatuh lebih teruk daripada yang lain, saya kaji jugak itu (kaitan isu 1MDB)," katanya.

PAS Tak Tolak Kemungkinan DAP, PKR Tak Beri Kerusi Kepada Amanah - Mohd Amar


Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 7:32 PM
Mohd Amar Nik Abdullah.

PASIR MAS: PAS tidak menolak kemungkinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan melepaskan kerusi yang ditandingi mereka kepada Parti Amanah Negara (Amanah) pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, secara teorinya, beliau menganggap kemungkinan itu akan berlaku dan menyebabkan Amanah akan bertanding di kerusi PAS.
"Secara teorinya, Amanah nak letak calon kat kerusi mana? Saya tak percaya DAP akan beri kerusi, PKR pun tak akan beri kerusi (kepada Amanah). Jadi akhirnya dia (Amanah) akan bertanding di kerusi PAS," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Istiqamah di Markas PAS Rantau Panjang di sini, Sabtu.
Sebelum ini, PAS dilaporkan tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang ditubuhkan DAP, PKR dan Amanah, namun parti itu masih mengekalkan hubungan dengan PKR dalam Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa dakwaan Amanah yang ditubuhkan untuk membantu pembangkang menumbangkan Barisan Nasional (BN) adalah palsu semata-mata.
"Kalau Amanah bertanding di Kelantan, kita tak tahu dia akan dapat berapa undi... tapi dari segi teorinya peluang menang ialah BN sebab undi mereka solid.
"Sebab itu pada pandangan kita kenyataan Amanah untuk bantu pakatan pembangkang nak menjatuhkan BN itu tak betul kalau dia bertanding dan berlawan dengan kita," katanya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi dengan sekutunya PKR, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, sehingga kini tiada sebarang perubahan berlaku.
"Setakat ini, kerusi seperti di Kelantan ini, kita kekalkan dengan pembahagian yang ada, belum ada apa-apa perubahan," katanya. - Bernama

Friday, October 2, 2015

Arab Saudi, Iran guna diplomasi



SEORANG jemaah haji wanita Iran (kanan) menangis ketika dia dan seorang lagi jemaah disambut saudara-mara selepas tiba di Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran Selasa lalu. - Agensi


JEDDAH – Menteri Kesihatan Arab Saudi dan Iran bersetuju menghantar pulang sebilangan jemaah haji Iran yang terkorban dalam tragedi rempuhan di Mina pada minggu lalu, lapor media rasmi Arab Saudi.
Persetujuan dicapai selepas Teheran mengancam akan bertindak ‘keras’ atas sebarang kelewatan.
Teheran sebelum ini­ menuduh Riyadh meng­halang usaha membawa pulang jenazah sekurang-kurangnya 239 warga Iran yang meninggal dunia dalam insiden itu.
Seramai 241 jemaah lain termasuk seorang diplomat kanan Iran dan bekas dutanya ke Lebanon merupakan warga Iran yang masih hilang selepas enam hari tragedi tersebut berlaku.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menghantar pulang jenazah yang sudah dikenal pasti dengan secepat mungkin,” lapor agensi berita rasmi SPA semalam selepas pertemuan dua menteri ber­kenaan di Jeddah.
Menurut SPA, dua pihak terbabit juga akan saling berhubung untuk me­ngenal pasti identiti baki jenazah warga Iran dan merawat mereka yang ce­dera di bawah perjanjian antara Menteri Kesihatan Arab Saudi, Khaled al-Falih dan rakan sejawatnya dari Iran, Hassan Hashemi.
Laporan itu menyebut bahawa Arab Saudi mahu bekerjasama dengan Islam.
Pada minggu lalu, Teheran mendakwa pihak berkuasa Arab Saudi gagal memberikan visa kepada pegawai-pegawai Iran yang mahu memasuki negara itu bagi menguruskan proses membawa pulang rakyatnya yang terbunuh dan cedera.
“Pihak berkuasa Arab Saudi gagal menjalankan tugas mereka,” kata pempimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
“Mereka sepatutnya tahu Iran akan bertindak balas secara keras atas sedikit penghinaan terhadap berpuluh-puluh ribu jemaah kami di Mekah dan jika mereka tidak memenuhi tanggungjawab menghantar pulang je­nazah jemaah kami,” tambahnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1002&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3nMjopna1 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, October 1, 2015

NATO bantu usaha tawan Kunduz


Kunduz: Pasukan khas NATO semalam menyertai tentera Afghanistan dalam usaha mengundurkan kumpulan Taliban yang menawan sebahagian bandar raya ini.

Pertempuran sengit dilaporkan berlaku berhampiran lapangan terbang di bandar itu, tempat tentera kerajaan berundur selepas Taliban menguasai bandar itu Isnin lalu, kemenangan pertama mereka sejak digulingkan pada 2001.


Penguasaan Taliban terhadap Kunduz mencetuskan persoalan mengenai keupayaan tentera Afghanistan dalam menghadapi kumpulan militan itu bersendirian selepas misi NATO berakhir Disember lalu.

Tentera Afghanistan sepatutnya melancarkan kempen mereka sendiri untuk menawan semula Kunduz tetapi serangan terhadap konvoi bantuan yang menuju ke bandar itu memaksa bantuan tentera asing diperlukan.

NATO berkata, pasukan khasnya sudah berada di wilayah itu dan tentera Amerika Syaruikat juga membantu dengan melancarkan tiga serangan udara di sekitar bandar berkenaan.

Sumber tentera Barat berkata, pasukan NATO itu terdiri daripada askar Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.

Ia bagaimapaun tidak menyebut jumlah mereka.

Sementara itu, agensi pengintipan Afghanistan berkata, serangan udara Amerika Syarikat membunuh ‘gabenor bayangan’ Taliban Mawlawi Salam bersama-sama timbalannya dan 15 anggota Taliban lain.

Kejatuhan bandar Kunduz, ibu negeri wilayah itu menyebabkan ribuan penduduknya yang cemas, melarikan diri ke tempat lebih selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:28 AM

ANGGOTA keselamatan dan tentera Afghanistan melakukan operasi di sempadan Kunduz dengan Baghlan ketika bersiap sedia melancarkan operasi menawan semula wilayah itu, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/81447#sthash.XxvwDHSu.dpuf

Indonesia pilih China bina kereta api laju


Jakarta: Kerajaan Indonesia memilih China membina laluan kereta api laju pertama negara itu yang menghubungkan Jakarta dan Bandung, kata pegawai semalam.

Timbalan menteri kementerian syarikat milik negara, Gatot Trihargo berkata, Jakarta tidak memilih Jepun kerana China mempunyai keberanian memberikan pinjaman AS$5 bilion (RM22 bilion) tanpa meminta jaminan.

Indonesia sebelum ini merancang membina perkhidmatan kereta api laju di laluan sepanjang 150 kilometer itu sebelum menukar kepada kereta api kelajuan sederhana.

Katanya, Presiden Indonesia, Joko Widodo memilih tawaran China kerana ia kurang membebankan dan berjanji untuk berkongsi teknologi dengan lebih luas berbanding Jepun.

“Kerajaan China mempunyai keberanian kerana tidak meminta jaminan daripada Indonesia.

“Negara lain seperti Jepun meminta jaminan kerajaan, tetapi kami tidak mampu kerana bajet kami terhad,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:38 AM

GAMBAR fail menunjukkan model Indonesia melihat model kereta api laju buatan China di pameran di Jakarta Ogos lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/81464#sthash.aUdaN9b7.dpuf

Saman Anina Terhadap Najib, Mahkamah Putuskan Esok Untuk Tangguh Prosiding


Diterbitkan: Rabu, 30 September 2015 6:58 PM
Anina Saadudin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan esok (Khamis) sama ada membenarkan ataupun sebaliknya permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding saman yang difailkan bekas anggota Umno Anina Saadudin berhubung tuntutan pembayaran balik RM2.6 bilion.

Presiden Umno itu memohon pengangguhan tersebut sementara mahkamah mendengar prosiding permohonan beliau dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab. Rauf Yusoh, yang turut dinamakan sebagai defendan, untuk mengetepikan writ saman Anina.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Ab Rauf memberitahu pemberita, beliau mengemukakan hujah bahawa permohonan Anina wajar ditangguhkan kerana bekas anggota Wanita Umno Langkawi itu tidak mempunyai locus standi (tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman bagi pihak Umno.

Tambahnya, keahlian Anina telah gugur dengan sendirinya apabila mengambil tindakan mahkamah terhadap parti pada 28 Ogos lalu berdasarkan Fasal 20.7 Perlembagaan Umno.

Fasal tersebut menyatakan bahawa seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti maka keahliannya dalam parti gugur dengan sendirinya.

Mohd Hafarizam berkata pada Rabu mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua defendan untuk penangguhan interim untuk memfailkan kenyataan pembelaan sehingga keputusan penangguhan prosiding esok.

"Pihak kami tidak perlu memfailkan pembelaan esok pagi sehingga keputusan dibuat sama ada permohonan kami dibenarkan atau tidak. Sekiranya mahkamah menolak, saya akan mendapatkan arahan daripada anak guam untuk tindakan seterusnya sama ada membuat rayuan ataupun memfailkan pembelaan," katanya.

Berdasarkan rekod mahkamah, pengurusan kes terhadap permohonan membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan Anina telah ditetapkan pada 6 Oktober.

Pada 28 Ogos lepas, Anina, memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan antaranya bagi menuntut pembayaran balik sejumlah AS$650 juta yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik Umno di Singapura.

Anina diwakili peguam Mohd Hanif Khatri Abdulla.

PM Akan Saman Jika WSJ Tak Guna Akta Speech - Peguam


Diterbitkan: Rabu, 30 September 2015 7:49 PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan hanya memfailkan saman terhadap akhbar Wall Street Journal (WSJ) jika syarikat penerbitan itu tidak menggunakan Akta Speech berkaitan laporannya mengenai perdana menteri.
Akta Speech melindungi syarikat Amerika Syarikat (AS), khususnnya syarikat media, daripada berdepan penghakiman fitnah di luar negara.
Sehubungan itu, peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, beliau telah menulis kepada Peguam Kanan Philip Jeyaretnam, yang mewakili WSJ, untuk bertanya sama ada akhbar yang berpejabat di AS itu akan memohon untuk menggunakan akta berkenaan atau sebaliknya.
"Saya tidak mahu memfailkan kes di Malaysia yang kemudiannya menjadi penghakiman atas kertas di Amerika kerana WSJ akan katakan ia mahu guna Akta Speech itu.
"Ia akan menjadi usaha yang sia-sia. Kenapa perlu biarkan badan kehakiman asing menyatakan mahkamah kita tidak amalkan kebebasan bersuara," soalnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa akta itu melarang penguatkuasaan penghakiman, sehingga Najib boleh menunjukkan bahawa mahkamah di Malaysia adalah bebas sepertimana di AS dan kebebasan bersuara termasuk media juga sama.
Katanya, jika WSJ tidak mahu menggunakan akta berkenaan, beliau akan menasihatkan perdana menteri supaya menyaman syarikat penerbitan asing itu.
Sebelum ini, WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa bahawa RM2.6 bilion telah didepositkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa dana dalam akaun Najib itu adalah sumbangan dari Timur Tengah.
Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa artikel itu berunsur sabotaj politik, manakala 1MDB pula menegaskan bahawa tiada dana dipindahkan ke akaun Najib.

Tony Pua Dibenar Cabar Larangan Keluar Negara


Diterbitkan: Khamis, 1 Oktober 2015 11:23 AM
tony pua
Tony Pua.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dibenarkan untuk mencabar arahan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen supaya beliau dihalang berlepas ke luar negara.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad memberi kebenaran bagi semakan kehakiman.
Pua mahu Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan arahan tersebut dengan mengisytiharkan ia sebagai tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Bercakap kepada pemberita di sini Khamis, peguam Pua, Gobind Singh Deo berkata mahkamah tersebut menetapkan 15 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi semakan kehakiman substantif.
Jelas beliau mereka akan memfailkan dokumen untuk pendengaran merit permohonan tersebut.
Pemohon yang namanya, Pua Kiam Wee, menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan kerajaan sebagai responden.

Tiada Satu Sen Pun Dibelanjakan Untuk Majlis Kahwin Anak Di Jakarta - Ahmad Zahid


Diterbitkan: Khamis, 1 Oktober 2015 12:54 PM
Dr Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak membelanjakan walau satu sen pun untuk majlis perkahwinan anak lelakinya di Jakarta pada 19 September lalu.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keluarga menantu perempuannya itu berhasrat untuk mengadakan satu majlis untuk pasangan baharu berkahwin tersebut sebaik sahaja mengetahui beliau akan berada di Jakarta untuk lawatan rasmi.
"Saya tidak membelanjakan wang untuk mengadakan majlis tersebut. Saya tidak membelanjakan wang untuk menteri dan tetamu dari Malaysia untuk menghadiri majlis perkahwinan itu.
"Saya tidak membelanjakan wang untuk menghiburkan sesiapa sahaja kerana itu bukan majlis saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Pendaftaran Negara pada Khamis.
Dr Ahmad Zahid mengadakan lawatan rasmi ke Jakarta antara 18 hingga 21 September lalu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pemilik blog, Shahbudin Husin yang mempertikaikan tempoh lawatannya yang kebetulan sama tarikh dengan majlis perkahwinan anak lelakinya dengan seorang gadis dari Indonesia.

Tun M mungkin ditahan di bawah Sosma


WARTAWAN SINAR HARIAN
Tun Dr Mahathir Mohamad

1 OKTOBER 2015
Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak tolak kemungkinan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana kelantangannya mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau saya didapati bersalah, saya akan dipenjarakan walaupun orang kata saya nyanyuk. Undang-undang tidak berpihak kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan turut ditahan seperti bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas dakwaan cuba mensabotaj negara.

Mengulas mengenai perkara tersebut, beliau berkata, Sosma merupakan undang-undang baharu yang  perlu dipatuhi.

“Jika saya bersalah, saya mungkin menghabiskan sisa hidup saya di dalam penjara,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu, Mahathir berkata, perhimpunan tersebut tidak hanya disertai kaum Cina sahaja malah turut disertai Melayu.

“Mereka (kaum Cina) tidak meminta apa-apa untuk diri mereka. Tetapi, mereka hanya meminta Najib supaya berundur dan meminta supaya ada mekanisme pilihan raya lebih baik,'' katanya.

Malukan suami curang dengan papan iklan


WARTAWAN SINAR HARIAN
Malukan suami curang dengan papan iklan

30 SEPTEMBER 2015
Malukan suami curang dengan papan iklan Papan iklan yang digunakan Lisa untuk memalukan suaminya yang curang.

ENGLAND - BRITAIN. Seorang wanita bernama Lisa bertindak membuat ucapan memalukan kepada suaminya yang curang di sebuah papan iklan di Sheffield, utara England.

Menurut laporan CNN, Lisa juga bertindak bijak dengan memilih papan iklan di tepi sebuah lebuhraya yang sibuk.

Ucapan tersebut berbunyi "Kepada suami curang, Paul. Anda berhak bersama (teman wanita). Saya tiada di rumah. Nikmati perjalanan anda ke tempat kerja! Lisa,"

Menurut syarikat pengiklanan tersebut, Kong Outdoor memberitahu Lisa sudah memesan papan ilan tersebut dua minggu sebelum ini.

"Beliau sudah merancang awal, sudah mempunyai tarikh (untuk meletakkan iklan)," kata wakil, Mark Catterall kepada CNN.

Papan iklan tersebut berukuran 5.6 meter panjang, 2.6 meter tinggi dan dinaikkan pada waktu puncak, 6 pagi sehingga 9 malam Rabu minggu lalu.

Kata Mark, kesan tidak baik mungkin menimpa pihak yang terlibat, tetapi papan iklan juga pernah digunakan sebagai medium untuk lamaran perkahwinan.

Pengguna netizen juga tidak melepaskan peluang dengan memuatnaik foto papan iklan tersebut bersama-sama lawak jenaka.

"Bercerai dengan bergaya mengikut cara Sheffield," kata Peter di Twitter.

Kanak-kanak bahayakan nyawa demi emas


Kanak-kanak bahayakan nyawa demi emas

1 OKTOBER 2015
Kanak-kanak bahayakan nyawa demi emas Pelombong kanak-kanak terpaksa berada di dalam lombong selama beberapa jam untuk mendapatkan emas.

MANILA - FILIPINA. Ribuan kanak-kanak seawal usia 9 tahun mempertaruhkan nyawa mereka untuk menggali dan menyelam bagi mendapatkan emas di kawasan perlombongan di Filipina, menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia dalam satu laporan diterbitkan semalam.

Menurut kumpulan itu,mereka terpaksa bekerja dalam lubang sedalam 25 meter, di bawah air, di sepanjang pantai atau sungai di seluruh negara dan perlu memproses emas dengan merkuri serta logam toksik.

Bagi lombong bawah tanah, mereka juga berisiko untuk mengalami kecederaan akibat jatuhan batu dan kayu serta kekurangan oksigen.

Pengarah kumpulan, Juliane Kippenberg berkata, meskipun kerajaan telah menggubal undang-undang untuk membanteras buruh kanak-kanak, namun ia gagal dilaksanakan dengan baik.

"Mereka bekerja dalam suasana menakutkan di lombong emas kecil-kecilan. Kerajaan melarang buruh kanak-kanak, tetapi mereka tidak serius dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut," katanya. - dpa

Ibu muda sedia serah 
3 anak secara percuma


Terdesak selepas ditinggalkan suami

Seorang wanita yang prihatin menghulurkan derma kepada ibu tiga
Seorang wanita yang prihatin menghulurkan derma kepada ibu tiga anak itu di luar sebuah stesen kereta api di selatan China, baru-baru ini. AGENSI
BEIJING 30 Sept. - Akibat desakan hidup, seorang ibu muda dari wilayah Guangzhou, di China, sanggup menyerahkan tiga orang anak­nya secara percuma kepada mana-mana individu yang boleh menjaga mereka.
Tambah menyedihkan, detik wa­nita tersebut berdiri di luar ste­sen kereta api bawah tanah di sebuah bandar di selatan negara ini bersama anak-anaknya, sempat dirakam orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.
Wanita berusia 25 tahun itu men­dakwa, dia ditinggalkan oleh sua­minya baru-baru ini, sehingga terdesak kerana tidak mempunyai rumah dan wang untuk menyara anak-anak kecilnya.
Daily Mail melaporkan, seorang anak­nya juga dipercayai sakit dan dia tidak mempunyai duit mencu­kupi untuk mengubati kanak-kanak tersebut.
Ibu muda itu dipercayai datang dari Hunan dan telah ditinggalkan oleh suaminya bersama tiga anak yang berumur antara enam bulan hingga tiga tahun.
Orang ramai yang lalu-lalang ter­kejut melihat wanita tersebut, apatah lagi tiga orang anak kecilnya yang tidak berbaju serta diikat menggunakan kain ke pinggangnya bagi mengelakkan mereka berlari.
Mereka yang bersimpati dengan wanita dilihat memberikan derma.
Perbuatan wanita malang itu menarik perhatian seorang anggota polis yang cuba menyiasat latar be­lakangnya kerana di China banyak berlaku kes penyeludupan manusia.
Dia bagaimanapun menunjukkan dokumen surat kelahiran serta identiti dirinya bagi membuktikan dia bukan sebahagian daripada sindiket pemerdagangan manusia.
Polis itu dilihat cuba menasihati­nya untuk mendapatkan khidmat kebajikan masyarakat, namun ditolak sebelum dia bergegas meninggalkan tempat tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-muda-sedia-serah-8232-3-anak-secara-percuma-1.141581#sthash.oPR2MpBj.dpuf

Wednesday, September 30, 2015

Snowden muncul di Twitter

MESEJ pertama Snowden di Twitter. - Foto EPA
WASHINGTON: Edward Snowden kini muncul daripada persembunyian - di Twitter. Snowden, bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) yang mendedahkan butiran program pengintipan Amerika Syarikat, membuka akaun Twitter dari tempat persembunyiannya di Russia dengan menggunakan nama mudah - @Snowden.
Beliau menarik lebih 171,000 pengikut selepas kira-kira sejam dan meningkat kepada 740,000 pengikut menjelang petang. Namun Snowden hanya mengikuti satu akaun Twitter, iaitu bekas majikannya.
"Sementara itu, ribuan orang di Fort Meade baru membuka Twitter," kata Snowden, merujuk Pangkalan Tentera Darat AS di Maryland yang menjadi ibu pejabat NSA.
Mesej pertama Snowden di Twitter ialah: "Bolehkah anda mendengar saya sekarang?" Mesej itu yang meminjam kata-kata dalam iklan televisyen sebuah syarikat pengendali rangkaian telefon, dikongsi semula 25,000 kali dalam tempoh sejam.
Dalam profil akaun Twitter, Snowden menggambarkan dirinya sebagai "Saya pernah bekerja dengan kerajaan. Sekarang saya bekerja untuk orang awam."
Penyokong beliau melihat Snowden sebagai pendedah perbuatan keterlaluan kerajaan tetapi kerajaan AS memfailkan dakwaan pengintipan terhadap beliau kerana membocorkan maklumat risikan. - Reuters
EDWARD Snowden muncul pada sidang video yang disiarkan secara langsung dari Moscow pada satu acara di Honolulu pada Februari lalu. - Foto AP

Pakai topeng elak tekanan kerja


30 September 2015 2:19 AM




HANGZHOU 29 Sept. – Sebuah syarikat pembangunan di Hangzhou, timur China membenarkan kakitangannya memakai pelbagai jenis topeng muka bagi membantu diri mereka berasa lebih yakin dan mengendalikan tekanan apabila berurusan dengan pihak atasan.
Kakitangan firma Songcheng Performance Development yang mengendalikan sebuah taman tema perfileman terbesar di Zhejiang, dibenarkan berbuat demikian sempena hari mengurangkan tekanan, ‘De-stress Day’ yang diadakan pada 23 September lalu.
Menurut portal Mail Online, pelbagai jenis topeng termasuk watak kartun Angry Bird dan Minion dipakai oleh kakitangan syarikat bagi membina keyakinan diri yang lebih tinggi.
Seorang pengurus yang enggan dikenali berkata, program tersebut ternyata membuahkan hasil apabila ramai kakitangan lebih berkeya­kinan apabila berdepan dengan bos masing-masing.
Jelasnya, dia berharap idea ber­kenaan akan membantu kakitangan berasa selesa apabila bertugas terutamanya pada sesi membentangkan pendapat ketika mesyuarat.
“Melalui aktiviti ini, kakitangan boleh menrasai keseimbangan antara kerja dan berhibur.
“Program ini dapat membantu mereka menangani tekanan di tempat kerja,” katanya.
Program itu turut mendapat maklum balas positif daripada pengguna laman sosial Weibo yang ­menyifatkan kakitangan syarikat berkenaan memiliki manfaat yang baik kerana boleh menyembunyikan muka.
“Pihak atasan syarikat itu tidak perlu menunjukkan sebarang emosi terutamanya perasaan marah apabila mereka bermesyuarat bersama. Mereka hanya boleh membuat muka selamba sahaja,” jelas seorang pengguna Weibo.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pakai-topeng-elak-tekanan-kerja-1.141323#sthash.eLA2p70p.dpuf

Tuesday, September 29, 2015

Khir Toyo Dipenjara Setahun


Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 2:23 PM
Dr Mohamad Khir Toyo.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusi panel lima hakim itu membuat keputusan tersebut atas alasan Dr Khir melakukan satu jenayah dalam pengetahuannya sebagai seorang penjawat awam.
Panel membuat keputusan itu selepas memutuskan hukuman penjara adalah paling sesuai dalam kes berkenaan manakala hukuman khidmat kerja masyarakat adalah tidak memadai.
Dr Mohamad Khir kelihatan tenang ketika hukuman itu dibacakan.
Terdahulu, peguam Dr Mohamad Khir iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta mahkamah tidak memenjarakan anak guamnya tetapi sama ada mengenakan denda atau memerintahkan dia menjalani program khidmat masyarakat.
Pada 22 September lalu, panel itu mengekalkan sabitan bersalah terhadap Dr Mohamad Khir selepas menolak rayuannya.
Mahkamah turut mengekalkan keputusan melucut hak hartanah itu dan diserahkan kepada kerajaan tertakluk kepada caj oleh pihak bank.

Dr Mohamad Khir sebelum ini dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013.

Melalui penghakiman dibacakan Kok Wha pada 22 September lalu, panel mencapai keputusan itu berdasarkan beberapa alasan antaranya pertuduhan yang dibuat ke atas Dr Mohamad Khir tidak mempunyai sebarang kecacatan dan beliau selaku menteri besar, adalah seorang penjawat awam ketika kesalahan itu dilakukan.

Dr Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 50 suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah


WARTAWAN SINAR HARIAN
Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah

29 SEPTEMBER 2015
Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah Kumpulan peneroka terlibat berhimpun menghalang sebarang kerja penebangan pokok selagi bayaran pampasan tidak mencapai kata persetujuan.

JENGKA - Peneroka Felda dekat sini menyifatkan bayaran RM120 hingga RM260 sepokok sebagai pampasan kebenaran ‘izin lalu’ untuk projek Talian Penghantaran Elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah tidak munasabah.

Projek talian 132KV (double curcuit) dari PMU Kampung Awah ke PMU Jengka itu akan merentasi ladang kelapa sawit anggaran seluas 570 ekar yang dimiliki 57 peneroka di kawasan Felda Jengka 11, 14, 18, 19 dan 20.

Seorang peneroka terlibat, Mohd Ayob Shahri, 55, mendakwa harga yang ditawarkan TNB jauh lebih murah berbanding permintaan peneroka iaitu RM1,000 sepokok.

Menurutnya, harga RM1,000 itu adalah harga terakhir yang dipersetujui peneroka dengan khidmat nasihat peguam walaupun permintaan asal adalah RM2,200 sepokok.

“Projek ini dimaklumkan kepada peneroka pada 2013 dan kami memberi keizinan dengan syarat TNB membuat bayaran pampasan setimpal. Sudah pasti ia merupakan projek kekal maka tidak masuk akal sekiranya TNB hanya mahu membayar paling tinggi RM260 sepokok.

“Kebanyakan pokok sawit terlibat sudah berusia lapan tahun dan kami akan kehilangan pokok ini selama-lamanya malah tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti pertanian di bawah laluan kabel itu nanti,” katanya.

Mohd Ayob berkata, TNB melakukan pembayaran pertama pada Julai 2013 dan peneroka menerima pampasan tersebut tetapi dengan bantahan selepas mendapat nasihat peguam dan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Maran.


Desakan peneroka

Menurutnya, desakan terus dibuat peneroka dan pada April lalu hasil campur tangan Pihak Berkuasa Negeri, pihak TNB bersetuju melakukan pembayaran ihsan sebanyak 10 peratus dariPada bayaran pertama.

“Harga sepokok bagi bayaran pertama dan ihsan 10 peratus ini masih rendah iaitu sekitar RM300 sepokok berbanding harga permintaan peneroka, RM1,000 sepokok,” katanya.

Seorang anak peneroka, Abdul Shukor Abu Bakar, 37, berkata, dia yang mewakili bapanya menerima bayaran pertama sebanyak RM36,140 untuk 139 pokok.

Menurutnya, pihak TNB turut membeli tanah bagi kawasan pokok sawit terlibat berharga RM23,328 untuk keluasan 1.885 hektar.

“Saya dan peneroka lain tiada pilihan dan kerana nasihat peguam, kami terpaksa menerima bayaran pampasan pertama dan ihsan walaupun harga dibayar sangat rendah.

“Pihak Kerajaan Negeri perlu campur tangan bagi membela nasib peneroka agar kami mendapatkan pampasan setimpal,” katanya.


Tidak halang projek

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Jengka 19, Ramly Ahmad berkata, peneroka tidak menghalang projek berkenaan dengan memberi keizinan pada kadar pampasan RM1,000 sepokok dan TNB perlu membeli tanah terlibat agar peneroka tidak dibebani membayar cukai tanah.

Menurutnya, perkara tersebut diputus bersesuaian dengan risiko dihadapi peneroka apabila bakal kehilangan lebih 100 pokok sawit dan tiada hak ke atas tanah terbabit.

“Sememangnya peneroka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang dibayar TNB kerana dilihat seperti membodohkan orang Felda. Sesiapa pun tidak akan setuju jika harga RM120 hingga RM260 sepokok, sangat tidak munasabah malah harga pengambilan tanah juga murah.

“Kami berharap pihak TNB membuat pertimbangan rasional  kerana setiap pokok kelapa sawit memberi pulangan hasil sehingga tempoh 25 tahun,” katanya.