Tuesday, March 23, 2010

Salahuddin Mahu Seret PM ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan



Oleh Fazli Othman
KUALA LUMPUR 23 MAC - Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub akan menyerahkan fakta dan dokumen berkaitan isu tuntutan royalti minyak Kelantan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang didakwa bercanggah dengan jawapan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sidang Parlimen 4 November lalu.
Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju untuk menerima dokumen berkaitan perkara tersebut setelah 
Salahuddin bangun dengan mengemukakan usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.
Dalam sidang media beliau berkata Najib diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan dan jika tidak beliau boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Perdana Menteri pada sesi penggulungan November lalu didakwa telah menyelewengkan fakta berhubung hak Kelantan mendapat royalti atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan negeri, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.
Beliau berhujah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969 sebenarnya telah pun dimansuhkan.
"Walaupun ordinan tersebut telah dimansuhkan kerajaan telah memperuntukan wang ihsan kepada negeri Terengganu dengan mengambil kira minyak di luar perairan negeri itu," kata Salahuddin.
"Meskipun peruntukan perundangan adalah jelas, kerajaan telah memperuntukan wang ehsan untuk negeri Terengganu dengan mengambilkira pengeluaran minyak di luar pesisir negeri tersebut.
"Dengan menggunakan perkataan wang ehsan, Perdana Menteri telah menyeleweng Dewan yang mulia kerana menurut satu surat yang ditulis oleh Petronas kepada Datuk Setiawangsa, Pegawai Kewangan Negeri di Pejabat Perbendaharaan Negeri Wisma Darul Iman Kuala Terengganu yang bertarikh 19 September 1978 menyatakan anggaran pembayaran wang royalti petroleum 1979.
"Begitu juga surat-surat daripada Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu selepas itu termasuklah kepada Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1999 telah jelas menyatakan wang royalti.
"Bagi saya jelas Perdana Menteri telah menyelewengkan Dewan dan dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12), saya memberi tempoh tujuh hari supaya Menteri membuat penjelasan", jelas beliau dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen.
Dalam pada itu, Speaker meminta tempoh seminggu untuk meneliti semua dokumen dan fakta dan Najib harus menjawab dalam masa tujuh hari dan jika tidak  beliau boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan.

No comments:

Post a Comment