Monday, April 5, 2010

Calon BN diumum 15 April





SEPANG 4 April - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor akan diumumkan pada 15 April ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pengumuman itu akan dilakukannya sendiri seperti mana yang diminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
"Saya akan umumkan siapakah calon BN pada 15 April ini. Pada tarikh itu, saya akan jelaskan siapakah calon yang mewakili BN. Setakat ini, tidak payahlah saya kata apa-apa lagi," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Petronas Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pemilihan calon BN untuk kawasan itu.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.
Isu pemilihan calon Hulu Selangor mula tercetus apabila Presiden MIC mencadangkan supaya timbalannya, Datuk G. Palanivel diberi peluang semula untuk bertanding.
Palanivel sebelum ini merupakan ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal.
Selain itu, terdapat kehendak di akar umbi yang mahukan calon BN dipilih di kalangan pemimpin UMNO.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada bakal calon BN itu di kalangan penduduk tempatan, Muhyiddin berkata: ''Insya Allah."
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sikap pengundi terhadap BN di kawasan tersebut semakin bagus dan keadaan itu turut disedari oleh Perdana Menteri.
"Semalam Perdana Menteri turun ke kawasan berkenaan dan beliau maklum pada saya 'mood' untuk kembali sokong pada BN lebih nyata dan lebih jelas.
"Jadi kita amat berharap keadaan ini akan menjadi gelombang dan momentum (untuk pengundi kembali kepada BN)," katanya.

No comments:

Post a Comment