Wednesday, March 31, 2010

Tentera Malaysia contoh terbaik didunia


Anggota tentera sakit mental didakwa akibat didera

2010/03/31

PEKAN: Seorang bapa mendakwa anaknya yang bekerja sebagai anggota tentera darat di bahagian kejuruteraan di sebuah kem di Kuala Lumpur
mengalami masalah mental akibat dipukul pegawainya kerana tidak hadir bertugas selama setahun.
Abdul Hamid Sulaiman berkata anaknya Muhamad Zaini, 28, kini
terpaksa menjalani rawatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Kejadian
dera itu dikatakan berlaku tahun lalu apabila anggota Polis Tentera menahan Muhamad Zaini di rumahnya di Kuala Kurau, Perak.

"Ketika dalam perjalanan ke Balai Polis Kuala Kurau, anak saya dipukul di bahagian kepala dengan kuat menyebabkan pendarahan yang banyak.


"
Dia juga dipukul sepanjang perjalanan itu oleh seorang pegawai tentera berpangkat Kapten," dakwa Abdul Hamid.

Beliau berkata
selepas kejadian itu, anaknya menjadi tidak waras dan pada awal tahun ini, dia dihantar ke Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental di Kuala Lumpur yang kemudiannya disahkan mengalami masalah mental.

"Walaupun disahkan doktor yang anak saya mengalami masalah mental, dia tetap dibicarakan di Mahkamah Tentera dan telah dijatuhi hukuman
penjara selama sembilan bulan pada 5 Mac lalu.

"Bagaimanapun
hanya beberapa hari dijatuhi hukuman, anak saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur kerana dipercayai diberi makan ubat terlebih dos," katanya.

Abdul Hamid berkata
ekoran keadaan yang dialaminya, Muhamad Zaini yang mempunyai dua orang anak sudah bercerai dengan isterinya. - Bernama

Musa Hassan Perlu Siasat Kes Altantuya Sepenuhnya




Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 29 Mac - Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menyokong penuh keputusan Ketua Polis Negara untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar-Baharu berhubung isu Altantuya Shaariibuu tetapi siasatan mestilah menyeluruh dan bukan berpilih-pilih.
Pada 24 Mac lalu Zulkifli Noordin mendakwa beliau ditawarkan ganjaran yang 'menggoyangkan' iman sekiranya bersetuju membuat akuan bersumpah bagi mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu hampir empat tahun lalu.
Keesokan harinya  Tan Sri Musa Hassan dengan pantas berkata pihak polis akan mengambil keterangan Zulkifli berhubung pendedahan beliau tersebut.
"Saya bersetuju dengan tindakan Musa Hassan akan ambil untuk menyiasat kes tersebut tetapi dengan syarat siasatan menyeluruh perlu dilakukan dan bukan hanya tertumpu kepada kenyataan Zulkifli Noordin sahaja kerana ini akan menimbulkan banyak pertanyaan rakyat.
"Sebenarnya banyak isu yang perlu disiasat kerana sepanjang perbicaraan kes tersebut banyak bukti tidak disiasat sepenuhnya oleh pihak polis, seperti bukti gambar, kenyataan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang telah berjumpa dengan Datuk Nazim Razak.
"Siasatan juga perlu dilakukan dari awal tetapi saya tidak yakin  siasatan ini boleh dilakukan oleh pihak polis, negara perlukan penyiasat bebas jika inginkan siasatan yang telus," kata Sivarasa kepada Suara Keadilan di Parlimen hari ini.
Naib Presiden KEADILAN itu juga menyifatkan kes Altantuya telah menghancurkan institusi kehakiman negara kerana telah diperalatan oleh pihak tertentu.
"Negara berada dalam keadaan yang tidak baik, institusi yang sepatutnya dijaga kehormatannya tetapi telah diperalatkan oleh orang tertentu demi kepentingan peribadi.
"Tindakan memperalatkan insitusi kehakiman telah menjatuhkan imej negara di mata dunia yang merasakan ketidakstabilan negara berada pada tahap kritikal selain mengganggap isu keadilan negara ini bergantung kepada tangan seorang individu," tegas Sivarasa lagi.

APCO Nafi Dakwaan Bekerja Dengan Kerajaan Israel



KUALA LUMPUR, 30 Mac — Firma perunding komunikasi antarabangsa APCO Worldwide hari ini mengulangi kenyataan awalnya bahawa ia tidak bekerja dengan kerajaan Israel atau membantu mencipta konsep 1 Malaysia sebagaimana didakwa oleh Pemimpin Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dakwaan yang diulangi terhadap APCO Worldwide pagi ini di Parlimen Malaysia adalah tidak benar. APCO Worldwide tidak bekerja untuk kerajaan Israel. Kami tidak mereka konsep 1Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini.
Pada 18 Mac lepas, APCO Worldwide menafikan dakwaan sama Anwar itu.
Hari ini, Anwar pada sidang Dewan Rakyat menggesa kerajaan menarik balik kontraknya dengan APCO Worldwide dan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat firma itu, dengan mendakwa ia membawa risiko terhadap keselamatan nasional.
Anwar menimbulkan isu APCO itu ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat berikutan usul Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) supaya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa bahawa konsep 1 Malaysia ditiru dari slogan “Satu Israel” yang beliau kaitkan dengan APCO Worldwide.
APCO berkata, “Dalam tugas kami selaku perunding komunikasi, kami tidak terlibat dalam penggubalan dasar tetapi dalam penyediaan maklumat yang kerajaan ingin perkongsikan dengan orang awam.”
“Kami bekerja dengan kerajaan-kerajaan yang sedia mendapatkan nasihat kami mengenai ketelusan, demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Kami rasa terhormat dapat terus bekerja dengan kerajaan Malaysia,” katanya. 
Bernama

BN Dipimpin Personaliti Tercalar Moral




Oleh Datuk Halik Zaman
Begitu para pemimpin Umno sedaya upaya mengaibkan dan menjatuhkan imej PKR dan Pakatan Rakyat khasnya, begitu jugalah Allah SWT membiarkan keaiban terpalit pekat kepada para pemimpin Umno lantaran anak kandungannya BN yang dianggap sebagai anak sumpahan sebagai pembawa SIAL BESAR kepada Umno. 
Di manakah letaknya kredibiliti para pemimpin Umno dalam kes pemimpin MCA yang baru ini? Haruskah para pemimpin Umno berbangga kerana mendapat seorang  rakan baik Najib yang tergelar hero filem porno dalam gandingan Najib ke arah kepimpinan 1Malaysia? Percayakah orang Islam kepada BN bersama pelakon 'The Blue Filem' handalan itu?   
Tidakkah para pemimpin Umno sedar bahawa imej MCA dalam BN sudah terpalit dengan kekotoran personaliti yang secara terang dan nyata walaupun tanpa melalui proses mahkamah kerana si pelakon filem porno itu sendiri telah membuat pengakuan terbuka?
Kita akur beliau menerima kemaafan daripada isterinya atas kesalahan kotor yang di lakukannya. Akan tetapi bagaimana persepsi rakyat khasnya ahli-ahli MCA? Mampukah mereka menerima seorang pelakon filem porno sebagai pemimpin mereka? Sekiranya ada itu hanyalah segelintir ahli-ahli yang merupakan ‘die-hard fan’ kepada beliau. Yang lain?
Jika di bandingkan undi mereka, seandainya digabungkan kedua-dua undi pemimpin lain, sudah pasti si pemenang ini tumbang. Apa boleh buat berlakunya percaturan calon tiga penjuru di sini maka perpecahan undi berlaku. Mahu atau tidak MCA sekarang ini berhadapan dengan krisis imej seks! Mesti diingat, kerana nila setitik, pasti rosak susu sebelanga. 
Suka atau tidak, imej MCA kini telah hancur di mata masyarakat Cina khasnya dan rakyat Malaysia amnya dan bagaimana pandangan orang Islam dalam Umno pula?
Kes ini tidak ubah seperti kes rasuah Khairy Jamaluddin dan Ali Rustam. Walau ternyata mereka didapati bersalah namun kedudukan mereka dalam parti dan kerajaan tetap terpelihara, malah di angkat kesatu kedudukan yang lebih baik dan selesa. Apa nak di hairankan kerana segala dalam Umno-BN walau ianya salah dan hina, tetap di pandang mulia. Inilah budaya Umno yang harus dikeji.
Terkini, Ibrahim Ali dan mahagurunya, Dr Mahathir memainkan peranan mereka sebaik mungkin untuk memartabatkan rakyat Malaysia sebagai Melayu, namun usaha gigih mereka kini terserlah kelihatan menuju jalan buntu. Sindir menyindir berlaku kerana Sultan Selangor enggan merasmikannya. Ibrahim Ali lupa sindiriannya itu boleh dianggap derhaka juga Ke bawah Duli Yang Maha Mulia.
Kepada Dr Mahathir, sudah-sudahlah tu, bawa bertenang. Jantung yang penat itu bawa berehat, nanti melarat teruk pula.  Cukuplah peninggalanmu kepada bangsa Melayu dua butir Menara Berkembar yang jadi kebanggaan mu,  silap langkah akan dilupa oleh orang Melayu. Kerana Melayu Umno cepat lupa akan jasa mu.
Ibrahim Ali amat maklum akan masa hadapannya yang akan menghadapi jalan sukar untuk menggunakan label PAS mahupun Barisan Nasional untuk bertanding di PRU13 kelak. Oleh yang demikian, beliau memberikan sepenuh komitmennya untuk memperkasakan Pertubuhan Perkasa. Dengan harapan Perkasa mampu popular dan beliau mungkin akan berdiri sebagai calon Bebas dengan berpanjikan Perkasa. Buat Ibrahim Ali PRU13 adalah sayonara beliau kepada politik Malaysia.
Begitu juga dengan empat orang pengkhianat PKR yang sekarang telah bergelar wakil rakyat  'kebas'. Mereka sebenarnya mungkin telah memasuki alam ‘senile’. Mereka lupa mereka telah di hadiahkan undi atas dasar PKR. Kita tidak percaya mereka mampu meraih apa yang mereka nikmati sekarang ini seandainya mereka bertanding atas landasan Bebas, jauh sekali BN kerana kualiti politik mereka tidak stabil. Maka wajarlah rakyat menggelarkan diri mereka sebagai wakil rakyat 'kebas'. Takkanlah mereka tidak 'kebas' sebelum terima jadi pengkhianat PKR?
Rakyat telah memberikan mereka undi kerana  kefahaman dalam Pakatan Rakyat dan bukan kerana individu itu sendiri. Benarlah seperti kata bidalan, seperti kacang lupakan kulit. Mereka terus menjadi buta hati apabila dilayangkan $$$$$$$$$$ di hadapan mereka dan kerana $$$$$$$$$$ itu jugalah mereka sanggup menjadi ‘pembunuh’ kepada karier politik mereka sendiri.

APCO Bekerja Untuk Israel Pada 1990-an



KUALA LUMPUR March 31 — Penafian APCO Worldwirde bahawa firma itu tidak pernah memberi khidmat kepada pemerintah Israel disanggah oleh satu laporan akhbar Straits Times yang mendedahkan penyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat membuktikan sebaliknya.
Firma antarabangsa itu dikatakan mengikat perjanjian perkhidmatan dengan pemerintah Zionis Israel pada 1992. 
"Dalam jawapan berhubung laporan Jabatan Kehakiman tersebut, APCO menyatakan firma itu bekerjasama dengan sebuah syarikat bersekutu dalam sebuah projek untuk pemerintah Israel ketika itu," kata laporan Straits Times itu.
Timbalan Pengarah Urusan APCO, B. Jay Cooper berkata," Perkhidmatan yang diberi adalah dalam lingkungan media, melibatkan perolehan dana dari pemerintah Amerika Syarikat bagi perumahan pendatang dari Rusia".Cooper menjelaskan bagaimana APCO "dimiliki oleh Grey Global Group".
“Dalam tahun 2004, APCO melakukan pembelian saham oleh pihak pengurusan dan dengan itu memutuskan hubungan terus dengan Grey Global Group. Entiti baru, APCO Worldwide, adalah seperti yang wujud sekarang,” kata beliau.
Kontroversi isu APCO bermula apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kempen 1 Malaysia yang diilhamkam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah idea APCO dan hampir sama dengan kempen Satu Israel yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Israel Ehud Barak.
Anwar mendakwa di dalam Parlimen bahawa Satu Israel juga dicetuskan oleh APCO.
Kaitan itu walaupun dipertikaikan penyokong kerajaan, dilihat mampu melemahkan sokongan terhadap pentadbiran Najib.
Setakat ini APCO dan pegawai kanan kerajaan telah menafikan sebarang pertalian dengan pemerintah Israel.
Bagaimanapun Anwar ketika berucap di Parlimen semalam membuat satu kejutan bahawa kaitan APCO dengan kerajaan Malaysia bermula sebelum lagi konsep 1 Malaysia dilancarkan.
Anwar juga menumpukan perhatian kepada Asero Worldwide, sebuah firma bersekutu APCO yang mmepunyai pengkhususan dalam bidang keselamatan dalam negeri dan diketuai oleh pakar keselamatan Israel.

Gempa bumi kuat di Kepulauan Andaman

KUALA LUMPUR 31 Mac - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter melanda Kawasan Kepulauan Andaman, India pada 12.55 tengah malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata gempa bumi itu berpusat di latitud 13.51 utara dan longitud 92.85 timur, kira-kira 751km barat laut Ranong, Thailand, dan 1,110km barat laut Langkawi.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan oleh jabatan itu.
Bernama

Penasihat Tentera Israel Yang Sama Ilhamkan Satu Israel, 1 Malaysia






KUALA LUMPUR 31 Mac - Persamaan Satu Israel dan 1 Malaysia tidak boleh dianggap kebetulan kerana kedua-dua konsep tersebut dicetuskan oleh pegawai perisikan tentera Israel yang sama  yang bekerja dengan bekas Perdana Menteri negara Zionis itu pada 1999.
Pegawai tentera terbabit yang kini bekerja dengan APCO ketika itu bekerja di bawah Ehuh Barak yang menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Israel, menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kritikan Parti Buruh kepada Ehud Barak ialah kerana terlalu ramai rakan tentera  perisikan yang bukan dari parti.
"Platform Satu Israel menjanjikan perkhidmatan yang lebih baik dalam pendidikan dan kemudahan kesihatan baik manakala di Malaysia pula ada klinik 1 Malaysia,
"Tujuan Ehud untuk alih isu 'settlement' atau penempatan, iaitu alih pandangan lain dalam negara manakala 1 Malaysia alih isu pertelingkahan antara kaum dan masalah rasuah dalam negara.
"Mesej Satu Israel ialah 'People first' manakala 1 Malaysia pula 'Rakyat didahulukan', Kemudian 1 Israel menubuhkan Tabung Satu Israel manakala Malaysia menubuhkan Yayasan 1 Malaysia.
"Jadi persamaannya itu terlalu banyak di antara apa yang dibuat Ehud Barak dan Datuk Seri Najib Razak.
"APCO menafikan tetapi pegawai yang bertugas adalah pegawai yang sama yang saya namakan Pegawai Pertahanan Israel," kata Anwar dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen semalam.
Anwar memnuat sidang media tersebut setelah menjelaskan isu APCO secara terperinci di dalam Dewan Rakyat pagi semalam.
Penjelasan tersebut dibuat selepas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menggunakan Peraturan Mesyuarat 37(1) meminta Ketua Pembangkang membuat penjelasan mengenai isu APCO pada sidang Dewan Rabu minggu lalu.

Ganesan Bohong Terima Tujuh Soalan Sahaja Daripada PR



Oleh Faizal Ezzany
IPOH 31 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan Speaker 'haram', Datuk R. Ganesan yang mendakwa menerima hanya tujuh soalan daripada 216 soalan yang dihantar.
Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata ADUN Pakatan telah menghantar soalan mengikut syarat yang telah ditetapkan.
"Kita telah menghantar soalan bertulis kepada Setiausaha Dewan, kita juga telah mengikut arahan surat yang dihantar oleh Setiausaha Dewan yang mengarahkan semua soalan perlu dihantar sebelum 15 Mac.
"Kita mengikut apa yang diarahkan oleh surat tersebut, tetapi kenyataan Speaker haram itu mengatakan beliau hanya menerima tujuh soalan dari ADUN Pakatan. Ini satu pembohongan sedangkan kita telah menghantar semua soalan, kalau tujuh orang sahaja kami nak tahu siapa mereka dan apa soalan tersebut.
"Disini timbul persoalan, Speaker sepatutnya tidak menerima soalan, yang terima adalah Setiausaha Dewan tetapi kenyataan yang diberikan oleh Speaker haram itu nampak sangat menipu dan ada unsur tertentu yang tidak mahu soalan-soalan yang dikemukakan oleh ADUN Pakatan dijawab di dalam Dewan," kata Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang dalam sidang media semalam selepas sidang ditangguhkan.
Nizar juga menjelaskan soalan yang dikemukakan itu menjurus kepada kepentingan rakyat Perak dan fakta-fakta yang diperlukan.
"Soalan kita semua untuk kebajikan rakyat dan ada juga soalan yang kita perlukan fakta jadi tindakan menafikan soalan itu tidak tepat dengan etika Dewan," tegas Nizar.

Ulama tiada kuasa vs Ulama ada kuasa

Antara isu yang sering dimainkan media ke atas gerakan Islam seperti PAS adalah dakwaan kononnya Pas anti hiburan. Mesej yang cuba dibawa dari dakwaan tidak berasas ini - amat berbahaya untuk memberi kepada gerakan Islam seperti Pas . Memberi sokongan kepada Pas ertinya menyokong supaya industri hiburan ditutup. Tiada konsert, tiada filem, tiada nyanyian. Begitulah fitnah yang sering dimainkan oleh musuh gerakan Islam.

Tidak dinafikan jika yang dimaksudkan hiburan itu adalah satu bentuk keseronokan yang bebas sepenuhnya dari sebarang sekatan dan kawalan maka Pas mengaku bahawa ia memang menentang hiburan sebegitu. Jika yang dimaksudkan dengan hiburan misalnya adalah nyanyian atau lakonan yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang tidak terkawal , pakaian yang menjolok mata, senikata dan skrip yang tidak membina keperibadian manusia sepertimana yang ditonjolkan oleh Hollywood atau Bolywood dan ditiru oleh industri hiburan tanahair maka hiburan yang seperti itu akan pasti ditentang oleh Pas meskipun seluruh alam membenci Pas.

Bagi Pas hasrat manusia untuk berhibur adalah satu fitrah manusia. Memandangkan ianya satu fitrah maka adalah mustahil untuk Pas melarang perkara tersebut. Sebaliknya hiburan itu patut disuburkan bagi membantu manusia lari dari masalah dan kerunsingan yang mereka hadapi. Bukankah itu matlamat hiburan ?

Apa yang malang manusia barat mengaitkan hiburan dengan keseronokan yang tidak dikawal. Industri hiburan barat menghiburkan manusia dengan meminta manusia mengikut selera hawa nafsu manusia . Tiada had dan batasan dibenarkan. Hiburan barat adalah berdasarkan falsafah hedonism – keseronokan yang tidak dibatasi oleh sebarang sekatan dan kawalan. Sistem ekonomi kapitalisme bukan sahaja merangsang industri hiburan barat malahan ia juga menjadi pengawal kepada industri hiburan tersebut.

Soal adab, akhlak , maruah, harga diri dan keperibadian insan tidak ada dalam kamus kapitalisme dan dunia hiburan barat. Apabila manusia dibiarkan untuk mengikuti hawa nafsunya untuk berseronok atas nama hiburan ia hanya membantu manusia lari sementara dari masalah dan kerunsingan . Bagaimanapun selepas menikmati hiburan itu ia akan membawa manusia itu kepada beribu masalah yang lain. Paparan akhbar tentang apa yang berlaku kepada artis-artis negara barat dan juga di negara ini – masalah dadah, khalwat, zina, gay, mabuk, kadar penceraian yang tinggi adalah contoh yang boleh kita lihat di depan mata kita.

Sebagai gerakan Islam yang ingin membawa manusia kepada kebaikan dan kesejahteraan yang hakiki Pas tidak boleh membiarkan dunia hiburan terus dinodai oleh acuan dunia hiburan barat. Maka tindakan mengharamkan terus industri hiburan sudah semestinya bukan satu pilihan yang wajar dan bijak. Jika itu pilihan Pas maka ia adalah satu bentuk escapism. Jika itu yang dilakukan maka ia menjustifikasi dakwaan jahat musuh bahawa Pas adalah anti hiburan.

Justeru itu tindakan Kerajaan Kelantan membenarkan konsert jom heboh baru-baru ini bagi saya adalah satu tindakan yang positif dan patut dipuji. Sebelum ini kita juga dapat melihat Negara Iran yang dipimpin oleh golongan ulama telah berjaya membawa revolusi industry perfilemen negara itu – dari industri glamour kepada industry yang membina. Perfilemen Iran menunjukkan bahawa sesebuah filem itu masih mampu menang award meskipun tiada arak dan adegan seks di dalam filem.

Bagi yang tidak senang dengan Pas, tindakan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Aziz membenarkan sure heboh di bumi serambi Mekah dilihat seolah-oleh menempelak kenyataan Mufti Perak sebelum ini yang mengatakan jomheboh atau sure heboh adalah haram.

Jika itu kritikan yang ditujukan kepada Kelantan , jawapan kita mudah sahaja. Haram atau tidak haramnya sesuatu perkara bukan hanya kerana namanya . Sebagai contoh adakah kasino itu haram kerana namanya kasino ? Bagaimanakah jika kasino menukar programnya dari yang berbentuk permainan dengan wang taruhan ( judi ) kepada permainan semata-mata tanpa ada unsur judi. Adakah ketika itu kasino masih haram hanya kerana namanya Kasino !

Sewaktu saya bersama dengan Presiden Pas bertemu para pelajar di Australia suatu ketika dahulu, Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang memberikan satu contoh yang menarik kepada pelajar tentang kaedah hukum dalam Islam. Contoh yang beliau berikan adalah melibatkan makan nasi. Beliau mengatakan hukum makan nasi boleh jadi harus atau wajib atau haram mengikut keadaannya. Asal hukum makan nasi adalah mubah ( harus ). Bagaimanapun ia boleh bertukar menjadi wajib jika apabila seseorang itu dalam kebuluran dan hanya ada nasi sahaja dan tidak ada makanan lain di hadapan beliau. Makan nasi ketika itu jadi wajib kerana ingin menjaga nyawa. Makan nasi juga boleh jadi haram jika makan di waktu siang semasa berpuasa di bulan Ramadhan..

Hal yang sama juga boleh berlaku kepada sure heboh. Sure heboh boleh jadi harus atau haram mengikut keadaan . Jika program sure heboh dipenuhi maksiat sudah tentu ia haram. Tetapi jika kandungan maksiat di program itu dapat dibuang atau dielakkan adakah hukum program itu akan terus berkekalan haram hanya kerana namanya sure heboh. Sudah tentu tidak.

Kita percaya bahawa apabila Mufti Perak mengatakan sure heboh haram ianya bukan kerana namanya tetapi kerana isi kandungan program tersebut. Program sure heboh sebelum ini termasuk di Perak sendiri tidak dikawal .Para penonton lelaki dan wanita dibenarkan duduk bersama-sama . Artis wanita dibenarkan terkinja kinja menyanyi di pentas dengan pakaian yang tidak sopan dan tidak menutup aurat. Mufti Perak yang tidak bersandarkan kuasa politik tidak dapat berbuat apa-apa apabila sure heboh berkunjung ke negeri Perak sendiri. Beliau terpaksa akur melihat fatwanya dilanggar oleh orang-orang politik di negeri itu. Konsert sureheboh di Perak terpaksa mengikut gendang TV 3 sebagai penganjur program itu.

Keadaan yang sama tidak berlaku di Kelantan. Di Kelantan pihak penganjur terpaksa ikut gendang Kerajaan yang dipimpin oleh Ulama’. Apabila Kelantan bersuara tiada artis wanita – maka TV 3 ikut. Tiada percampuran lelaki dan wanita- sekali lagi TV 3 ikut. Inilah bezanya apabila Ulama yang bersandar dengan kuasa dengan ulama yang tidak mempunyai kuasa.

Ulama tiada kuasa hanya dapat menyatakan ini haram itu haram tanpa dapat berbuat apa-apa jika manusia tidak endahkan fatwanya. Apabila TV 3 tidak endah fatwa Ulama yang tiada kuasa maka ulama seperti Mufti Perak tidak boleh buat apa-apa .

Apabila ulama ada kuasa ia boleh bertindak dengan lebih aktif dan efektif. Ia boleh ‘dictate” pihak penganjur supaya tunduk kepada peraturan Kerajaan negeri. Akhirnya ulama yang ada kuasa boleh menawarkan rakyatnya hiburan alternatif yang terbaik kepada sure heboh yang diharamkan oleh ulama yang tiada kuasa.


Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat.

Mahasiswa boleh kritik kerajaan- Saifuddin

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam satu forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Fakulti Sastera Sains Sosial Universiti Malaya malam tadi,  Saifuddin berkata, ianya memerlukan keberanian dalam diri setiap mahasiswa dan mereka harus bertindak secara berjemaah.

Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," katanya di hadapan lebih 150 mahasiswa yang hadir.

Menyentuh mengenai sudut pidato yang dihidupkan semula di IPT selepas 20 tahun ianya dihentikan, Saifuddin berkata, sudut pidato merupakan satu platform yang sesuai untuk mahasiswa melontarkan idea mereka melalui pengucapan awam.

Bagaimanapun, beliau yang mengakui mahasiswa mempunyai potensi untuk menggugat pentadbiran universiti mahu Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar meletakkan halatuju yang betul dan memahami matlamat sudut pidato dihidupkan semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak universiti tidak mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato sebaliknya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.

"Apa maksud mahasiswa menggugat? Mengugat apa? Menteri? Organisasi, HEP, atau KPT?Amalan buruk, rasuah, kebejatan, kebobrokan?

"Melalui sudut pidato. mahasiswa ada potensi menggugat. Sebab itu HEP perlu ada halatuju yang betul dan faham matlamat sudut pidato. Tak perlu banyak undang-undang dan arahan dalam sudut pidato. Biarkan mahasiswa bebas mengendalikan sudut pidato.

"Mahasiswa boleh berfikir dan menentukan halatuju kampus sendiri," katanya.

Sudut pidato kembali diwujudkan di UM selepas lebih 20 tahun ia diharamkan apabila Akta kolej dan Universiti (AUKU) diperkenalkan.

Dua lagi panelis forum 'Mahasiswa Menggugat: Antara Realiti dan Fantasi' itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Redzuan Osman dan bekas bekan fakulti berkenaan, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar yang juga penulis buku 'Mahasiswa Menggugat'.

Menanti kebebasan bersuara 'Parlimen Mahasiswa'

Parlimen mahasiswa yang dicetuskan oleh Mohammad Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipersetujui penubuhannya oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi.

