Tuesday, April 6, 2010

Polis akan keluar notis arahan hadir kepada Koo Ham



IPOH 5 April - Polis akan mengeluarkan notis arahan hadir kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham jika beliau masih enggan memberi kerjasama dalam melengkapkan siasatan berhubung dakwaannya terhadap polis baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, notis itu akan dikeluarkan segera mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
"Pegawai penyiasat polis telah menghubungi Koo Ham dua hari lalu untuk memintanya hadir bagi melengkapkan siasatan, tetapi dia enggan keterangannya diambil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Koo Ham pada satu sidang akhbar pada 30 Mac lalu mendakwa, ramai anggota serta pegawai polis hadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung.
Beliau dipetik sebagai berkata; "Saya takut jika ada perbahasan dan ada mana-mana polis tidak suka kita, mereka akan tembak mati. Ini boleh berlaku kerana mungkin ada polis tidak suka dengan kita."
Malah dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini kelmarin, Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan menegaskan, beliau tidak gentar disiasat polis berhubung kenyataannya yang dibuat selepas sidang DUN itu.
Dzuraidi berkata, notis tersebut biasanya memberi tempoh antara seminggu dan dua minggu bagi membolehkan Koo Ham hadir untuk melengkapkan siasatan itu.
"Jika dia masih enggan datang, waran tangkap boleh dikeluarkan terhadapnya," katanya.
Menurut beliau, buat masa ini, siasatan termasuk merakam percakapan saksi-saksi termasuk beberapa wartawan yang hadir pada sidang akhbar Koo Ham telah selesai diadakan.

No comments:

Post a Comment