Tuesday, March 23, 2010

Bung Mokhtar akui pernah dipelawa


KUALA LUMPUR 22 Mac - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mengakui pernah dipelawa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan 16 September tidak lama dahulu.
Tanpa menyatakan tarikh serta lokasi perjumpaan itu dengan tepat, Bung Moktar berkata, pertemuannya dengan Anwar adalah secara kebetulan iaitu ketika mereka bersama-sama menaiki penerbangan sama.
''Dia (Anwar) datang jumpa saya tanya apa khabar, saya cakap baik dan dia tanya bila nak ikut, saya tanya ikut apa, dia kata sudah ada 30 orang dan saya balas awak ada 30 orang, bentuk kerajaanlah, itu sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun katanya, beliau tidak pernah langsung berhasrat untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) demi menyertai pembangkang bagi membentuk kerajaan.
Pendedahan Bung Moktar itu adalah sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai rancangan pembentukan 'Kerajaan 16 September' oleh Anwar.
Sementara itu, Bung Moktar menyeru supaya anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lain bangkit daripada tidur dan angan-angan membentuk kerajaan Pusat.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Zahrain yang kini menjadi wakil Bebas setelah keluar parti 12 Februari lalu dan menyifatkan Zahrain bertindak sedemikian kerana sudah mendapat petunjuk daripada Tuhan untuk ke landasan yang benar.
"Yang lain saya tidak boleh cakap belum ada petunjuk tetapi mungkin mereka belum terbuka hati mereka oleh Allah, saya simpati dengan mereka yang belum mendapat petunjuk, saya berdoa satu hari sebab tiada yang boleh ubah hati manusia selain daripada diri mereka dan Allah," katanya.

No comments:

Post a Comment