Tuesday, April 6, 2010

Anwar dirujuk Jawatankuasa Hak



KUALA LUMPUR 5 April - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sudah menyerahkan notis untuk mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Mohamed Nazri berkata, usul berhubung penjelasan Anwar tersebut akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentang dan dibahaskan pada 22 April.
"Saya sudah serahkan notis. Ia merupakan usul daripada kerajaan jadi mesti dibentang dan dibahaskan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Anwar semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Mac lalu telah mendakwa bahawa pada 2009 firma perunding asing, Apco Worldwide memberi nasihat berhubung konsep 1Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ekoran itu, Anwar diminta membuat penjelasan di Dewan Rakyat berhubung dakwaannya itu namun, pada penjelasan yang dibuatnya, ketua pembangkang itu tidak menjawab persoalan pokok berhubung apa yang didakwanya.
Sehubungan itu, kerajaan memutuskan untuk membawa usul bagi merujuk Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran tindakannya yang cuba mengelirukan Dewan Rakyat setelah membuat penjelasan mengenai dakwaannya itu.
Mohamed Nazri berkata, merujuk Anwar kepada jawatankuasa tersebut sudah semestinya akan berlaku memandangkan kerajaan tidak berpuas hati terhadap penjelasan yang diberikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebelum ini.
Ditanya mengenai kenyataan Anwar sebelum ini yang mencabar Dewan Rakyat supaya menggantungnya sebagai Ketua Pembangkang, Mohamed Nazri berkata: "Dia memang kaki 'spin'. Kalau orang lain mengelirukan dewan, disuruh ambil tindakan, tapi bila kena pada dia, seolah-olah dia kebal.
"Saya melihat pada peraturan saja. Kalau hakikatnya dia mengelirukan Dewan, maka kena rujuk pada jawatankuasa. Soal cabar-mencabar, jadi lelakilah. Yang bercakap di luar buat apa, saya bukan boleh jawab di luar. Cakap dalam Dewan. Apa dia takut kah?," katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri turut mempersoalkan tindakan ahli Parlimen pembangkang yang tidak berhenti mempertahankan Anwar di dalam Dewan Rakyat.
"Saya pun hairan mengapa harus mereka ini bermati-matian membela dia. Sekarang ini yang nak dibela rakyat atau Anwar? Kenapa semua nak bela pemimpin mereka ini.
"Isu dalam Dewan kita bincang pasal masalah rakyat. Ini hanya bercakap isu-isu yang membuang masa dan tidak ada kena-mengena," katanya.

No comments:

Post a Comment