Saturday, April 17, 2010

Keganasan politik terburuk






HAMPIR lumpuh. Itulah situasi yang dapat digambarkan mengenai kota Bangkok apabila beribu-ribu kumpulan Baju Merah yang pro kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra mengadakan tunjuk perasaan.
Sejak sebulan lalu mereka menguasai jalan raya-jalan raya dan pusat beli-belah dengan berkampung di situ sehingga ekonomi negara itu terjejas.
Bermula dengan perarakan di sekitar Bangkok dengan jumlah sekitar 20,000 orang, mereka kemudiannya berkonvoi dengan trak berwarna-warni, motosikal dan pelbagai kenderaan di seluruh Bangkok.
Kumpulan Baju Merah semakin berani apabila mereka mencurahkan darah ke kediaman dan pejabat Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva.
Tunjuk perasaan yang dilakukan oleh kumpulan Baju Merah semakin memuncak dan bertukar menjadi ganas apabila berlaku pertempuran antara kumpulan tersebut dengan pasukan keselamatan.



Kesannya, beratus-ratus orang cedera termasuklah seorang jurukamera televisyen agensi berita Reuters warga Jepun, Hiroyuki Muramoto, 43, terbunuh.
Kemelut politik Thailand bermula sejak empat tahun lalu apabila kerajaan pemerintahan Takhsin dituduh sarat dengan rasuah. Negara Gajah Putih yang ditadbir oleh tiga kerajaan dalam tempoh tersebut dicalarkan dengan drama rusuhan penunjuk-penunjuk perasaan.
Pada tahun 2008, penunjuk perasaan anti-Thaksin merampas Rumah Kerajaan berbulan-bulan lamanya dan mengepung Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok selama seminggu.
Rusuhan demi rusuhan telah memporak-perandakan reputasi negara yang cukup stabil dari segi perdagangan, pelaburan dan pelacongan itu.
Sejak Thaksin digulingkan daripada jawatan Perdana Menteri pada tahun 2006, pergolakan politik di Thailand terus bergelora khususnya di kalangan penyokong fanatiknya. Mereka menyifatkan jawatan Thaksin yang diambil alih oleh Samak Sundaravej, Somchai Wongsawat dan Abhisit tidak mengikut prosedur yang betul iaitu pilihan raya.
Jawatan Perdana Menteri yang disandang Abhisit dilantik sendiri oleh Raja Bhumibol Adulyadej yang berkuat kuasa pada 17 Disember 2008.


Namun, ujian Abhisit sebagai peneraju Thailand yang baru bukan sedikit. Graduan lulusan ekonomi dari Universiti Oxford itu menerima tentangan hebat daripada Thaksin dan para penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah merampas sebahagian hartanya.
"Abhisit perlu berundur dan meninggalkan Thailand," tegas Ketua Kumpulan Baju Merah, Veera Musikapong yang berkeras supaya Abhisit berhenti berkhidmat dalam kerajaan Thailand serta merta.
Amaran tersebut dikeluarkan kerana kumpulan Baju Merah mendakwa kerajaan Thai yang diketuai Abhisit kurang memberi perhatian kepada golongan bawahan, masyarakat kampung dan rakyat tempatan yang miskin. Sebaliknya Abhisit didakwa hanya mementingkan golongan elit.
Ketidakpuasan hati kumpulan Baju Merah yang merupakan ahli kepada Barisan Bersatu Demokrasi Menentang Diktator (UDD) tidak pernah surut.
Ramai menyifatkan pertempuran kumpulan Baju Merah yang menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, sukar ditangani selagi Abhisit tidak melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Bermula Isnin lalu, penunjuk perasaan memberi tempoh selama 15 hari kepada Abhisit supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat.

PARA penunjuk perasaan duduk di atas kereta kebal tentera yang dirampas selepas pertempuran antara mereka.


Keadaan menjadi semakin runcing apabila sebahagian besar kumpulan Baju Merah semakin berani merampas senjata mesingan dan raifal tentera serta menterbalikkan kenderaan tentera.
Bagi mengurangkan kekecohan, anggota-anggota keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata kepada kumpulan yang memberontak. Rusuhan itu disifatkan keganasan politik terburuk sejak hampir dua dekad lalu. Sekitar tahun 1992, Thailand pernah berhadapan dengan krisis politik yang sama iaitu Black May yang berlaku selama tiga hari pada bulan Mei.
Insiden tersebut menyaksikan Jeneral Suchinda Kraprayoon ditentang oleh 200,000 rakyat Thailand. Tragedi hitam itu menyebabkan 52 orang terbunuh, 100 orang tercedera dan 3,500 penunjuk perasaan ditahan.
Perintah darurat
Melihat keadaan semasa di Thailand yang tidak menentu, Abhisit mengisytiharkan darurat.
Namun perintah darurat itu langsung tidak diendahkan oleh kumpulan Baju Merah.
Bahkan, mereka menunjukkan tanda protes dengan membawa 14 buah keranda di jalan raya-jalan raya di Bangkok.
Krisis politik di Thailand berpunca daripada tangan ghaib yang didalangi oleh Thaksin yang didakwa berada di Dubai.
"Pengaruh Thaksin terlalu kuat. Dia dianggap sebagai Robin Hood moden yang memiliki wang banyak dan sering membantu petani.
"Apabila masyarakat miskin merasakan nasib mereka dibela maka sokongan padu mereka kepada Thaksin semakin kuat," kata Profesor Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff.
Pengaruh Thaksin, kata Mohamad Agus, bertambah kukuh setelah beliau berjaya menstabilkan ekonomi Thailand. Sebaliknya, Abhisit yang baru 15 bulan memegang tampuk pemerintahan mengalami kesukaran untuk meningkatkan ekonomi Thailand yang semakin lumpuh. Disebabkan itu, sesiapa yang cuba merampas takhta Thaksin akan ditentang," ujarnya kepada Kosmo!.
Beliau mengakui Abhisit merupakan antara Perdana Menteri Thailand yang bijak dan tidak melakukan kekerasan khususnya kepada golongan miskin dan penduduk di desa.

KUMPULAN Baju Merah menyimbah darah di Monumen Demokrasi di Bangkok sebagai tanda protes.


"Tidak mustahil kematian dan kecederaan yang berlaku lewat kebelakangan ini sengaja dilakukan oleh kumpulan Baju Merah sendiri, bagi membakar perasaan marah dan benci kepada Abhisit," katanya.
Dakwaan yang menyifatkan Abhisit lebih menumpukan golongan elit juga tidak benar. Persoalannya, sampai bilakah kemelut di Thailand akan berterusan? Mohamad Agus menegaskan: "Parlimen perlu dibubarkan segera dan membuat pilihan raya baru. Selain itu, pastikan calon kumpulan Baju Merah tewas.
"Jika kalah barangkali mereka akan berundur kerana matlamat mereka untuk mengadakan pilihan raya sudah terlaksana, "jelas beliau.
Campur tangan raja pula tidak diperlukan kerana baginda hanya bertindak sekiranya pemimpin kerajaan tidak menghormati institusi diraja.
Demonstrasi agresif di sekitar jalanan di Bangkok oleh kumpulan Baju Merah secara tidak langsung menjejaskan industri pelancongan Thailand. Salah seorang wakil Penguat Kuasa Pelancongan Thailand memberitahu, pelancong China Hong Kong dan Taiwan mula meninggalkan Thailand.
Lebih 100 penerbangan sewa yang ditempah untuk membawa pelancong dari China untuk meraikan festival Songkran yang berlangsung setiap bulan April menurun sebanyak 30 buah penerbangan saja.
Kesannya, industri pelancongan di Thailand mengalami kerugian sebanyak 10 bilion baht (kira-kira RM99 juta).
HIROYUKI MURAMOTO yang bekerja di agensi berita Reuters terbunuh dalam rusuhan di Bangkok.


Sementara itu, penganalisis politik, Ghazali Mayudin menyifatkan demonstrasi jalanan yang dilakukan oleh penunjuk perasaan telah mencalar imej menjejaskan industri pelancongan Thailand. Sekiranya demonstrasi jalanan itu tidak diatasi segera maka ia menggalakkan rakyat bertindak sesuka hati untuk menjatuhkan pemimpin yang mereka tidak disukai.
"Pemilihan pemimpin perlu dilakukan menerusi kertas undi bukannya kacau bilau di jalanan. Situasi ini akan memberi impak negatif kepada negara terutamanya industri pelancongan dan ekonomi di Thailand.
"Lihat sahaja paparan media saban hari melaporkan pelancong asing mula membatalkan tempahan hotel dan penerbangan serta tidak lagi mempercayai ketenangan di Thailand. Segala kemudahan awam rosak dan keselamatan mereka juga tidak terjamin," katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment