Thursday, April 29, 2010

Rasuah BN: Zaid Bakal Ambil Tindakan Mahkamah



Oleh Norasikin Samsi  
KUALA LUMPUR 28 Apr - Calon Pakatan Rakyat bagi pilihanraya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim bersama barisan peguam terkenal akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beberapa unsur rasuah yang membawa kepada kemenangan Barisan Nasional Ahad lalu. 
Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali berkata, ketika ini Zaid yang juga seorang peguam terkemuka sedang membuat penyelidikan dan pengumpulan bahan bukti secara teliti sebelum tindakan tersebut diambil berikutan beberapa kejadian pembelian undi dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh berkempen. 
Menurutnya, perbuatan itu juga akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).     
"Zaid bersama-sama peguam-peguam terkenal sudah mencadangkan untuk menyelidik hal ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap rasuah yang telah berlaku.
"Perkara serius ini juga akan dilaporkan kepada pihak SPRM walaupun kita kurang percaya kepada keberkesanan SPRM dan pihak mahkamah misalnya untuk menjalankan tugasnya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen ketika menghadiri Sidang Dewan Negara semalam.   
Dr Syed juga berkata, Umno dan Barisan Nasional tidak perlu berseronok dengan kemenangan yang diperolehi kerana calon Pakatan Rakyat tidak mengalami kemerosotan undi malah Pakatan Rakyat bertekad untuk meneruskan kemenangan pada pilihan raya akan datang. 
"Ya betul kami kalah dan kami akan bekerja keras lagi untuk memastikan kemenangan dalam masa akan datang. Cuma kekalahan kami disebabkan oleh beberapa faktor rasuah dan Perdana Menteri menafikan adanya rasuah. 
"Sebenarnya tidak ada sebab untuk Umno-BN bergembira sangat dengan kemenangan mereka. Ini ialah kerana dalam pilihan raya yang lalu, KEADILAN telah kalah di tiga kawasan negeri dengan campuran undi lebih kurang 6100. Tetapi kali ini daripada ketiga-tiga kawasan itu mereka menang hanya dengan kira-kira 1,700," katanya. 
Dr Syed juga menyifatkan prestasi Pakatan Rakyat menerusi keputusan pilihan raya kecil kali ini secara umumnya adalah baik. 
"Yang lebih penting dalam soal ini ialah bahawa kalau dulu ketiga-tiga kawasan negeri, kita (Pakatan) kalah tetapi dalam pilihan raya kecil ini apa yang nyata ialah daripada tiga kawasan itu, satu kawasan telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat iaitu Kuala Kubu Bharu, Pakatan mendapat 7,194 undi manakala Umno mendapat 5,153 ertinya lebih kurang 7,200 berbanding dengan 5,200 jadi majoriti 2,000 padahal kita kalah pada tahun yang lalu dengan kira-kira 4500 undi."  
Katanya di Hulu Bernama pula, menunjukkan peningkatan yang sangat baik kepada calon Pakatan.  
"Ini adalah kawasan Melayu dan termasuk di dalamnya adalah kawasan Felda dan kita dapati di kawasan Felda, undi bagi Pakatan telah meningkat dan itu sebab itulah majoriti Umno di Hulu Bernam dapat dikurangkan iaitu apabila Pakatan mendapat kira-kira 5,400 dan BN mendapat lebih kurang 7,200 undi. 
Sementara itu, jelas beliau lagi, di Batang Kali jurang semakin berkurangan apabila Pakatan memperoleh 10,600 undi manakala Umno mendapat 11,600. 
"Ertinya, majoriti telah dikurangkan di situ," kata beliau. 
Dr Syed juga turut mempertikaikan tawaran korupsi sejumlah RM50,000 yang dijanjikan Perdana Menteri kepada peneroka Felda Sungai Buaya sebelum pilihan raya diadakan.     
"Tanah di Sungai Buaya itu telah dibeli oleh syarikat Etika dan syarikat itu telah ditutup. Sebab itulah selama kira-kira 20 tahun peneroka tidak dibayar, tiba-tiba sekarang dijanjikan RM50,000 dengan RM1,000 sudah dibayar walaupun waktu mula-mula dibeli dahulu Etika telah membayar RM100,000 jadi RM850,000 masih tak dibayar lagi dan kemudian syarikat itu telah ditutup.
"Sekarang saya nak mempersoalkan siapakah yang akan membayar RM50,000. Siapakah yang akan menanggung RM850,000 yang belum dibayar?
"Dari manakah punca wang itu akan datang? Adakah ia daripada parti, adakah daripada sumber lain, yang nyata ialah tawaran itu berupa korupsi. Kita tahu juga ada bahawa yang ditawarkan sehingga RM250 dan RM500 malah sehingga RM1,000 kepada keluarga-keluarga tertentu dan kita mempunyai bukti terutamnanya kepada keluarga India dan Melayu dan ini adalah satu perkara yang sangat-sangat serius," katanya lagi.  
Hadir sama Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh dan Senator Pakatan Rakyat termasuk Ramakrishnan Suppiah, Mustafa Kamal Mohd Yusoff dan Mumtaz Md Nawi. 

No comments:

Post a Comment