Monday, April 5, 2010

Datuk Seri Mohd. Ali Rustam - DAP ‘alergi’ perkataan Melayu


DAP ‘alergi’ perkataan Melayu

KUALA LUMPUR 4 April – Tindak tanduk pembangkang terutamanya DAP yang sering mempertikaikan usaha kerajaan membela nasib bumiputera membayangkan seolah-olah parti itu alergi atau alah dengan perkataan Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sedangkan setiap penerima bantuan kerajaan tidak harus dilihat pada warna kulit kerana semua rakyat yang memerlukan akan dibantu.
“DAP kata kita rasis bila menolong kaum Melayu. Namun, kerajaan menghulurkan bantuan kepada semua rakyat yang dalam kesusahan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman mereka.
“Perlu difahami, lebih separuh penduduk Malaysia ialah golongan bumiputera dan ramai pula yang memerlukan bantuan dan pembelaan ialah orang Melayu.
‘‘Maka sebab itu lebih ramai kaum Melayu yang menerima bantuan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Segambut di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Ali menegaskan tidak perlu untuk mana-mana pihak mengungkit mengenai bangsa atau warna kulit rakyat yang menerima bantuan kerajaan.
“Jangan ada rasa dengki terhadap golongan miskin yang mendapat bantuan semata-mata kerana bangsanya berbeza dengan kita.
“Kerajaan akan terus membela yang susah dan miskin. Cuma kebetulan sahaja lebih ramai orang Melayu yang memerlukan bantuan tapi bukannya mereka sahaja yang menerima bantuan kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Ali turut mengutuk tingkah laku wakil rakyat pembangkang yang berterusan menimbulkan kekecohan ketika persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment