Tuesday, April 6, 2010

Terima pilihan pucuk pimpinan



KUALA LUMPUR 5 April - Jawatankuasa Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diyakini mampu memilih calon terbaik untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, Perdana Menteri pasti akan membuat keputusan terbaik demi memastikan BN merampas semula kerusi tersebut.
"Keutamaan kita ialah menyaksikan BN merampas kembali kawasan itu dan sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan harus diterima.
"Saya berharap tidak ada pihak mempertikaikan calon yang bakal diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 April nanti. Yang penting semangat BN mesti kuat," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada calon yang dipilih kelak adalah daripada UMNO sendiri memandangkan kekalahan calon terdahulu daripada MIC.
Isu pemilihan calon untuk Hulu Selangor mula timbul apabila Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mencadangkan supaya timbalannya, Datuk G. Palanivel diberi peluang untuk bertanding semula.
Sementara itu, seorang lagi MT UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, BN mempunyai peluang besar untuk merampas kembali kerusi yang terlepas pada pilihan raya 2008 itu.
"Peluang kita adalah cerah kerana kedudukan terkini pembangkang yang goyah dengan tindakan beberapa wakil rakyat mereka.
"Kita ada banyak fakta yang akan digunakan ketika berkempen nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment