Saturday, March 20, 2010

Nik Aziz bela Anwar, marah Zahrain buka rahsia PKR



KOTA BHARU 19 Mac – Walaupun dianggap ‘ulama terompah’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim namun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Malahan, Nik Abdul Aziz berang dengan tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mengelar Anwar sebagai ‘raksasa pelbagai wajah’.
Beliau juga tidak percaya dengan kenyataan Zahrain bahawa Anwar pernah menggelarnya sebagai ‘ulama terompah’ iaitu satu gelaran yang sinonim dengan tandas atau tempat kotor.
Menteri Besar Kelantan itu turut menyifatkan Zahrain, yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Februari lalu, adalah contoh tipikal ahli politik Melayu yang tidak ada akhlak kerana sanggup membuka rahsia parti yang pernah disertainya.
“Orang MCA , MIC berpecah pun tidak membuka rahsia parti mereka, tetapi orang Melayu bila berpolitik tidak ada integriti langsung.
“Kita suka dan berasa bangga dapat buka rahsia, namanya lagi rahsia, kenapa kita buka? Tak ingat dosa pahalakah?,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan kuliah mingguan di hadapan Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Rabu lalu, Zahrain semasa membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abdidin pada sidang Dewan Rakyat telah mendedahkan rancangan ‘16 September’ Anwar untuk mengambil alih kerajaan.
Beliau mendedahkan bagaimana Anwar membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi di samping turut ‘menjaja’ nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Panglima Angkatan Tentera.
Zahrain juga mendedahkan bahawa Anwar yang kini mendabik dada mahu memperkasakan institusi Islam di negara ini pernah mengelar Nik Abdul Aziz sebagai ‘ulama terompah’.
Nik Abdul Aziz berkata, ahli politik seperti Zahrain yang tidak puas hati dengan kepimpinan parti sepatutnya mengusulkan mesyuarat tergempar untuk membuang ketua mereka dan bukannya dengan cara memburuk-burukkan orang setelah berada di luar parti.
“Dia berasa bangga kata Anwar (pakai) topeng, padahal semua orang yang tolak Islam ni (pakai) topeng belaka. Setiap orang yang tinggal atas bumi Allah, tolak Islam ambil kebangsaan adalah orang yang memakai topeng, tolak Islam ambil sosialis juga orang pakai topeng.
Beliau bagaimanapun berpendapat, bekas ahli PKR yang kini menjadi ahli Parlimen Bebas masih ada ruang untuk ‘bertaubat’ dan mengundurkan kembali langkah mereka.

No comments:

Post a Comment