Tuesday, March 23, 2010
Bakar Utusan Malaysia Tindakan Biadap: Mohamad
KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan hari ini menyifatkan tindakan orang Melayu membakar akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini sebagai perbuatan paling biadap terhadap bangsanya sendiri.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata, akhbar itu merupakan lidah rasmi bangsa Melayu ketika menuntut kemerdekaan dahulu tetapi malangnya, akhbar itu kini dihina oleh orang Melayu sendiri.
"Saya ingin menyatakan terutamanya kepada orang Melayu yang membakar Utusan Malaysia beberapa minggu lalu sedarkah perbuatan ini perbuatan yang paling biadap kepada bangsa Melayu.
"Utusan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1937, 73 tahun yang lalu. Inilah lidah rasmi bangsa Melayu (ketika) hendak menuntut kemerdekaan negara ini. Inilah akhbar yang mendidik minda Melayu supaya terus maju, inilah lidah yang menjadi wakil kepada wadah perjuangan Melayu untuk menyatukan Melayu dan membawa Melayu kepada perubahan yang lebih baik dari zaman itu untuk masa-masa akan datang.
"Apakah tergamak orang Melayu menghina satu akhbar yang begitu besar jasanya kepada bangsa Melayu," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Dewan Rakyat hari ini.
Perbahasan Mohamad itu kemudian dicelah beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang turut kecewa dengan tindakan orang Melayu terhadap akhbar arus perdana itu.
"Kita di sini bukan membela siapa, tetapi kita nyatakan yang benar tetap benar, mungkinkah mereka telah dipengaruhi oleh pemimpin bukan Melayu," kata Bung Moktar.
Bung Moktar berkata, akhbar itu juga dilabel sebagai rasis oleh pihak pembangkang kerana sering menyiarkan berita berbentuk provokasi seperti pendedahan pembatalan perarakan sambutan Maulidur Rasul oleh kerajaan Pulau Pinang.
Membahaskan isu lain, Mohamad mahu peruntukan pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) nanti lebih banyak berbanding RMK-9 memandangkan lima tahun akan datang, segala harga barangan dan kemudahan akan meningkat naik.
Selain itu, beliau turut menyatakan kebimbangan senario wanita tempatan yang berkahwin dan lari bersama lelaki dari Lombok yang semakin menjadi-jadi pada masa kini.
"Wanita kita suka sangat kepada lelaki Lombok ini kenapa? Saya dengar orangnya handsome (kacak), lemah-lembut. Kita harus berhati-hati, saya hendak ingatkan kalau perempuan kita berkahwin dengan lelaki Lombok jangan kita ambil tindakan melulu, kalau dah kahwin apakah wajar kita suruh bercerai," katanya. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment