KUALA LUMPUR – Pas bersedia meminda perlembagaannya supaya ahli bukan Islam dalam parti itu diberi hak sama malah mereka boleh dicalonkan pada pilihan raya dan menjadi Senator di Dewan Negara. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bagaimanapun pencalonan ahli bukan Islam bergantung kepada keperluan dan agihan kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat kerana mereka tidak mahu sebarang pertembungan. “Kuota untuk ahli bukan Islam belum ditentukan lagi, kerusi untuk Pas pun kita masih tidak tahu, bagaimana saya mahu beritahu. :“Tetapi yang paling penting adalah PR tidak mahukan sebarang pertembungan, kita lebih suka pertandingan dua penjuru dengan Barisan Nasional (BN) saja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dewan Himpunan Penyokong Pas di sini, semalam. Hadi berkata, pengiktirafan Kelab Penyokong Pas menjadi status Dewan Himpunan Penyokong itu, sekali gus menjadi sayap penting parti membuktikan Pas bersungguh-sungguh mahu merealisasikan slogan ‘Pas untuk semua’. Ditanya bila ahli Dewan Himpunan Penyokong akan diberi hak yang sama dengan ahli Pas, Hadi menjelaskan banyak perkara perlu dilakukan seperti pindaan perlembagaan dan Pas bersedia bergerak ke arah itu. “Apa yang paling penting sekarang adalah mereka diberi peranan yang aktif dalam perjuangan Pas, itu yang lebih penting,” katanya. Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pelancaran Dewan Himpunan Penyokong Pas semalam mengulangi sejarah yang pernah dibuat Nabi Muhammad SAW untuk mewujudkan masyarakat pelbagai kaum di Madinah. “Pas adalah parti Islam pertama dalam dunia selepas zaman Nabi Muhammad yang membuka keahlian kepada orang bukan Islam, kamu melihat sejarah pada hari ini,” katanya diiringi tepukan gemuruh delegasi yang tiba. Mengulas mengenai judi bola yang dibenarkan kerajaan, Pas menegaskan mereka tetap dengan pendirian tidak boleh membenarkan sebarang permit perjudian walau apapun alasannya. “Yang peliknya, UMNO menyokong tetapi parti komponen lain seperti MCA dan Gerakan pula yang menolak judi bola ini, ingin saya tegaskan lesen judi di bawah kuasa Kerajaan Pusat, bukannya kerajaan negeri,” katanya. Antara pemimpin PR yang hadir pada perasmian tersebut adalah Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu serta kira-kira 1,000 ahli Dewan. |
Monday, May 24, 2010
“Bukan Islam jadi calon”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment