Saturday, April 17, 2010

Thai bantah filem kritik raja



SYDNEY 16 April - Thailand membuat bantahan terhadap kerajaan Australia berhubung penyiaran sebuah dokumentari yang kritikal terhadap keluarga diraja Siam dan memberi amaran ia boleh menjejaskan hubungan kedua-dua buah negara.
Pegawai kanan Kedutaan Thailand telah bertemu dengan pegawai Jabatan Luar Negara Australia semalam, bagi memaklumkan kebimbangannya terhadap program yang disiarkan oleh Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).
"Kebimbangan ini adalah kerana ia mampu menjejaskan hubungan baik Thailand dan Australia terutama di kalangan rakyat kedua-dua buah negara.
"Kami menganggap penyiaran itu adalah isu yang menyentuh keselamatan negara kerana keluarga diraja dan monarki dalam perlembagaan kami terletak berada lebih tinggi daripada hal politik," kata penasihat menteri di Kedutaan Diraja Thai kepada AFP.
Bakal duta Thailand, Kriangsak Kittichaisaree turut menulis kepada Pengarah Urusan ABC, Mark Scott bagi membuat aduan berhubung program itu yang boleh melanggar undang-undang diraja Thailand, yang melarang mana-mana pihak mengkritik keluarga diraja.
"Saya kesal sebuah organisasi berkaliber seperti ABC menjejaskan piawaiannya dengan menyiarkan dokumentari yang menunjukkan ia tiada perbezaan dengan kewartawanan tabloid," kata Kittichaisaree.
Program itu hanya disiarkan di stesen kerajaan Australia dan tidak boleh ditonton melalui Internet di negara luar.
Pejabat diplomatik Thailand di Australia bagaimanapun memberitahu, ia menerima aduan berhubung program itu yang menyentuh sistem diraja Thailand, yang dikatakan Kittichaisaree sebagai 'jiwa' dan dihargai oleh rakyat Thailand.
"Saya menganggap apabila anda memilih untuk menyiarkan program amat sensitif ini, surat bantahan seperti dikemukakan saya dan diharap diambil perhatian, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan," katanya.
ABC tidak memberikan ulasan segera mengenai hal itu namun laporan akhbar Australia menyatakan, syarikat berkenaan menutup pejabatnya di Bangkok dan menghantar pulang kakitangan tempatannya sehingga notis seterusnya dikeluarkan. - AFP

No comments:

Post a Comment