PARIS 17 April - Wanita Pertama Perancis, Carla Bruni-Sarkozy (gambar) kebelakangan ini mendapat perhatian global apabila khabar angin bertiup mengatakan dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang penyanyi, Benjamin Biolay.
Desas-desus mengenai skandal itu ternyata palsu apabila Biolay semalam memenangi tuntutan ke atas stesen televisyen France 24, yang mana mahkamah mengarahkan syarikat itu membayar 3,000 euro (RM12,926) kepadanya.
Bulan lalu, berita mengenai masalah rumah tangga Bruni dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy bertiup kencang baik di Internet mahupun media arus perdana antarabangsa.
Bruni, 42, menyifatkan ia sebagai 'mengarut' malah perkara itu turut dinafikan Sarkozy sendiri, namun siasatan polis untuk mencari sumber khabar angin itu menyebabkan ia terus dibicarakan sehingga hari ini.
Sementara itu, filem dokumentari mengenai super model dan artis kelahiran Itali ini juga telah dijual untuk ditayangkan di berpuluh-puluh negara.
Penggambaran selama 18 bulan 'The Birth of a First Lady' mengisahkan kehidupan Bruni sejak bergelar isteri kepada Sarkozy yang mana dia belajar istiadat, protokol di Istana Elysee dan hal ehwal luar negara.
Dokumentari 90 minit yang dipendekkan kepada 52 minit untuk tontonan antarabangsa itu adalah antara yang hangat diperkatakan di pameran industri filem MIPDOC di Cannes.
Selepas berkahwin dengan Sarkozy pada Februari 2008, Bruni kerap menemani pemimpin Perancis itu ke luar negara termasuk lawatan ke Britain sebulan selepas berumahtangga yang mencetuskan sensasi media antarabangsa dan masyarakat umum di Britain dan Perancis.
Menjelang lawatan ke Britain, timbul kontroversi apabila syarikat lelongan Christie's menjual gambar bogel Bruni semasa menjadi model pada harga AS$91,000 (RM290,000).
Antara kontroversi lain adalah penggunaan gambar Bruni dan Sarkozy oleh syarikat penerbangan tambang murah Ireland, Ryanair yang mana ganti rugi yang diperolehi mereka disumbangkan kepada pertubuhan memberi makanan kepada gologan tidak berumah, Les Restos du Cœur. - AGENSI
No comments:
Post a Comment