Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, berdasarkan pemerhatian, pihaknya mendapati PKR tidak ikhlas dan menggunakan taktik kotor dengan mengadu domba di kalangan rakyat pelbagai kaum.
Jika dibiarkan beterusan katanya, negara boleh menjadi huru-hara manakala status Selangor sebagai 'periuk nasi' negara boleh musnah.
"Sebab itu kita jentera Wanita begitu cekal, kita akan bekerja dengan penuh dedikasi sebab kita mesti menangkan calon BN untuk perpaduan negara
"Jentera Wanita turun dengan rela hati untuk jaga keselamatan negara, perpaduan, pembangunan ekonomi dan yang mustahak kita tak mahu perpecahan kaum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, jentera pergerakan itu akan dikerah habis-habisan bagi menangkis dakyah pembangkang dengan fakta.
Katanya, kritikan-kritikan yang dilemparkan pembangkang bukannya sukar untuk ditangkis kerana mereka hanya pandai mengkritik namun tidak mempunyai perancangan sendiri.
Untuk tujuan itu, jelasnya, jentera Pemuda dipecahkan kepada tiga unit mengikut pecahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diketuai oleh Exco Pemuda Pusat dan dibantu Ketua Pemuda Bahagian seluruh Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Hulu Selangor.
"Di Hulu Selangor jumlah pengundi muda lelaki di bawah umur 40 tahun adalah di sekitar 11,700 orang manakala jumlah keseluruhan generasi muda lelaki dan perempuan di sekitar 33 peratus.
"Kita tidak nafikan jumlahnya adalah kurang berbanding kawasan lain yang biasanya 50-50 namun di Hulu Selangor golongan muda ini tetap menjadi penentu," katanya.
No comments:
Post a Comment