Saturday, March 20, 2010

'Satu pembohongan besar'





KOTA KINABALU 19 Mac - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Bebas dari Sabah hari ini membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menggunakan nama mereka dalam meraih sokongan bagi menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September 2008.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang itu sebagai satu pembohongan besar dan idea murahan daripada mereka yang terdesak.
''Saya tidak pernah berjumpa dengan dia (Anwar Ibrahim). Bagaimana saya boleh berbincang. Ini semua bohong," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang menyenaraikan beberapa nama ahli Parlimen BN yang didakwa Anwar sudah bersedia melompat menyertai pakatan pembangkang pada 16 September 2008.
Selain Bung Moktar, turut disebut sudah bersedia untuk melompat parti ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BNKalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar).
Ahli Parlimen lain ialah Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).
Bung Moktar menambah, sebagai ahli Parlimen yang dipilih rakyat, beliau mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan amanah rakyat dan bukannya menyempurnakan impian peribadi Ketua Pembangkang itu.
''Jangan senang-senang hendak mendakwa kita akan mudah untuk melompat parti," katanya.
Sementara itu, Majimbun berkata, meskipun pernah berjumpa Anwar, beliau tidak pernah berbincang mengenai usaha melompat parti menyertai pakatan pembangkang.
Katanya, dakwaan yang menyatakan ada perbincangan antara Parti Maju Sabah (SAPP) dan Anwar mengenai perkara itu hanyalah persepsi disebabkan parti itu mahu membawa usul tidak percaya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Kita tidak ada membuat perbincangan dengan Anwar, ini jelas apabila kita keluar daripada BN dan terus menjadi parti yang bebas untuk terus menuntut hak Sabah," katanya.
Soon Bui pula berkata, beliau dan Majimbun tidak pernah bermimpi atau berbincang untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
''Apa yang akan kami (ahli Parlimen SAPP) dapat, lebih-lebih lagi setelah kami mengorbankan segala keistimewaan kami keluar parti kerajaan dan melompat masuk parti kerajaan baru.
''Pendirian kami tetap utuh untuk menjadi sebuah parti bebas yang dapat memperjuangkan hak rakyat Sabah," katanya.
Sementara itu, Abdul Ghapur berkata, dia akan menjelaskan perkara itu dengan lebih jelas pada sidang Parlimen 22 dan 23 Mac ini.
"Saya akan menjelaskannya pada 22 dan 23 Mac ini semasa sidang Parlimen mengenai dakwaan itu yang melibatkan saya dengan lebih jelas," katanya.

No comments:

Post a Comment