Warga kampus USM sememangnya sangat berlapang dada serta berfikiran terbuka dengan Parlimen Mahasiswa ini walaupun ramai lagi mahasiswa yang tidak tahu dan sedar mengenai penubuhannya. Dalam hal ini, Pro Mahasiswa sangat berbesar hati dan ternanti-nanti kehadiran Parlimen Mahasiswa itu sendiri.

Beberapa minggu yang lalu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) dan MPP mengadakan bengkel penggubalan Parlimen Mahasiswa. Hal ini untuk memastikan kelangsungan kaedah, peraturan dan undang-undang parlimen tersebut.

Berdasarkan temubual Pro-M dengan seorang peserta bengkel tersebut, Muslihah binti Mazlan, beliau mengakui terdapat kekeliruan dan kekaburan dengan pelaksanaan parlimen tersebut. Hal ini sudah terang lagi bersuluh kerana persidangan Parlimen Mahasiswa adalah dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan juga bakal terikat dengan sebuah lagi akta yang dalam proses penggubalannya.

Perkara ini sekaligus mengundang perselisihan faham kerana melalui takrifan parlimen itu sendiri merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang. Jadi mengapakah mahasiswa dalam konteks pelaksanaan parlimen perlu dibatasi oleh AUKU?

Bukankah ia dikatakan bakal menjadi platform untuk mahasiswa melontarkan idea dan pandangan tentang masalah yang berlaku di kampus dan dalam Malaysia (kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)?

Memang terdapat pihak-pihak yang menyatakan mahasiswa tidak salah bercakap tentang hal politik negara dalam persidangan, namun ia adalah secara akademik. Jelasnya, sebarang kritikan akan menimbulkan isu bahawa mahasiswa membangkang itu dan ini. Justeru, pelbagai persoalan yang bermain dalam benak fikiran mahasiswa.

Sekiranya Parlimen Mahasiswa tersekat dan disekat oleh AUKU , maka di manakah hak kebebasan bersuara mahasiswa? Kebebasan bersuara yang dimaksudkan di sini adalah tiada sebarang sekatan oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam mahasiswa untuk melontarkan idea dan kritikan membina secara akademik dan intelek.

Jikalau demikian, bagaimanakah suara mahasiswa ini akan menyumbang kepada pembangunan negara? Mahasiswa perlu bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada seluruh persekitarannya. Sekali lagi dijelaskan di sini, pendirian Pro-M sangat meraikan persidangan Parlimen Mahasiswa ini dan tidak sama sekali berniat untuk menghentikan penubuhannya.

Selain itu, ketika segala undang-undang berkaitan Parlimen Mahasiswa ini ‘diharmonikan’ oleh pihak-pihak tertentu, tidak ada seorang mahasiswa pun didedahkan tentangnya. Adakah ia bercanggah daripada resolusi bengkel penggubalan undang-undang yang terdahulu diadakan?

Tiada siapa yang tahu dan sudah pastinya apabila ia diwartakan, amat sukar untuk undang-undang tersebut dipinda kerana akan mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, pemindaan AUKU seksyen 15 yang mengambil masa yang panjang dan apa yang dipinda itu ‘masih belum sempurna’. Justeru, inilah yang menjadi sebahagian perkara yang amat dikesali oleh peserta bengkel tersebut.

Kerana kami merasakan sukar untuk mendapat pengiktirafan universiti agar suara mahasiswa didengari pihak atasan, oleh itu Pro-M sangat menginginkan kelancaran dalam penggubalan perlembagaan Parlimen Mahasiswa ini.

Pihak Pro-M tidak pernah melakukan kezaliman kerana menghukum sesuatu terhadap perkara yang belum dipastikan. Malah, merahsiakan perwartaan undang-undang daripada pihak mahasiswa merupakan suatu tindakan yang ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’.

Maka dengan itu, pihak Pro Mahasiswa bangkit untuk menuntut dua tuntutan berhubung Parlimen Mahasiswa, iaitu:

1. Undang-undang termasuk tatacara, kaedah dan sebagainya dibentangkan kepada seluruh mahasiswa kampus USM sebagai penjelasan kepada mahasiswa walaupun ia telah ‘diharmonikan’.
2. Sebarang kritikan, penambah baikan, cadangan dan saranan boleh dilakukan terhadap undang-undang ini oleh seluruh mahasiswa kampus USM sebelum perkara ini diwartakan.

Sekali lagi diingatkan, tuntutan ini perlu dilaksanakan sebelum perlembagaan Parlimen Mahasiswa diwartakan. Justeru, tuntutan Pro-M ini adalah untuk memastikan seluruh warga kampus USM sentiasa peka dengan keadaan dan isu yang berlaku dalam kampus.

Seterusnya, ia berfungsi untuk mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu oleh mana-mana pihak. Bebaskan fikiran mahasiswa.

Konklusinya, kami melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai titik mula mahasiswa untuk bebas bersuara dan bukan hanya retorik politik semata-mata.

PIBG: Muhyiddin buktikan kerajaan pekak, angkuh

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyelar keangkuhan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.
Ini ekoran di Parlimen semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri memperingatkan bahawa tugas PIBG hanyalah berkaitan soal bagaimana untuk menambah baik pelajaran di sekolah yang mereka menjadi ahli sahaja.
Katanya, pandangan itu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak terbuka menerima teguran rakyat dan masih mengamalkan dasar pekak telinga dan bersikap angkuh.
“PAS kesal dengan dasar dan pemikiran kecil beliau yang juga Timbalan Presiden Umno. PAS berpandangan bahawa PIBG juga adalah medium terbaik untuk para ibu bapa dan guru menyampaikan pandangan mereka khususnya yang melibatkan soal-soal pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Malah, katanya PIBG berhak untuk membincangkan atau memberikan pandangan terhadap dasar dan polisi pendidikan negara kerana itu semua akan memberikan kesan kepada anak-anak mereka.
Sepatutnya, kata beliau pihak Kementerian Pelajaran menjadikan PIBG rujukan utama sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan kerana mereka berhak dan lebih memahami keperluan pelajar dan anak-anak mereka.
Menurutnya, mesyuarat dan konvensyen PIBG akan menjadi lebih matang dan dilihat berwibawa jika mampu membincangkan soal-soal dasar dan polisi negara di samping tidak mengabaikan isu-isu dalaman sekolah.
“Jika mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara, di manakah mereka ingin membawa pandangan mereka kerana tidak semua ahli PIBG terlibat dengan NGO atau parti politik. Jadi, apa salahnya mereka menggunakan medium yang ada untuk menyampaikan pandangan,” katanya lagi.
Secara sinis, katanya PAS mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membuktikan kebebalan dan keangkuhan kerajaan BN kepada rakyat. 
Tambahnya, BN hanya melayan aduan atau pandangan yang selari dengan kehendak mereka, sedangkan pandangan yang tidak mengikut kehendak mereka diketepikan dan dianggap sebagai pandangan politik walhal isu yang disentuh jelas melibatkan isu pendidikan, bukannya politik.
“Kalau orang politik sekalipun, apabila berbicara isu pendidikan, ia tetap isu pendidikan, bukan isu politik dan tidak perlu dipolitikkan ternyata beliaulah yang cuba mempolitikan isu ini, bukan PIBG,” ujarnya.
Justeru, ujarnya PAS menawarkan kepada semua PIBG di negara ini untuk menyampaikan pandangan mereka melalui wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat jika BN sendiri sudah tidak mahu menerima pandangan mereka.
Beliau menambah, PAS akan memastikan wakil-wakil rakyat Pakatan akan membawa isu mereka ke Parlimen dan sidang-sidang Dun.
“Pakatan tidak sesekali membiarkan rakyat terus menerus dinafikan hak dalam memberikan pandangan, dan perjuangan kita adalah suara rakyat.
“PAS yakin rakyat akan memilih kerajaan yang lebih baik dan lebih terbuka dalam pilihan raya akan datang dan Pakatan Rakyat bersedia memberikan yang terbaik buat rakyat,” ujarnya.

Azhar boleh isi borang, jangan pertikai RM100

SEBERANG JAYA, 31 Mac: Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim boleh mengisi borang untuk mendapatkan sagu hati RM100 pemberian Kerajaan Pakatan Rakyat negeri daripada mempertikaikan usaha membantu golongan warga emas.
Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Amir Ghazali dalam nada sinis berkata, Azhar yang juga setiausaha Umno negeri sememangnya berkelayakan untuk mendapatkan bantuan tersebut.
"Walaupun hanya RM100 setahun iaitu 27 sen sehari, Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menunjukkan keprihatinan yang tinggi, tidak sebagaimana Umno langsung tidak menghargai jasa warga emas," ujar beliau.
Katanya, Azhar dan Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Jalil Abdul Majid wajar sedar apa yang telah dibuat oleh Umno untuk rakyat termasuk warga emas selama memerintah negeri sebaliknya lebih berusaha untuk mengenyangkan perut kroni sahaja.
Tambahnya lagi, jika warga emas di kubu kuat Umno tidak mengambil pemberian wang kerajaan negeri yang berjumlah keseluruhan RM20 juta itu, mereka juga yang rugi bukannya kepimpinan Umno yang sering masuk kampung mempertikaikan usaha tersebut.
“Inilah caranya Umno memperjuangkan nasib bangsa Melayu, mereka sanggup menabur fitnah semata-mata tidak mahu warga emas di kampung-kampung termakan pemberian RM100 setahun.
"Umno sanggup memperkudakan warga emas untuk kepentingan politik sempit mereka. Kedatangan Pemuda Pakatan Rakyat ke beberapa lokasi yang dikuasai oleh Adun Umno akan menyelesaikan masalah berkenaan tidak lama lagi," tambahnya yang juga Ketua AMK Cabang Permatang Pauh.
Beliau memberitahu, Sektetariat Pemuda Pakatan Rakyat negeri terpaksa melakukan 'road show' ke serata kubu kuat Umno untuk mendaftarkan 50,000 lagi warga emas yang masih tidak berbuat demikian akibat terlalu mendengar tohmanah kepimpinan Umno/BN.
Katanya, tindakan itu akan dimulakan pada penghujung bulan April ini iaitu setelah pemberian RM100 kepada semua warga emas yang mendaftar selesai.
Jelas beliau, sepatutnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno bekerjasama dalam hal ini bukanya bertindak menghalang warga emas daripada memperolehi saguhati RM100 setahun semata-mata mengenang jasa mereka berkorban untuk pembangunan negeri.
"Masih ada 50,000 lagi warga emas yang belum didaftarkan daripada jumlah 82,938 orang yang telah mula menerima sumbangan tersebut daripada  Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri pada dua majlis penyerahan simbolik di Dewan Serbaguna Seberang Jaya dan Masyarakat Penyayang, Pulau Pinang. Boleh dikatakan 50,000 lagi di Dun yang dikuasai Umno," tegasnya.
Katanya, Umno bukan sahaja tidak bekerjasama untuk menjayakan hasrat murni kerajaan berhati rakyat itu bahkan memperkecilkan sumbangan yang diberikan kononnya terlalu kecil buat seorang warga emas.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP negeri, Ng Wei Aik mencabar Azhar dan Jalil melaporkan pemberian RM100 setahun itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) jika mendapati ianya berbaur politik.
Menurutnya, Ketua Menteri sendiri sanggup dipanggil untuk disiasat jika langkah tersebut merupakan satu kesalahan yang terdapat pada undang-undang pilihan raya.
"Pemberian itu bukan salah dari segi undang-undang sebab ia dibolehkan kerana itulah pengorbanan kerajaan yang dilantik rakyat, bukan mencuri wang rakyat," tegas beliau.

Sertai BTN syarat naik pangkat?

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa kakitangan kerajaan diwajibkan menyertai program Biro Tata Negara (BTN) yang dikatakan menjadi syarat kenaikan pangkat oleh kakitangan kerajaan.
Sedangkan, menurutnya yang juga Ahli Parlimen Bagan, BTN merupakan alat doktrinisasi Umno yang sememangnya bertentangan dengan semangat 1Malaysia, yang mengiktiraf status semua kaum.
Disebabkan itu, beliau meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menjelaskan sebab musabab kerajaan menguatkuasa kewajipan tersebut.
Menjawab soal itu dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, Dr Koh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun meneliti silibus BTN.
Daripada penelitian Najib, beliau yang juga Presiden Gerakan berkata, sekiranya terdapat kelemahan seperti yang didakwa oleh Lim, maka kerajaan akan memperbaiki silibus tersebut supaya selari dengan wawasan 1Malaysia

Bagaimana perasaan bila rakyat Malaysia ditahan tanpa bicara?



OMAR hiba sambil memeluk ahli keluarganya sebelum berlepas ke Laos dari LCCT di Sepang semalam.


SEPANG - Rakyat Malaysia, Omar Atan, 59, yang ditahan tanpa didakwa oleh pihak berkuasa Laos sejak 13 Mei tahun lalu, meninggalkan keluarganya dalam suasana hiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) semalam untuk kembali ke penjara negara berkenaan.
Ini kerana tempoh pelepasan khas selama 10 hari yang diberi kepadanya untuk bersama anak-anak dan menziarahi pusara isterinya, Allahyarhamah Siti Zaleha Abdullah yang meninggal dunia pada 18 Mac lalu telah berakhir semalam

Empat ciri jadi wakil rakyat disenangi penduduk



SUBANG 30 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat ciri untuk menjadi seorang wakil rakyat yang disenangi rakyat.
Empat ciri tersebut, kata beliau, adalah rajin menemui rakyat, mudah dihubungi, mampu menyelesaikan masalah rakyat dan tidak memungkiri janji.
Tegasnya, tanpa keempat-empat ciri tersebut adalah sukar seseorang wakil rakyat memberi khidmat terbaik kepada penduduk di kawasannya.
''Sebagai contoh, aktiviti berjumpa dengan rakyat atau lebih dikenali dengan turun ke padang. Program ini mudah dilakukan tetapi ada juga yang tidak dapat melaksanakannya dengan sepenuh hati.
''Selain itu, untuk menjadi wakil rakyat yang baik dan mudah didekati rakyat kita juga harus tahu apakah kehendak atau jangkaan rakyat kepada kita sebagai seorang pemimpin,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Malam Amal Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) di sini malam ini.
Turut hadir isteri beliau yang juga Yang Dipertua Kasih, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Naib Yang Dipertua Kasih, Prof. Datin Seri Aishah Salleh.
Kasih adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan untuk melaksanakan kerja-kerja berbentuk kebajikan khusus di Selangor.
Kasih dianggotai oleh isteri ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) .
Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kesemua perkara yang disebutkan tadi merupakan kriteria penting yang perlu ada pada setiap wakil rakyat.
Beliau dalam ucapannya turut menekankan kepentingan peranan isteri wakil rakyat dalam memberi sokongan kepada suami masing-masing dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin.
Perdana Menteri berkata, melalui peranan mereka sebagai pelengkap sudah tentu suami masing-masing dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh isteri wakil rakyat, katanya, adalah terlibat dengan kerja-kerja amal.
''Kasih adalah satu badan yang ditubuhkan untuk tujuan ini. Oleh itu kita sebagai suami harus reda sekiranya ketiadaan isteri kita di rumah kerana terlibat dengan kerja-kerja Kasih.
''Namun begitu jika ketiadaan mereka bukan sebab kerja-kerja Kasih, itu mereka perlu membuat permohonan lain," katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh.
Najib turut menyentuh peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kasih untuk bersama-sama kerajaan melaksanakan Model Ekonomi Baru (MEB).
''Di dalam MEB kita akan melaksanakan sistem ekonomi bersifat inklusif dan saya kira NGO seperti Kasih boleh bersama-sama kerajaan menjayakan MEB.
''Kita tidak mahu satu kumpulan rakyat pun yang tertinggal. Maksud saya tidak ada mana-mana rakyat pun yang akan tersisih, tertinggal dan terpinggir. Semua orang tetap akan dapat manfaat terhadap pelaksanaan MEB," kata Najib.
Sementara itu Rosmah di dalam ucapannya berkata, Kasih akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja amal khususnya membantu golongan memerlukan di negeri Selangor.
Beliau berkata, Kasih perlu memainkan peranan itu bersungguh- sungguh supaya kewujudannya benar-benar memberi manfaat kepada golongan memerlukan antaranya golongan kurang upaya, warga tua dan ibu tunggal.
''Alhamdulillah pada malam ini kita berjaya mengumpul sebanyak RM2.8 juta iaitu hasil sumbangan dermawan. Wang ini akan kita salurkan kepada golongan yang dinyatakan tadi,'' katanya.